backup og meta

Mengapa Mangsa Keganasan Rumah Tangga Tidak Meninggalkan Pasangan Mereka?

Mengapa Mangsa Keganasan Rumah Tangga Tidak Meninggalkan Pasangan Mereka?

“Mesti dia berbohong – kalau benar berlaku penderaan, sudah tentu dia lari dari dahulu lagi.”

Anda pasti pernah mendengar konotasi ini. Bilamana seseorang membawa tuduhan keganasan rumah tangga, dan tindak balas segera masyarakat umum adalah untuk menuduh semuanya sebagai rekaan. Apatah lagi jika mangsa mempunyai kerjaya, berkewangan stabil dan kelihatan bahagia di mata masyarakat.

Apa itu keganasan rumah tangga

Keganasan rumah tangga bermaksud perlakuan keganasan terhadap pasangan atau bekas pasangan. Sama ada dalam bentuk fizikal dan ganguan seksual, keganasan pertuturan (maki hamun dan cacian), ugutan, gangguan/pengabaian emosi dan kewangan. Kebanyakkan pendera adalah golongan lelaki dan mangsa adalah wanita atau kanak-kanak.

Ramai yang sudah mempunyai tanggapan awal tentang keganasan rumah tangga, membayangkan pemangsa sebagai seorang lelaki panas baran bertindak ganas yang memukul isterinya, seorang wanita lemah dan mudah dibuli serta bergantung secara kewangan kepada suaminya.

Sedangkan keganasan rumah tangga tidak semestinya menepati versi yang dibayangkan masyarakat. Mangsa datang daripada semua lapisan masyarakat – kaya, miskin, kuat, lemah – dan daripada kedua-dua jantina, perempuan dan lelaki.

Mengapa mangsa tidak meninggalkan hubungan

Pilihannya -bagi anda sebagai pemerhati- sangat jelas. Jika benar si pemangsa melakukan penderaan, mangsa wanita (atau lelaki) tersebut patut meninggalkan pasangannya. Jika mangsa memilih untuk menetap dalam hubungan toksik tersebut, anda mungkin melihatnya sebagai turut bertanggungjawab atas penderaan emosi atau fizikal yang ditimpakan kepadanya. Anda bahkan mungkin merasakan mangsa yang memilih untuk tidak menghalang semuanya berlaku apabila tidak berusaha keluar daripada hubungan tersebut.

Meninggalkan pasangan bukanlah pilihan mudah – ia hanya satu pilihan yang lebih menyakitkan dalam hidup mangsa yang dipenuhi dengan pilihan yang menyakitkan. Antara sebab utama mangsa mungkin tidak meninggalkan hubungan:

1. Tidak menganggap diri sebagai mangsa dera

Mangsa mungkin tidak pernah menganggap dirinya sebagai mangsa dera, sekalipun menghadapi episod penderaan atau keganasan yang berbeza dan berulang. Mereka mungkin merasakan diri mereka berbeza daripada contoh wanita mangsa keganasan rumah tangga yang ditayangkan dalam televisyen.

Sebaliknya, mangsa mungkin melihat dirinya sebagai seorang wanita yang sangat kuat, yang sedang mencintai seorang lelaki yang bermasalah. Ini ditambah pula dengan fakta bahawa ramai lelaki yang mendera pasangan mereka mungkin merupakan mangsa dera sewaktu kanak-kanak. Mengetahui masa silam pasangan mereka mungkin membuatkan mangsa memilih untuk terus berada dalam hubungan toksik tersebut untuk memberi sokongan kepada pasangan mereka untuk berubah.

Mereka bukan sahaja terperangkap dalam genggaman pasangan mereka, malah terperangkap dalam harapan. Harapan, untuk melihat pasangan mereka berubah.

2. Takut dimalukan, dihakimi, dibenci atau dituduh berbohong

Mangsa mungkin berhadapan dengan stigma masyarakat yang menghukum mereka jika mereka mendedahkan keadaan rumah tangga mereka. Bahkan pendedahan mereka mungkin diabaikan kerana orang lain tidak dapat membayangkan pasangan mereka mampu berkelakuan ganas.

