Definisi
Apakah itu kekeliruan?
Kekeliruan adalah keadaan yang mana anda tidak mampu untuk berfikir sejelas atau secepat yang anda biasa lakukan. Anda mungkin terasa disorientasi, sukar untuk menumpukan perhatian, mengingat dan membuat keputusan. Dalam keadaan yang lebih teruk, ia dipanggil sebagai racauan/delirium
Apakah kebarangkalian kekeliruan?
Kekeliruan boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana peringkat umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Ketahui simptom-simptomnya
Apakah simptom-simptom kekeliruan?
Simptom-simptom kekeliruan yang biasa berlaku ialah:
- Pemikiran yang tidak tersusun
- Pertuturan yang tidak jelas atau berhenti terlalu lama sewaktu sedang bercakap
- Pertuturan yang tidak kena mengena
- Kurang cakna pada masa dan lokasi
- Terlupa tugas sewaktu ia sedang dijalankan
- Perubahan emosi secara mendadak seperti terasa terganggu secara tiba-tiba
- Kelakuan yang pelik, agresif atau luar biasa
- Tidak mampu menyelesaikan masalah atau melakukan tugas yang dulunya senang dilakukan
- Tidak mengetahui di mana anda berada dan tidak mengenali ahli keluarga atau barang-barang kepunyaannya
- Mempunyai kepercayaan yang salah (delusi)
- Melihat, mendengar, merasa, bau atau perasaan yang sebenarnya tidak wujud (halusinasi atau ilusi)
- Merasakan ada seseorang ingin menangkap atau mencederakan anda (paranoia)
Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Anda harus menghubungi doktor sekiranya anda mengalami mana-mana perkara berikut bersama dengan simptom-simptom kekeliruan:
- Pening
- Jantung berdegup laju
- Kulit berlengas
- Demam
- Sakit kepala
- Menggigil
- Pernafasan tidak sekata
- Menghidap kencing manis
- Selepas kecederaan kepala
- Tidak sedarkan diri pada bila-bila masa
Ketahui puncanya
Apakah yang mengakibatkan kekeliruan?
Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan kekeliruan, daripada masalah kesihatan yang serius sehingga kekurangan vitamin. Namun intoksikasi alkohol adalah punca yang kerap berlaku. Sebab-sebab lain termasuk:
- Konkusi. Konkusi adalah kecederaan otak yang berlaku akibat daripada trauma kepala. Ia boleh mengubah tahap kepekaan seseorang , penilaian, koordinasi dan pertuturan. Kekeliruan disebabkan konkusi mungkin boleh berlaku beberapa hari selepas kecederaan berlaku.
- Dehidrasi . Tubuh anda kehilangan airsetiap hari melalui peluh, kencing dan fungsi tubuh badan yang lain. Sekiranya anda tidak menggantikan air yang mencukupi, anda akan mengalami dehidrasi. Ini akan menjejaskan elektrolit dalam badan yang menyebabkan masalah kepada tubuh badan anda untuk berfungsi
- Ubat. Ubat-ubatan tertentu boleh menyebabkan kekeliruan . Tidak mengambil ubat seperti yang diarahkan juga menyebabkaan kekeliruan. Kekeliruan adalah tanda paling lazim bagi komplikasi perubatan yang berkait dengan rawatan kanser. Kemoterapi , yang menggunakan bahan kimia untuk menghapuskan sel-sel kanser turut sama memusnahkan sel-sel sihat. Ia boleh merosakkan saraf anda, yang menjejaskan fungsi otak lalu menyebabkan kekeliruan.
Selain itu, kekeliruan boleh berpunca daripada pelbagai faktor. Sebab-sebab berpotensi yang lain ialah:
- Demam
- Jangkitan
- Gula dalam darah terlalu rendah
- Penurunan suhu badan secara mengejut
- Kemurungan
- Ketoksikan alkohol dan dadah
- Ketumbuhan otak
- Penyakit bagi orang yang berumur, seperti kehilangan fungsi otak(nyanyuk/dementia)
- Penyakit bagi orang yang sedia ada masalah neurologi seperti strok
- Kekurangan tidur
- Kekurangan oksigen (masalah paru-paru kronik)
- Kekurangan nutrisi terutamanya niacin, thiamine atau vitamin B12
- Sawan
Ketahui faktor risiko
Apakah yang meningkatkan saya kepada risiko kekeliruan?
Terdapat banyak faktor risikonya seperti:
- Umur semakin bertambah (faktor risiko paling penting);
- Masuk hosptital;
- Pemulihan pasca pembedahan;
- Penyalahgunaan dadah;
- Alkoholisme;
- Masalah otak
Memahami diagnosis dan rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana kekeliruan didiagnos?
Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan bertanya tentang simptom-simptom anda. Dia akan bertanyakan soalan untuk mengetahui adakah pesakitnya tahu tarikh, masa dan lokasi. Soalan tentang penyakit-penyakit terkini atau yang masih berterusan juga akan ditanya.
Ujian yang mungkin dijalankan termasuklah
- Ujian darah
- Imbas CT kepala
- Elektroenkefalogram (EEG)
- Ujian status mental
- Ujian neuropsikologi
- Ujian air kencing
Bagaimana kekeliruan dirawat?
Rawatan bergantung kepada punca kekeliruan. Sebagai contoh, sekiranya jangkitan yang menyebabkan kekeliruan, merawat jangkitan akan menyelesaikan keadaan tersebut.
Perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang boleh digunakan ke atas kekeliruan?
Orang yang terkeliru tidak boleh dibiarkan bersendirian. Untuk tujuan keselamatan, pesakit mungkin memerlukan pengekangan fizikal.
Untuk membantu orang yang terkeliru;
- Sentiasa memperkenalkan diri, tidak kira betapa baik dia mengenali anda.
- Selalu ingatkan pesakit tentang lokasi dia berada.
- Letakkan kalendar dan jam berdekatan dengan pesakit.
- Bercakap tentang peristiwa-peristiwa terkini dan rancang aktiviti harian
- Cuba untuk kekalkan suasana yang tenang dan sunyi
Untuk kekeliruan mengejut disebabkan gula rendah di dalam darah, pesakit seharusnya meminum minuman manis atau mengambil snek manis. Sekiranya kekeliruan melebihi 10 minit, hubungi doktor anda.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.
[embed-health-tool-bmi]