backup og meta

8 Tip Menangani Anak Keras Kepala

8 Tip Menangani Anak Keras Kepala

Jadi, anda mempunyai anak yang keras kepala dan sukar mendengar kata? Jangan risau, anda tidak keseorangan. Ramai ibu bapa menghadapi anak yang keras kepala dan mendisiplinkan mereka merupakan satu cabaran, tetapi tidak mustahil. Walaupun rutin harian anda boleh menjadi sangat meletihkan kerana tingkah laku anak anda, tip-tip ini dapat membantu apabila mengasuh anak yang keras kepala.

1. Beri mereka pilihan yang banyak

Anda boleh mengajarkan anak anda bertanggungjawab dengan cara tersirat. Daripada menyuruh anak anda untuk melakukan tugasan A, bagi mereka pilihan untuk melakukan tugasan A atau B. Contohnya, suruh anak anda memilih sama ada hendak bersarapan terlebih dahulu atau memakai baju dahulu. Dengan ini anak anda akan berasa seperti merekalah yang menentukan apa yang mereka mahu,  dan bukannya kerana anda yang suruh. Tetapi jangan pula tersalah memberi pilihan seperti memilih untuk menonton televisyen atau melakukan kerja sekolah. Mereka tetap perlu melaksanakan tanggungjawab mereka cuma dengan urutan yang mereka sukai.

2. Cipta permainan untuk mereka

Cara lain untuk membentuk tanggungjawab dalam anak anda adalah dengan memberikan tugasan mereka dalam bentuk permainan. Contohnya, jika anda mahukan anak anda mengemas bilik mereka, cipta permainan mengemas kawasan dengan tempoh waktu tertentu. Anak anda akan berasa seperti dia sedang menyertai suatu pertandingan.  Apabila anda menjerit ‘satu, dua, mula!’ dan menekan jam randik, anak anda akan berkobar-kobar ingin membersihkan biliknya dengan segera.

3. Laksanakan peraturan dan hukuman

Anak anda perlu tahu apa yang diharapkan daripada mereka. Tiada guna anda ingin menanamkan disiplin dalam rumah jika anda tidak pernah menyatakan peraturan dan hukuman yang akan dilaksanakan. Anda boleh mengadakan mesyuarat keluarga dan berbincang mengenai peraturan rumah. Anda boleh berbincang dengan anak anda tentang apa hukuman yang sesuai jika dia melakukan kesalahan tertentu. Bagi mereka pilihan seperti tidak boleh bermain gajet seharian, tidak boleh bermain permainan seharian atau perlu melakukan tugasan rumah tertentu. Ini membuatkan anak anda berasa lebih bersemangat ingin mematuhi peraturan rumah. Buat senarai peraturan dan hukuman serta letakkan di tempat yang boleh dilihat.

4. Bekerjasama dengan mereka

Mengubah pendekatan anda dengan anak anda yang degil dapat mengubah tindak balas mereka. Daripada memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan, cuba untuk bekerjasama dengan mereka. Gunakan pernyataan seperti “mari kita lakukan ini …”, “apa kata kita cuba untuk …” bukannya “Saya mahu kamu lakukan …”. Anda juga boleh membuat anak anda berasa berbangga melakukan sesuatu tugasan. Sebagai contoh, jika anda mahu anak anda yang keras kepala menyimpan mainannya, anda boleh melakukannya sendiri dan minta dia menjadi “pembantu khas” anda.

5. Jadi pendengar yang baik

Kadangkala sebagai ibu bapa, kita cepat menghukum anak atau hanya mendengar daripada satu sisi. Ini akan membuatkan anak anda lebih keras kepala di masa akan datang. Anda perlu menjadi pendengar yang baik dan membuatkan mereka berasa bahawa mereka berharga di sisi anda. Biarkan mereka bercakap dan dengarkan pandangan mereka. Tanya soalan yang bermakna kepada mereka dan bukan sekadar ‘bagaimana sekolah hari ini?’ Tetapi perkara yang lebih spesifik seperti ‘ada perkara yang menyedihkan berlaku hari ini?’

6. Letakkan diri anda dalam situasinya

Kadangkala anda hanya perlu berhenti dan berfikir tentang apa sebenarnya yang dirasai anak anda. Adakah dia tertekan, takut atau sedih? Walaupun anda ingin mengajarkan mereka disiplin dan tanggungjawab, jangan mengharapkan mereka menjadi si kecil yang dewasa. Mereka masih kanak-kanak, mahu melakukan perkara kanak-kanak, belajar, bermain dan meneroka dunia. Biarkan mereka mejadi anak kecil!

7. Jadi contoh teladan yang baik

Walaupun sukar, anda sepatutnya kekal tenang pada setiap masa. Jika anda menjerit pada anak anda, mereka akan berasa seperti mereka juga mempunyai hak untuk menjerit. Anda mungkin berkata ‘jangan menjerit!’ sedangkan anda sedang melakukan perkara yang sama. Anda mungkin mengatakan kepada mereka jangan menipu, tetapi bila ada tetamu yang tak anda senangi di pintu, anda menyuruh mereka menipu dengan mengatakan ’emak tiada di rumah’. Anak anda mencontohi peribadi anda tanpa anda sedari. Jika anda ingin membentuk anak dengan peribadi baik, mulakan dengan keperibadian anda sendiri.

8. Lihat yang positif dalam anak anda

Apabila anda berasa begitu lemah semangat dengan anak anda, cuba untuk mencari yang positif dalam diri mereka. Ia mungkin akan mengambil masa. Fikirkan kekuatan anak anda. Cuba untuk menyenaraikan kekuatan dan kebaikan anak anda, pasti ada yang akan anda temui. Tumpukan perhatian anda untuk mengembangkan kebaikan mereka itu. Dan selalu ingatkan diri anda tentang kebaikan mereka.

Mungkin sangat sukar berhadapan dengan anak anda yang degil ini. Tetapi sayangilah mereka. Luangkan masa dengan mereka. Tarik nafas dalam-dalam dan yakinlah bahawa anda pasti boleh menangani anak anda dan membentuk mereka menjadi seseorang yang hebat!

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

8 Tricks To Dealing With Stubborn Children

https://www.momjunction.com/articles/effective-ways-to-deal-with-stubborn-kids_0076976/#gref

Versi Terbaru

14/08/2023

Ditulis oleh Helma Hassan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Anak Penghidap Hemofilia? Ketahui Cabaran & Harapan Di Dalam Bajet 2025!

Mak Ayah, Fikir Dahulu Sebelum Hantar Anak Anda Duduk Bersama Datuk Nenek!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 14/08/2023

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan