Bakal Sambut Baby Tak Lama Lagi? Ini Keperluan Bayi Baru Lahir Yang Patut Ibu Ayah Tahu

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 13/08/2020 . 9 minit bacaan
Share now

Salah satu daripada saat paling bermakna dan berharga yang ditunggu-tunggu oleh pasangan suami dan isteri adalah kelahiran cahaya mata sulung mereka. Saat ini akan menandakan satu permulaan perjalanan mereka yang baharu sebagai insan yang bergelar ibu dan bapa. Di sebalik segala keseronokan dan kebahagiaan menyambut bayi pertama, terdapat beberapa perkara yang perlu ibu bapa ketahui. Antara yang paling penting adalah keperluan bayi baru lahir.

nama bayi lelaki

Bayi yang baru lahir akan memerlukan anda sebagai ibu bapa untuk menyediakan beberapa keperluan yang asas buat mereka. Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui keperluan bayi baru lahir yang patut ibu bapa tahu.

8 keperluan bayi baru lahir

Hakikatnya, terdapat banyak barang keperluan bayi baru lahir yang perlu anda sediakan dalam tahun pertamanya. Ia mungkin normal untuk tidak diketahui oleh kebanyakan ibu bapa terutamanya yang masih baru melangkah ke alam keibubapaan. Anda perlu tahu bahawa sesetengah barang mungkin perlu, sementara sesetengah barang lain hanya termasuk dalam kategori kehendak peribadi anda. Berikut merupakan 8 keperluan bayi baru lahir tersebut:

keperluan bayi baru lahir

Keperluan bayi baru lahir #1. Susu bayi

  • Bantal penyusuan

Bagi membantu aktiviti penyusuan bayi baru lahir untuk menjadi lebih mudah dan selesa, bantal penyusuan adalah sangat disyorkan untuk mengelakkan ketegangan pada bahu atau leher anda. Ia juga berfungsi dengan berkesan untuk mengekalkan bayi dalam posisinya bagi memastikan keselesaan si comel anda.

  • Aksesori penyusuan

Anda mungkin perlu menggunakan beberapa aksesori penyusuan seperti salap lanolin, pek gel suam atau sejuk untuk membantu melegakan kesakitan pada payudara anda semasa atau selepas bayi menyusu. Selain itu, pelapik payudara akan memelihara pakaian anda daripada kebocoran susu.

  • Kain alas bayi

Ia bukan hanya sekadar perhiasan semata-mata. Kain alas ini digunakan untuk mengelap mulut, muka atau badan bayi jika terkena atau tertumpah susu.

  • Botol dan puting bayi

Seiring dengan perkembangan bayi, anda akan memerlukan lebih banyak botol dan puting bayi. Sesetengah ibu bapa lebih gemar memilih botol kaca atau tahan karat untuk bayi mereka kerana risau jika terdapat bahan kimia dalam botol jenis plastik. Ia adalah terpulang kepada ibu bapa itu sendiri tetapi anda disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

  • Pam susu ibu

Para ibu yang berkerjaya boleh menggunakan pam susu untuk menyimpan susu ibu jika anda terlalu sibuk dan tidak sempat untuk menyusukan bayi tepat pada masanya. Oleh itu, anda boleh tinggalkan stok susu badan anda kepada penjaga mereka. Terdapat beberapa pilihan untuk anda dari pam susu asas yang menggunakan tangan, ataupun pam susu jenis elektrik yang membolehkan anda memerah susu pada sebelah atau kedua-dua belah payudara dalam masa yang sama.

  • Beg susu ibu

Selain pam, beg untuk menyimpan susu badan anda yang telah dipam juga amat diperlukan. Ini boleh memudahkan anda terutamanya jika anda tidak mempunyai banyak ruang untuk menyimpan susu dalam peti beku. Anda juga tidak perlu risau akan kualiti susu badan anda kerana beg susu ini juga boleh disejukbekukan dan dinyahbekukan tanpa merosakkan kualiti susu badan anda.

  • Susu formula

Seusai tamat tempoh penyusuan ekslusif susu ibu, anda boleh pilih untuk terus menyusukan bayi dengan susu ibu atau mula beralih kepada susu formula. Sekiranya anda memutuskan untuk beralih, pastikan anda menggunakan susu formula yang kaya dengan nutrien sama seperti susu ibu. Terdapat banyak pilihan susu formula untuk anak anda di pasaran, dan anda boleh minta pendapat doktor mengenainya.

