Kenali Apa Itu Vaksin

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Vaksin bukan lagi sesuatu yang asing di Malaysia. Anda mungkin jarang mendengar tentang difteria, batuk kokol dan rubella pada hari ini. Jika pernah dengar pun, tidak ramai yang mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang mengalami penyakit-penyakit ini.

Pada masa dahulu, penyakit-penyakit ini telah menjejaskan ramai orang di seluruh dunia. Dengan penemuan dan pemberian vaksin, bilangan kes ini sangat sedikit sehingga hampir tiada.

Bagaimana vaksin berfungsi?

Badan manusia mempunyai sistem ketahanan atau imun yang membantu melawan jangkitan. Namun, tidak semua jangkitan mampu dilawan oleh badan. Apa yang vaksin lakukan adalah ia membantu menyediakan sistem imun untuk melawan jangkitan tertentu.

Apabila seseorang diberikan vaksin, badannya akan terdedah kepada mikroorganisme yang menyebabkan jangkitan tertentu. Namun, mikroorganisme tersebut adalah dalam bentuk yang tidak berbahaya. Pendedahan ini merangsang sistem imun. Apabila mikroorganisme yang sama masuk ke dalam badan, sistem imun sudah bersedia untuk melawannya dengan lebih efisyen kerana sudah ada “pengalaman” dalam menghadapinya.

Apakah kandungan vaksin?

Vaksin bertujuan melawan jangkitan daripada mikroorganisme tertentu. Ia diberikan dalam bentuk sama ada sebahagian daripada mikroorganisme terbabit atau keseluruhannya yang telah dibunuh atau dilemahkan supaya ia tidak menyebabkan penerima vaksin jatuh sakit.

Kadangkala, ia menyebabkan demam kerana tindak balas badan terhadap kandungannya. Namun, ia adalah selamat untuk semua orang dan halal. Hanya segelintir kecil sahaja yang mempunyai alahan terhadap kandungan tertentu di dalamnya sehingga menyebabkan reaksi yang serius.

Apakah tujuan vaksin?

Tujuan utamanya adalah untuk mengelakkan seseorang daripada menghidap penyakit tertentu. Sebelum adanya vaksin, satu-satunya cara untuk mendapat imuniti terhadap sesuatu penyakit adalah dengan mengalami penyakit tersebut termasuk komplikasi-komplikasi atau kematian yang mungkin berlaku. Selepas sembuh, barulah seseorang menjadi imun.

Vaksin membantu seseorang menjadi imun terhadap penyakit tertentu tanpa perlu mengalami penyakit tersebut. Imuniti jenis ini dinamakan sebagai artificially acquired immunity berbanding naturally acquired immunity yang diperolehi melalui jangkitan biasa.

Sesetengah penyakit yang divaksin boleh membawa maut dan semuanya adalah penyakit berjangkit. Jadi, ia bukan sahaja boleh menyelamatkan nyawa penerima vaksin, malah juga orang di sekelilingnya.

Semakin ramai orang yang mengambil vaksin, semakin tinggi peluang untuk sesuatu penyakit itu pupus. Antara contoh penyakit yang telah pupus di beberapa negara disebabkan vaksin adalah penyakit polio.

Apakah penyakit yang dicegah oleh vaksin?

Banyak penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin. Di Malaysia, sebahagian vaksin diberikan secara percuma sebagai sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Penyakit yang termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan ialah:

  • Tuberkulosis (vaksin BCG).
  • Hepatitis B.
  • Difteria.
  • Tetanus.
  • Batuk kokol (pertussis).
  • Hemophilus influenza B.
  • Polio.
  • Demam campak (measles).
  • Beguk (mumps).
  • Rubella.
  • Human papilloma virus (HPV)
  • Japanese encephalitis (JE).

Beberapa penyakit lain yang tidak termasuk dalam NIP tetapi mempunyai vaksin di Malaysia ialah:

  • Cacar air (varicella zoster).
  • Pneumococcal.
  • Meningococcal.
  • Taun (cholera).
  • Demam kepiatu (thyphoid).
  • Hepatitis A.
  • Infulenza.

Jadual Program Imunisasi Kebangsaan di Malaysia

Jadual Program Imunisasi Kebangsaan (NIP)

Sila pastikan anak-anak anda mendapatkan semua vaksin wajib seperti yang dijadualkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Anda tidak perlu berasa risau tentang kesan-kesan sampingan seperti yang ditularkan oleh sebahagian pihak.

Dapatkan nasihat dan maklumat lanjut daripada doktor jika terdapat sebarang persoalan atau keraguan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Jun 22, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut