Berita kehamilan bukan sahaja menggembirakan si isteri, bahkan juga sang suami. Akan tetapi, harus diingat bahawa tanggungjawab baharu perlu dipikul dengan kelahiran si manja nanti. Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk bergelar bapa? Persiapkan diri anda untuk menghadapi cabaran bergelar bapa.
1. Belajar bersama
Ramai bapa yang menganggap tugas menjaga bayi diuruskan sepenuhnya oleh si ibu. Salah tanggapan anda itu! Peranan bapa sama pentingnya dengan peranan ibu dalam menjaga bayi. Sepatutnya, sejak ibu hamil lagi, si bapa sudah mula menjalankan tugas sebagai bapa seperti menemani isteri untuk pemeriksaan di klinik, menyertai kelas pranatal dan keibubapaan bersama isteri, serta membantu isteri menyiapkan bilik bayi. Jika bayi telah lahir pula, sertai isteri anda semasa memandikan bayi atau menukarkan lampin kerana dari situlah anda akan belajar banyak perkara tentang penjagaan anak.
2. Berbincang
Berbincang tentang bantuan yang boleh anda berikan semasa isteri bersalin dan perkara yang anda berdua perlu lakukan semasa pertama kali menyambut bayi di rumah. Kongsikan kepada isteri anda tentang cara penjagaan anak yang anda mahukan.
3. Bersedia dari segi kewangan
Kos kelahiran, penjagaan kesihatan anak, penukaran lampin, pakaian dan nurseri si manja akan sedikit sebanyak merisaukan anda. Lakukan perancangan kewangan dari awal dan senaraikan perkara yang perlu anda utamakan.
4. Seimbangkan kerja pejabat dan rumah
Bayi baru lahir memerlukan penjagaan yang berterusan. Dari aspek memandikan bayi, menukar lampin dan menenangkan bayi yang menangis, anda juga perlu membantu isteri melakukan tugas-tugas harian di rumah di samping menyelesaikan kerja-kerja di pejabat. Jadi, uruskan masa anda betul-betul dan berbincang dengan isteri tentang peranan anda berdua dalam penjagaan bayi. Mungkin pembahagian tugas boleh membantu anda berdua menguruskan si manja. Namun, pastikan anda meletakkan keutamaan pada keluarga anda.