Buat si bujang di luar sana, anak dara atau ibu tunggal yang menjadi pilihan hati anda?
Bila ditanya apakah ciri pasangan yang anda cari, sudah tentu jawapan klise seperti yang pandai ambil hati, sedap mata memandang, pandai memasak dan sebagainya. Tapi bagaimana pula dengan status, kalau wanita itu ibu tunggal, macam mana?
Bercinta dengan ibu tunggal
Penulis akui memegang status single mother bukan perkara yang mudah. Banyak perkara yang perlu difikirkan.
Dan apabila ada yang menanyakan, “Bila nak cari pengganti?”, jujur ia sukar untuk dijawab. Mungkin kerana trauma dengan perkahwinan terdahulu.
Apabila ada individu yang ingin berkenalan, secara jujur sebagai seorang ibu tunggal juga, penulis sendiri akan menolak kerana memikirkan status diri.
Sebaliknya jawapan balasan yang sering penulis dapat adalah “I tak kisah pun dengan status you. As long you selesa dan happy bersama I“, “Jodoh ‘ini’ bukan kira status, kalau dah ditakdirkan, tetap akan bersama.” Haaa…’dah’ macam sinetron ‘aje’ jawapannya. Namun itulah kenyataannya.
Walau bagaimanapun, adakah semudah itu untuk bersama dan menjalinkan hubungan cinta dengan individu bergelar ibu tunggal?
Tip bantu hubungan lancar
Kalau anda ada berkenan dengan mana-mana single mother, jangan risau, ada sedikit bantuan buat anda. Berikut, penulis senaraikan beberapa perkara yang perlu anda ketahui sebelum membuat keputusan bersama dengan single mother.
- Fahami keutamaan
As a single mother, tiada apa yang lebih utama dalam hidup melainkan anak-anak. Anda sebagai lelaki harus menyedari dan memahami tentang perkara ini. Anak itulah yang menjadi keutamaan dan sumber kekuatan buat single mother untuk kembali berdiri setelah ‘jatuh’.
Anda di tempat ke berapa? Well, selagi anda belum menjadi bergelar suami, mungkin kedudukan anda adalah di tempat kedua, ketiga atau keempat. Boleh terima ke tidak? Jika anda boleh terima perkara ini, itu adalah satu petanda yang bagus.
Kalau anda masih dalam usaha memikat si dia, mungkin sesekali anda boleh mengajak si dia dan anak-anak keluar bersama. Orang kata, nak pikat hati emaknya kenalah pikat hati anaknya juga, betul ke?
- Kepercayaan
Jika pasangan anda adalah individu yang berpisah kerana penceraian, ketahuilah bahawa isu kepercayaan adalah sangat utama bagi mereka. Sering kali pada permulaan perhubungan terlalu sukar rasa percaya itu hadir buat anda.
Ia bukan bermaksud anda diragui, cuma bila hati pernah terluka dan dikecewakan, hanya masa yang dapat mengubatinya.
Namun, sekiranya anda ikhlas dan jujur bersama individu bergelar ibu tunggal ini, berusahalah untuk menjadi individu kepercayaan mereka. Tetapi, jangan pula anda buat hal selepas kepercayaan diberikan. It’s a BIG no!
- Simpati
Jangan memilih untuk bersama si dia atas dasar simpati dan kasihan. Ye lah, anda melihat si dia sendiri tanpa pasangan, maka anda membuat kesimpulan si dia keseorangan. Keseorangan tidak bermakna individu dengan status single mother ini perlukan simpati.
Yes, mereka manusia biasa, mempunyai kelemahan dan adakalanya akan menangis apabila terkenangkan apa yang berlaku.
Tetapi percayalah, mana-mana wanita yang bergelar ibu tunggal adalah lebih kuat daripada sangkaan anda kerana mereka mempunyai anak yang sentiasa ada untuk mereka. Like i said, anak adalah sumber kekuatan.
- Jangan masuk campur
Pada awal-awal tempoh perhubungan dan ketika masih dalam proses perkenalan, anda mungkin akan kerap mendengar sesi luahan mengenai bekas pasangan si dia. Amat disarankan, anda jadilah pendengar dan pendorong semangat yang setia buat si dia.
Namun itu tidak bermakna anda boleh masuk campur urusan antara si dia dengan bekas pasangannya. Usah berlagak hero atau si dia akan berasa anda cuba mengawal kehidupannya. Berikan pandangan anda hanya jika si dia mahukannya.
Dan perkara yang perlu anda ingat, si dia dan bekas pasangannya akan sentiasa berhubung terutama mengenai perihal anak. Jadi, dalam hal ini, anda perlulah banyak bersabar dan elakkan daripada cemburu buta tidak tentu pasal.
Setakat ini macam mana? Kalau rasa boleh terima apa yang di senaraikan, teruskan pembacaan anda.
- Bersedia
Memilih single mother bermaksud si dia datang bersama pakej, 1 + 1, 1 + 2, atau 1 +3, lagi ramai anak, lagi besar pakejnya. Jadi tanyakan diri anda, adakah anda bersedia untuk menjadi instant father dan memikul tanggungjawab tersebut?
Bukan itu sahaja, anda juga perlu berkongsi kasih si dia dengan anak-anaknya, sanggupkah anda? Jika tidak, usahlah berdegil untuk bersama single mother, kelak anda hanya akan melukai mereka apabila anda tidak dapat menerima kewujudan anak-anak si dia.
- Kata hati
Memilih individu bergelar ibu tunggal ini banyak dugaannya. Anda mungkin akan menerima tentangan daripada keluarga anda sendiri. Malahan terlalu banyak stigma mengenai single mother yang mungkin akan membuatkan anda sendiri akan meragui pilihan hati anda.
Jika hati anda masih bertegas dengan pilihan ini sebagai suri hati anda, perkara yang terbaik adalah untuk berterus-terang.
Kepada siapa? Sudah tentu kepada keluarga mengenai status pasangan pilihan hati anda. Jelaskan mengapa anda memilihnya dan pastikan anda tegas dengan pendirian.
Elak daripada merahsiakan mengenai status si dia pada keluarga, kerana perbuatan tersebut mungkin akan menimbulkan isu perbalahan antara anda dan kedua ibu bapa anda. Dan jika si dia tidak diterima, sudah tentu ia akan mematahkan kembali hatinya.
Tetap manusia biasa
Hakikatnya individu bergelar single mother ini tetap golongan manusia yang mempunyai hati dan perasaan sama seperti individu lain. Hanya membezakan adalah status yang dipegang dan tanggungjawab yang digalas. Tetapi status ini ada masanya membuatkan ibu tunggal dipandang serong.
Tiada salahnya memilih wanita bergelar ibu tunggal, cuma anda perlu bersedia daripada pelbagai aspek. Apa yang penting adalah niat. Setiap niat yang betul dan ikhlas untuk bersama seseorang itu, sudah tentu akan mendapat keberkatan.
Sekiranya anda serius dengan si dia, jangan terlalu mendesak. Berikan dia ruang dan peluang untuk memikirkan apa yang terbaik buat dirinya dan anak-anak. Bersabarlah, kalau sudah jodoh takkan ke mana.
[embed-health-tool-ovulation]