Sedangkan keganasan rumah tangga sering berlaku di sebalik pintu tertutup. Pemangsa mungkin mempunyai personaliti yang disenangi masyarakat, hingga menyukarkan mangsa untuk tampil kehadapan. Mangsa mungkin akan dipenuhi rasa takut. Takut bahawa tidak siapa yang mempercayai mereka atau orang lain mungkin menganggap mangsa hanya mencari perhatian. Takut dipanggil bodoh kerana tetap kekal dengan pasangan mereka untuk tempoh yang lama.

3. Terperangkap dalam kitaran penderaan

Keganasan rumah tangga kebiasaannya adalah kitaran yang berulang. Pemangsa tidak mendera dan bertindak ganas sepanjang masa. Malah, pemangsa dan mangsa mungkin mempunyai hubungan yang baik tanpa sebarang konflik selama berminggu-minggu lamanya. Apabila berlaku kejadian keganasan, pemangsa mungkin akan merayu, dan menangis serta berjanji untuk berkelakuan baik.

Mangsa mungkin akan berasa gembira dan menyangkakan hubungan mereka telah bertambah baik setelah tempoh damai. Namun, episod serangan keganasan rumah tangga kemudian berulang semula.

4. Mencintai pasangan

Selalunya, mangsa mencintai pasangan mereka, lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai zuriat bersama. Hubungan mereka mungkin tidak bermasalah dan sangat romantis pada permulaannya. Ini menyebabkan mangsa sentiasa mengharapkan agar pasangan mereka kembali kepada diri mereka yang ‘dahulu’. Mereka hanya mahukan keganasan tersebut berhenti, bukan perhubungan tersebut.

5. Keyakinan diri musnah disebabkan penderaan emosi

Apabila pasangan sering merendah-rendahkan nilai diri mangsa, mudah bagi mereka untuk mempercayai kenyataan itu dan menganggap bahawa keganasan rumah tangga adalah kesalahan mereka. Contohnya, jika pemangsa berulangkali mengatakan mangsa adalah pembohong, mangsa mungkin mula mempersoalkan diri mereka sendiri. Mangsa mula menjadi tidak yakin dengan perkataan dan pemikiran mereka sendiri. Apabila seseorang mula hilang keyakinan pada dirinya sendiri, meninggalkan hubungan yang toksik menjadi sangat mustahil.

Dinamik hubungan mangsa dan pemangsa keganasan rumah tangga bukanlah semudah yang anda sangkakan. Menyalahkan mangsa dengan kenyataan “itulah, mengapa memilih untuk tinggal dalam hubungan sebegitu,” hanya mencipta ilusi selamat dalam diri kita sendiri. Bahawa “perkara tersebt tidak akan berlaku kepada saya,” atau “jika saya mengalaminya, pasti saya akan meninggalkan pasangan saya.” Sedangkan kajian menunjukkan siapa sahaja boleh mengalami keganasan rumah tangga dan mengeluarkan diri daripada hubungan tersebut sangat susah.

Jika anda atau orang yang anda sayangi mengalami keganasan rumah tangga, dapatkan bantuan melalui talian Nur 15999 dan badan kebajikan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.npr.org/templates/transcript/transcript.php?storyId=175617775

https://www.huffingtonpost.com/ali-owens/why-we-stay-a-deeper-look_b_10315292.html

https://www.psychologytoday.com/us/blog/romance-redux/201303/why-do-people-stay-in-abusive-relationships

http://www.myhealth.gov.my/keganasan-rumahtangga/

Why Do People Stay in Abusive Relationships?

 

Versi Terbaru

05/07/2023

Ditulis oleh Helma Hassan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Selain Curang, Apa Lagi Punca Penceraian Di Malaysia? Kalau Sayang, Berubah!

6 Rahsia Menjadi Isteri Solehah, Bukan Hanya Jaga Makan & Pakai Suami Ya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan