Membesarkan anak autisme bukanlah sesuatu yang mudah bagi pasangan ibu bapa. Namun begitu, ia juga bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan. Antara perkara penting yang ibu bapa perlu tahu dalam membesarkan anak istimewa ini adalah bagaimana untuk berinteraksi dengan mereka. Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Apakah itu autisme?
Autisme atau autism spectrum disorder (ASD) adalah gangguan mental yang berkaitan dengan tumbesaran dan perkembangan seseorang kanak-kanak. Ia malangnya akan menjejaskan kebolehan mereka untuk berinteraksi sesama individu lain termasuklah ibu bapa mereka sendiri. Dalam pada itu, ia juga akan memberi kesan terhadap sosial, komunikasi dan tingkahlaku kanak-kanak istimewa ini. Disebabkan itu, sesuatu perlu dilakukan untuk membantu mereka membesar.
Apakah masalah yang biasa dialami oleh kanak-kanak autisme?
Kebiasaannya, kanak-kanak autisme akan mempunyai masalah dalam pertuturan mereka. Perkembangan bahasa mereka pula adalah berbeza bergantung kepada tahap keterukan ciri-ciri autisme yang dialami oleh mereka. Berikut merupakan antara masalah perkembangan bahasa anak autisme:
- Tidak boleh bertutur
- Jika mampu untuk bertutur sekalipun, ia tidak boleh difahami
- Cuma mengujarkan bunyi sahaja seperti menjerit
- Tidak memberikan tumpuan dan kontek mata semasa berbual
- Kadang-kadang dapat menuturkan sesuatu, tetapi hanya seketika dan tidak mampu untuk diulangi
- Boleh meniru ayat atau menyanyi lagu tetapi tidak mengerti maksudnya
- Gemar mengajuk kata-kata individu lain (ekolalia)
Apakah cara yang paling sesuai untuk berinteraksi dengan mereka?
#1. Bersabar
Kanak-kanak autisme mengambil masa yang lebih lama untuk memproses informasi. Oleh itu, ketika berbual dengan mereka, pastikan anda menggunakan perkataan yang mudah untuk difahami dan tidak terlalu laju. Selain itu juga, jangan mudah terasa hati dengan setiap kata-kata mereka terhadap anda yang mengguris hati anda kerana mereka tidak bermaksud sedemikian.
#2. Ajar anak untuk tidak terlalu agresif
Ibu bapa perlu ajar anak untuk tidak mengekspresikan kemarahan dengan agresif. Sentiasa temani mereka jika mereka mula mengalami gangguan emosi.
#3. Sentiasa kekal positif
Sebaliknya, cuba sentiasa kekal positif dengan mereka. Kanak-kanak autisme mampu menilai layanan yang mereka terima daripada individu lain. Berdasarkan layan ini, mereka akan mula merancang kelakuan mereka terhadap individu tersebut. Oleh itu, sentiasa kekal positif agar mereka juga akan melakukan yang sama untuk anda.
#4. Abaikan perangai yang menyakitkan hati
Kanak-kanak autisme gemarkan perhatian dan akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkannya. Sebagai ibu bapa, mengabaikan kelakuan ini adalah cara yang paling berkesan untuk mengelakkannya. Kemudian, ajar mereka untuk berkelakuan baik dengan memberi hadiah atau upah.
#5. Gunakan aktiviti fizikal
Kanak-kanak autisme cenderung untuk mempunyai masalah penumpuan terutamanya ketika berinteraksi. Apa yang ibu bapa boleh lakukan adalah bawa anak istimewa anda ke luar rumah dan biarkan mereka bermain untuk membentuk rutin yang boleh membuat mereka berasa tenang dan relaks di samping anda.
#6. Gunakan sentuhan fizikal
Selain membiarkan mereka melakukan aktiviti fizikal, anda juga perlu sentiasa menggunakan sentuhan untuk menunjukkan bahawa anda menyayanginya. Oleh itu, sentiasa memeluk dan mencium mereka untuk menunjukkannya. Namun jika mereka tidak selesa dengan kelakuan ini, biarkan mereka dan jangan memaksa.
#7. Kekal percaya
Kanak-kanak autisme kebiasaannya akan lahir dengan bakat yang tersendiri. Apa yang anda perlu lakukan adalah kekal percaya dengan mereka. Jangan sesekali beranggapan bahawa autisme ini adalah satu kondisi atau diagnosis yang akan membebankan anda.
#8. Jaga diri anda sendiri
Ya, ia kadangkala memang memenatkan. Jadi tidak salah rasanya jika anda mencuri sedikit masa untuk berehat. Apa yang anda boleh lakukan adalah mula mencari bantuan pakar ataupun kawan dan ahli keluarga yang rapat dengan kita. Minta pandangan mereka dan jangan sesekali memendam perasaan anda seorang diri.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-child-growth-chart]