Keperluan bayi baru lahir #2. Lampin bayi

  • Lampin bayi

Paling utama, anda perlu menyediakan lampin untuk si comel anda. Secara purata, bayi anda mungkin memerlukan sekitar 10 hingga 12 lampin setiap hari. Oleh itu, pilih jenis lampin yang tidak mengandungi bahan kimia berbahaya untuk bayi supaya kulit bayi anda tidak mengalami sebarang keradangan.

  • Tisu basah dan kain lembut

Selain lampin, anda juga memerlukan tisu basah untuk mengelap punggung dan kemaluan bayi. Anda perlu cari tisu basah yang mesra bayi ataupun kain lembut yang direndam dengan air suam untuk membersihkan bayi.

  • Lapik atau tuala

Bagi memudahkan aktiviti penukaran lampin, anda boleh gunakan lapik atau tuala sebagai alas untuk meletakkan bayi ketika menukar lampinnya. Lebih mudah lagi jika anda boleh sediakan meja khas untuk menukar lampin bayi.

keperluan bayi baru lahir

Keperluan bayi baru lahir #3. Pakaian bayi

  • Baju sarung

Baju ini sangat sesuai untuk si comel anda bermain dengan bebas dan selesa. Selain itu, jenis pakaian ini sangat memudahkan anda untuk menukar baju dan lampin bayi.

  • Kemeja-t dan bodysuits

Bagi memudahkan anda untuk menanggalkan dan memakaikan bayi baju seharian mereka, anda mungkin perlu memilih pakaian yang mudah untuk disarungkan seperti baju jenis ini.

  • Seluar memeri atau sarung kaki

Pakaian jenis ini akan memudahkan anda untuk menukar pakaian bayi yang telah kotor tanpa perlu menukar keseluruhan pakaian.

  • Stokin atau bootie

Jenis pakaian yang dipakai di kaki ini akan digunakan dengan sangat kerap. Jadi anda perlu beli banyak sedikit untuk kegunaan semasa di dalam rumah ataupun di luar rumah.

  • Pakaian luar

Ibu bapa perlu membeli pakaian seperti baju sejuk, baju panas, jaket dan/atau kardigan yang boleh dipakaikan dengan mudah jika bayi memerlukannya sesuai dengan cuaca di luar rumah.

  • Kasut

Sebenarnya, anda tidak perlu beli kasut yang jenis keras pada tahun pertama bayi anda kerana ia boleh mengganggu perkembangan bayi. Jadi, tunggu sehingga bayi anda boleh berjalan sebelum membeli kasut. Ketika tahun pertamanya, anda hanya perlu melindungi kakinya dengan stoking atau bootie.

  • Topi dan sarung tangan

Topi boleh dipakai jika anda membawa bayi keluar tidak kira siang atau malam. Selain itu, anda boleh pilih sarung tangan untuk dipakaikan pada bayi jika perlu.

  • Pakaian tidur

Terdapat dua perkara yang perlu anda ingat ketika memilih pakaian tidur bayi iaitu keselamatan dan keselesaan bayi. Jadi, pilih pakaian tidur yang anda rasa selamat dan selesa buat si comel anda.

keperluan bayi baru lahir

Keperluan bayi baru lahir #4. Tempat tidur bayi

  • Katil bayi dan tilam

Anda mungkin mahu menidurkan bayi anda tidur di dalam katil bayi yang cantik pada tahun pertamanya, tetapi pastikan ia memenuhi tahap piawaian keselamatan bayi terlebih dahulu. Selain itu, beli tilam yang lembut dan sesuai untuk diletakkan dalam katil bayi.

  • Selimut

Terdapat dua jenis selimut yang ibu bapa boleh gunakan untuk bayi mereka, bergantung kepada tujuan penggunaannya. Ini termasuklah selimut yang boleh dipakai ketika tidur dan juga selimut bedung.

keperluan bayi baru lahir

Keperluan bayi baru lahir #5. Perkakas bayi

  • Anduh bayi

Anduh bayi atau baby carrier boleh membantu anda mengendong bayi bagi memastikan si comel sentiasa berada dekat dengan anda. Juga, dengan meletakkan bayi dalam anduh boleh membiarkan tangan anda bebas untuk melakukan kerja lain. Anda perlu memilih anduh yang mempunyai ciri keselamatan yang kuat bagi memastikan bayi anda selamat di dalamnya.

  • Kereta sorong bayi

Kereta sorong bayi atau baby stroller ini diketahui merupakan keperluan bayi yang penting jika anda ingin membawa bayi berjalan-jalan ke luar rumah.

  • Kerusi kereta bayi

Kerusi kereta yang selamat untuk bayi adalah amat penting. Terdapat banyak kemalangan yang akan memberikan kesan kepada bayi yang ditempatkan dalam kereta terutamanya apabila bayi tidak diletakkan dalam kedudukan yang betul jika berlakunya impak. Selain itu, anda perlu kenal pasti tarikh tamat tempoh apabila membeli kerusi kereta kerana kebanyakan pengeluar mengesyorkan penggunaan kerusi selama lima hingga lapan tahun sahaja.

Keperluan bayi baru lahir #6. Mandian bayi

  • Tab mandian bayi

Bagi aktiviti memandikan bayi, anda mungkin memerlukan tab mandian bayi. Anda perlu pilih tab yang diperbuat daripada bahan yang kukuh dan baik untuk bayi.

  • Syampu dan sabun

Kulit bayi anda adalah sensitif, jadi anda perlu pastikan anda melihat kepada kandungan di dalamnya terlebih dahulu. Bagi melindungi kulit dan mata bayi, anda boleh memilih produk dengan formula tidak memedihkan kulit atau mata. Selain itu, jika anda mahu mengelakkan phthalates dalam syampu ataupun sabun, anda boleh pilih jenis yang tidak mengandungi pewangi dalam bahan buatannya.

  • Tuala

Sebaiknya, anda perlu pilih tuala yang lembut dan bertutup kepala untuk mengelap dan membalut tubuh anak anda setiap kali selepas mandi.

  • Kain lap

Kain lap adalah amat penting untuk anda mengelap dan membersihkan muka dan badan bayi selepas mandi ataupun jika si comel bermain benda yang kotor.

Keperluan bayi baru lahir #7. Makanan bayi

  • Kerusi makan bayi

Kerusi makan bayi atau highchair dengan dulang makan khas adalah pilihan yang terbaik yang memudahkan anda untuk membersihkan tempat makan bayi dan menggerakkan kerusi untuk makan di mana-mana sahaja. Anda boleh beli kerusi dengan alas tempat duduk bagi memudahkan anda mengalih dan memasukkan alas ke dalam mesin basuh.

  • Sudu bayi

Sudu ini memang direka khas untuk bayi kecil. Anda boleh pilih sudu plastik atau sudu getah. Kini, terdapat banyak sudu dengan pelbagai bentuk menarik yang boleh anda gunakan untuk menggalakkan bayi makan.

  • Mangkuk bayi

Mangkuk bayi adalah perlu jika anda mahu mengajar anak anda cara untuk makan dengan sendiri.

  • Kain alas makan

Bayi sangat mudah menjatuhkan makanan kerana dia terlampau muda untuk memastikan makanan kekal pada satu-satu tempat. Jadi, kain alas makan jenis kalis air atau cepat kering adalah penting untuk menahan makanan daripada terjatuh ke lantai.

keperluan bayi baru lahir

Keperluan bayi baru lahir #8. Mainan bayi

  • Mainan

Ketika memilih mainan untuk si comel, anda perlu mempertimbangkan bahan pembuatannya. Kini, sesetengah mainan mengandungi bahan kimia yang sangat berbahaya untuk bayi dan kanak-kanak. Mainan yang lembut dan mempunyai muzik, atau mainan gemerencing adalah pilihan yang terbaik.

  • Puting bayi

Puting bayi atau pacifier berguna untuk memastikan bayi berhenti menangis, dalam sesetengah kes. Dalam pada itu, ia juga sebenarnya boleh membantu bayi anda tidur lena tanpa perlu bantuan atau dodoian daripada ibu.

  • Buku

Pada peringkat awal, anda boleh membeli buku kertas tebal yang berwarna-warni untuk bayi anda. Ini merupakan salah satu cara yang terbaik untuk anda memperkenalkan aktiviti membaca kepada si manja.

  • Kerusi melantun

Jika bayi anda bergerak, kerusi ini akan melantun ke atas dan ke bawah. Kerusi ini adalah selamat kerana mengandungi tali pengikat melekat, jadi si comel anda boleh bermain dengan riangnya.

Sebenarnya, checklist barang baby ini tidak lengkap jika anda mahu memasukkan sekali kemahuan anda di dalamnya. Hakikatnya, terdapat pelbagai barang kelengkapan yang anda ingin belikan untuk si comel anda. Akan tetapi, pastikan tentang kualiti produk terlebih dahulu sebelum membeli. Di samping itu, anda boleh bertanya dan berbincang dengan doktor mengenai barang yang perlu dibeli atau tidak perlu mengikut usia si comel.

keperluan bayi baru lahir

Perancangan perbelanjaan buat bayi yang baru lahir

Selain barang keperluan bayi baru lahir, ibu bapa juga sebenarnya memerlukan satu pelan khas kewangan yang utuh dan kukuh bagi memastikan perbelanjaan harian atau bulanan anda tidak akan mengganggu perancangan perbelanjaan bayi anda yang baru lahir. Oleh itu, terdapat beberapa perkara yang perlu anda kaji dan teliti terlebih dahulu untuk memastikan perancangan perbelanjaan buat bayi anda yang baru lahir itu, berjaya. Berikut merupakan perkara-perkara tersebut:

#1. Status kewangan

Apabila anda sudah memutuskan untuk memiliki anak, kaji dengan teliti status kewangan anda. Lihat sama ada anda mempunyai hutang atau tidak dan lihat berapa banyak simpanan yang anda ada. Selain itu, fikirkan juga untuk mula menabung sehinggalah waktu kelahiran bayi. Mengetahui dengan tepat status kewangan anda akan membolehkan anda merancang masa depan dengan lebih baik.

#2. Matlamat spesifik

Setelah mengenal pasti status kewangan, anda boleh menetapkan manfaat spesifik yang mampu dicapai. Anda boleh memutuskan untuk membayar hutang sebelum atau selepas bayi lahir. Catatkan jumlah keseluruhan hutang anda dan bahagikan ia mengikut jumlah bulan sebelum kelahiran bayi.

Dengan berbuat demikian, Anda akan mempunyai matlamat pada setiap bulan yang anda boleh cuba untuk capai. Selain itu, dengan membahagikan jumlah hutang anda ini, anda sudah pasti akan lebih bermotivasi untuk membayar hutang.

#3. Penyediaan bajet

Setiap kali gaji masuk, sediakan bajet dengan tepat untuk perbelanjaan anda: bil, simpanan, hutang dan lain-lain. Anda perlu merancang dengan awal kerana setiap bulan adalah tidak sama. Mungkin akan ada satu bil pada sekian bulan berbeza dengan bulan lain. Selain itu, anda juga boleh melihat dan mengubah perbelanjaan anda mengikut kemampuan.

#4. Pembukaan akaun simpanan

Anda boleh mula membuka beberapa akaun simpanan untuk tujuan yang berbeza. Mungkin satu untuk bayi, satu untuk barang keperluan dan satu lagi untuk tujuan kecemasan. Ini mampu membantu anda untuk merancang perjalanan wang anda dengan lebih lancar dan tidak terlebih menggunakannya.

#5. Cuti bersalin, tanggungan insuran dan pelbagai kos lain

Jika anda bekerja, sangat penting untuk anda memastikan cuti bersalin agar anda dapat bersedia lebih awal. Anda juga perlu bertanya kepada majikan anda berapa lama anda boleh bercuti dan adakah cuti itu berbayar atau tidak. Selain itu, jangan abaikan tanggungjawab anda sebagai pekerja. Oleh itu, siapkan terlebih dahulu tugasan yang telah diberikan.

Anda juga perlu memeriksa kos melahirkan anak yang akan ditanggung oleh insurans yang anda telah ceburi.

#6. Beli-belah barang bayi

Ya, setiap ibu bapa pasti akan teruja dan mula membeli-belah barang bayi yang bakal lahir kelak. Namun begitu, anda mungkin perlu tunggu sehingga bayi dalam kandungan berusia 7 bulan. Ketika ini, jantina dan pelbagai perkara lain mengenai bayi akan diketahui. Ini akan membuat anda dapat merancang bagaimana untuk membuat perancangan perbelanjaan anda.

Konklusi

Konklusinya, kelahiran cahaya mata ke dunia ini merupakan satu rahmat, kurnia dan anugerah daripada Tuhan buat kita sebagai ibu bapa. Pun begitu, mereka juga akan hadir dengan membawa dan memberi kita satu tanggungjawab yang sangat besar, iaitu menjaga dan membesarkan mereka. Oleh itu, pelbagai persiapan perlu disediakan terutamanya keperluan bayi baru lahir. Diharapkan, kandungan artikel ini sedikit sebanyak dapat membantu bakal ibu bapa di luar sana.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga: