Sebagai ibu bapa, sudah tentu anda akan risau sekiranya si kecil anda lambat bercakap jika dibandingkan dengan anak individu lain. Persoalannya, apakah yang menyebabkan anak anda lambat bercakap? Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Apakah faktor yang menyebabkannya?
Sebenarnya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anak lambat bercakap, antaranya:
Teknologi
Menurut kajian terbaharu oleh pakar di Hospital Kanak-kanak di Amerika Syarikat, kanak-kanak berumur bawah 2 tahun yang terlalu terdedah dengan teknologi akan mengalami kelewatan pertuturan dan bahasa. Antara teknologi tersebut adalah televisyen, komputer, telefon pintar atau tablet.
Genetik
Menurut kajian, jika anda sebagai ibu bapa sendiri lambat bercakap ketika kanak-kanak, tidak mustahil anak anda juga akan mengikuti anda. Ini kerana faktor genetik ini boleh diwarisi sama seperti bentuk tubuh badan, iras penampilan dan sebagainya.
Pergaulan yang terhad
Ibu bapa yang berkerja mungkin kurang meluangkan masa bersama anak. Mereka lebih gemar untuk mengupah pengasuh atau menghantar anak ke pusat asuhan. Ini sebenarnya merencatkan perkembangan anak kerana mereka cenderung untuk kurang bergaul bersama rakan lain atau pengasuh itu sendiri.
Kekurangan pengalaman baru
Perkara pertama yang perlu dikuasai oleh kanak-kanak untuk belajar bercakap adalah mengenal nama sesuatu benda. Ibu bapa yang sibuk pula mungkin kurang meluangkan masa memberi pengalaman yang baru kepada anak. Sebagai contoh, ibu bapa perlu duduk dan ajar anak mereka tentang nama-nama benda yang terdapat dalam buku atau televisyen seperti sungai, daun, pasir dan lain-lain.
Percampuran bahasa
Kebanyakan ibu bapa kini gemar mencampurkan bahasa kononnya untuk membiarkan anak terbiasa dengan pelbagai jenis bahasa. Sebagai contoh, mereka gemar mencampurkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris seperti “mama nak pergi work” atau “come sit here sayang“. Ini hanya akan mendatangkan kekeliruan kepada anak lalu merencatkan proses pembelajaran bahasa mereka.
Apakah yang perlu dilakukan?
Jika anak anda merupakan salah seorang yang lambat bercakap, ikuti tip-tip berikut:
#1. Sentiasa bercakap dengan anak anda
Ibu bapa perlu tahu bahawa kanak-kanak belajar bercakap melalui interaksi sesama manusia dan bukannya daripada skrin teknologi. Oleh itu, bercakaplah dengan anak anda sekerap yang mungkin walaupun mereka kelihatan tidak mengendahkan anda. Banyakkan bertanya soalan untuk mendorong mereka bercakap. Jika mereka bertanya pula, janagn keberatan untuk menjawab soalan tersebut dengan baik. Paling bagus, jika anda boleh berbual-bual dengan mengenai apa-apa topik sekalipun.
#2. Menyanyi bersama anak anda
Menurut kajian, kanak-kanak akan memberi respons positif terhadap perkataan yang mereka sering dengar secara berulang kali. Disebabkan itu, lagu merupakan sesuatu yang boleh membantu anak anda untuk belajar bercakap. Apa yang anda boleh lakukan adalah, memilih satu lagu yang anak anda suka dan kemudian ajak mereka untuk menyanyi bersama anda. Lakukan ini sekerap yang mungkin kerana ia dapat membantu anak anda untuk belajar bahasa dan membina keyakinan diri.
#3. Membawa buku bersama anda
Menurut kajian, kanak-kanak tidak akan belajar membaca melalui pembacaan e-books atau apa-apa sahaja bacaan berteraskan teknologi. Sepatutnya, ibu bapa perlu sentiasa membawa buku bergambar kesukaan anak ke mana-mana sahaja. Meskipun dia belum boleh membaca, biarkan mereka memegang buku tersebut dan menyelak setiap muka surat dan melihat gambar. Bacakan buat mereka kandungan tulisan buku tersebut dan lama-kelamaan, minta pula mereka membacakannya untuk anda.
#4. Fokus pada pendengaran
Dalam proses pembelajaran bahasa, pendengaran adalah sama penting dengan percakapan. Oleh itu, latih pendengaran mereka dengan arahan yang mudah seperti “bangun”, “duduk” dan lain-lain. Dalam pada itu, biasakan juga diri anda sendiri untuk memberi ruang dan mendengar setiap apa yang anak anda ingin cakapkan. Jadilah pendengar yang baik buat mereka agar mereka sentiasa berasa ada individu yang mereka boleh percaya dan bergantung untuk bercerita dan berbual-bual.
#5. Gunakan makanan
Antara perkara tentang perkataan yang terawal kanak-kanak akan belajar adalah makanan. Ini kerana ia adalah lebih dekat dengan mereka. Oleh itu, ibu bapa boleh menggunakan makanan sebagai topik atau medium perbualan dengan anak anda. Bawa mereka ke dapur dan kenalkan mereka dengan nama-nama makanan. Lakukan ini sebagai rutin apabila tiba waktu anda memasak. Namun harus diingatkan untuk berhati-hati kerana dapur adalah tempat yang berbahaya buat kanak-kanak dan boleh mendatangkan kecederaan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-child-growth-chart]