Masalah penagihan dadah ini boleh dianggap sebagai satu isu yang akan berulang. Sering kali kita lihat, seseorang individu yang pernah terlibat dalam masalah dadah ini pasti akan kembali menjadi penagih dadah jika semangatnya tidak kuat.
Sejujurnya masalah penagihan dadah ini bukanlah masalah yang menjadi bebanan kepada satu pihak sahaja, dalam konteks ini adalah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Tetapi hakikatnya, ia adalah tanggungjawab bersama semua pihak. Jadi apakah cara yang boleh kita lakukan untuk mengatasi masalah penagihan dadah ini daripada kembali berleluasa?
Sebelum kita pergi kepada langkah penyelesaian yang boleh dilakukan, apa kata kita mengenali dulu apakah itu dadah dan maksud penagihan.
Dadah dan penagihan
Dadah adalah bahan sah atau tidak sah yang digunakan tanpa pengawasan perubatan untuk keseronokan diri. Ia boleh merujuk kepada bahan yang dihasilkan daripada tanaman atau bahan sintetik.
Terdapat empat kategori utama dadah, iaitu:
Penekan
Dadah dari jenis ini berfungsi untuk menekan sistem saraf pusat (otak). Contoh dadah dalam kategori ini adalah alkohol, heroin, kodein, barbiturate dan transquilizer.
Perangsang
Berfungsi untuk merangsang sistem saraf pusat (otak). Contoh dadah dalam kategori ini adalah seperti kokain dan amfetamin.
Halusinogenik
Dadah dalam kategori ini berfungsi untuk mengubah fungsi sistem deria, khususnya deria pendengaran, penglihatan dan rasa. Antara contohnya adalah seperti LSD (acid) dan marijuana, ketamine, phencyclidine (PCP), termasuk dadah jenis organik iaitu peyote (mescaline) dan salvia divinorum (diviner’s sage).
Analgesik
Dadah ini berfungsi sebagai ubat penahan sakit yang dapat membantu mengurangkan kesakitan. Antara contohnya adalah morfin, tramadol.
Manakala penggunaan dadah boleh dikategorikan kepada dua jenis, iaitu:
Penyalahgunaan
Tingkah laku penggunaan dadah secara salah, tidak betul dan bukan bagi tujuan perubatan. Tetapi ia diambil untuk mendapatkan keseronokan atau menghilangkan kecelaruan.
Penagihan
Merupakan penyakit kronik yang mudah relaps. Ia dicirikan oleh tingkah laku memperoleh dan menggunakan dadah secara kompulsif, walaupun penggunaannya boleh menyebabkan kesan-kesan yang memudaratkan.
Atasi penagihan dadah
Jadi apakah cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah penagihan ini daripada terus berleluasa? Berikut adalah beberapa cara yang boleh dilakukan, seperti:
Ubah stigma
Langkah yang paling penting untuk dilakukan adalah daripada masyarakat umum itu sendiri. Dalam konteks ini, seharusnya masyarakat mengubah stigma dan berhenti daripada memandang negatif kepada semua individu yang pernah terlibat dengan masalah penagihan ini.
Sedarkah anda, sebenarnya apabila kita sebagai individu di sekitar mereka yang pernah terlibat dengan penagihan ini terus memandang serong dan meminggirkan mereka, ia boleh meningkatkan kembali kecenderungan mereka untuk kembali ke kancah penagihan. Lebih kronik lagi apabila mereka mula melakukan jenayah bagi menampung keperluan dadah mereka.
Rawatan dan bukan hukuman
Memetik laporan daripada Utusan Borneo Online yang diterbitkan pada 3 Oktober 2018, Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr Rusdi Abd Rashid menyarankan kerajaan untuk menukar strategi serta memberikan kaedah rawatan berteraskan perubatan dan bukannya memberi hukuman.
Contoh yang boleh diambil adalah seperti sekiranya seorang penagih ditangkap dan ditemui dengan sejumlah kecil dadah, mereka perlu diberikan pilihan. Ia sama ada mereka mahu menjalani rawatan di klinik atau hospital bukannya terus dikenakan hukuman penjara atau dipaksa untuk menjalani rawatan di pusat serenti.
Nasihat dan peringatan
Tidak dinafikan segalanya bermula daripada didikan ibu bapa itu sendiri untuk memainkan peranan penting dalam mencegah anak-anak daripada terlibat ke dalam kancah penagihan dadah ini. Tugas dan peranan ibu bapa dalam memberikan nasihat dan peringatan adalah amat penting. Ia harus dimulakan dari awal lagi. Ibu bapa juga harus memainkan peranan dalam memantau setiap pergerakan dan pergaulan anak-anak setiap masa.
Kesedaran diri sendiri
Pada hakikatnya, setiap individu itu harus mempunyai kesedaran dalam diri sendiri tentang bahayanya dadah. Semangat yang kuat diperlukan dalam setiap diri individu bagi menangkis keinginan untuk mencuba dadah.
Ada yang mengatakan dadah dapat membantu menghilangkan masalah adalah khayalan yang amat mustahil. Tiada masalah yang boleh hilang tanpa sebarang usaha untuk menyelesaikannya. Penggunaan dadah secara berlebihan tanpa nasihat doktor sebenarnya boleh menyebabkan kematian.
Jangan pernah terfikir untuk mendekati dadah. Fikirkanlah tentang insan yang menyayangi anda seperti ahli keluarga dan rakan baik. Atau paling tidak, sayangilah diri anda sendiri. Menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.