backup og meta

Bagaimana Mencegah Jenayah Pedofilia

Bagaimana Mencegah Jenayah Pedofilia

Meskipun telah terlalu banyak kes pedofilia dilaporkan di Malaysia mahupun di peringkat global, masih banyak lagi yang dipercayai tidak dilaporkan oleh mangsa. Tiada sokongan dan stigma masyarakat menyebabkan banyak lagi kes yang masih didiamkan dan kesan psikologi dibiarkan membesar dalam diri kanak-kanak yang terpaksa menanggung trauma peristiwa hitam tersebut dalam hidup mereka.

Kini selepas penggubalan Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, mendiamkan diri atau tidak melaporkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak kepada polis membawa kepada denda RM5,000. Nilai tersebut sebenarnya tidak seberapa dengan kesan kesalahan mereka yang bersubahat menutup masalah jenayah pedofilia.

Anda boleh mencegah jenayah ini berlaku terhadap anak anda atau kanak-kanak lain dalam komuniti anda dengan mengamalkan sikap mengambil tahu, bercakap tentang isu ini, mengenali mereka yang berisiko menghadapinya dan memberi sokongan kepada individu dan organisasi yang memerlukan.

Pencegahan yang paling berkesan bermula daripada diri anda dan terhadap anak-anak anda dahulu. Oleh itu, mendidik dan menerangkan tentang pedofilia kepada anak anda penting agar mereka tahu dan faham serta berupaya melindungi diri mereka daripada pemangsa.

Bagaimana saya boleh mendidik anak saya tentang pedofilia?

Anda tidak perlu menakutkan anak anda untuk memastikan mereka selamat. Ajar mereka perbezaan antara sentuhan selamat dan tidak selamat. Seawal umur 3 tahun, kanak-kanak perlu memahami bahawa bahagian-bahagian tubuh mereka adalah peribadi dan tidak patut bagi sesiapa sahaja untuk menyentuh mereka. Berikut adalah beberapa perkara yang harus diingat semasa anda memulakan perbualan:

Mulakan dengan penjelasan mudah

Anda tidak perlu memeningkan kepala anda tentang bagaimana menjelaskan proses bayi dihasilkan. Ingat, pedofilia adalah lebih tentang ‘penderaan’ berbanding ‘seksual’. Hubungan kelamin atau seks adalah sesuatu yang normal yang akan anak anda pelajari apabila tiba masanya.

Jelaskan kepada anak anda tentang bahagian sulit mereka adalah perkara peribadi, yang tidak boleh disentuh orang lain kecuali ibu bapa (atau penjaga) apabila membersihkan mereka, atau doktor apabila ditemani ibu bapa. Anda tidak perlu menekankan tentang ‘orang jahat’ yang akan mengambil kesempatan terhadap mereka. Hanya fokus kepada perbuatan yang patut dan tidak patut.

Gunakan nama sebenar untuk bahagian badan

Elakkan memanggil bahagian peribadi anak anda dengan nama-nama comel yang dibuat-buat. Ini mejadikan anak anda berfikir bahawa ada sesuatu yang aneh atau memalukan tentang badan mereka hingga mereka lebih cenderung untuk tidak memaklumkan anda jika seseorang menyentuhnya.

Bahaya bukan sahaja pada “orang tak dikenali”

Mengarahkan anak anda agar tidak bercakap dengan orang yang tidak dikenali adalah nasihat yang baik. Tetapi sebenarnya, 80 hingga 90 peratus penderaan seksual terhadap kanak-kanak dilakukan oleh orang yang mereka kenali, bahkan mungkin yang mereka sukai. Anda patut keluar daripada kebimbangan tentang ‘penculikan’ sahaja dan mula mengambil berat tentang dengan siapa mereka menghabiskan waktu seharian.

Jangan menyimpan rahsia

Pemangsa pedofilia selalunya akan memanipulasi kanak-kanak dengan rahsia. Mereka akan berkata “ini rahsia kita, jangan beritahu emak. Nanti emak marah.” Ingatkan anak anda dengan kerap bahawa tidak ada orang dewasa yang boleh meminta dia untuk menyimpan rahsia. Dan itu termasuklah anda. Sekiranya anda menyimpan rahsia bersama anak anda, ini akan mengelirukannya kerana anda melarangnya menyimpan rahsia bersama orang dewasa yang lain.

Percayalah anak anda

Wujudkan hubungan saling mempercayai dengan anak anda. Jika anda sentiasa mempersoalkan apa yang mereka katakan, mereka mungkin lebih keberatan untuk memberitahu anda jika sesuatu telah berlaku kepada mereka. Apabila anda bercakap tentang sentuhan yang tidak patut, maklumkan mereka dengan jelas bahawa anda akan mempercayai mereka dan anda tidak akan pernah marah.

Sekiranya anda adalah mangsa penderaan seksual atau mengetahui seseorang yang memerlukan bantuan, buat laporan polis atau hubungi talian Nur 15999 atau hubungi NGO berikut untuk nasihat dan bantuan lanjut:

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://asklegal.my/p/sexual-offences-children-abuse-assault-grooming-pornography-loophole

https://www.parenting.com/article/tips-child-sex-abuse-prevention

Child Pornography and Sexual Abuse Statistics

Versi Terbaru

12/05/2022

Ditulis oleh Helma Hassan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Maria Stork


Artikel Berkaitan

Anak Penghidap Hemofilia? Ketahui Cabaran & Harapan Di Dalam Bajet 2025!

Mak Ayah, Fikir Dahulu Sebelum Hantar Anak Anda Duduk Bersama Datuk Nenek!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 12/05/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan