Tahun-tahun pertama persekolahan adalah masa yang penting untuk ibu bapa mengambil tahu dan menyokong pendidikan kanak-kanak. Bagi ibu bapa yang pertama kali memasukkan anak ke sekolah rendah, berikut kami sediakan panduan untuk ibu bapa membantu anak menyerlah di sekolah.
Ambil berat akan kegiatan anak di sekolah
Sebelum hari persekolahan bermula, penting untuk ibu bapa hadir ke sekolah bagi mengetahui guru kelas anak anda dan harapannya terhadap murid-murid kelasnya. Pihak pengurusan sekolah juga akan membincangkan program sekolah dan polisi persekolahan kepada ibu bapa. Selain itu, anda juga disarankan untuk hadir dalam perjumpaan ibu bapa dan guru bagi mengetahui prestasi anak sepanjang tahun persekolahan. Inilah peluang untuk anda berkomunikasi bersama guru anak anda dan berbincang tentang strategi bagi menyokong anak di sekolah, terutama jika anak anda tergolong dalam kalangan pelajar pendidikan khas.
Kenali sekolah anak anda
Dengan mengetahui susun atur bangunan fizikal sekolah boleh membantu anda memahami penceritaan anak anda mengenai sekolahnya. Anda boleh mendapatkan info di dalam laman web sekolah dan melihat kalendar tahunan sekolah, maklumat kakitangan sekolah dan acara yang berlangsung di sekolah. Dengan cara ini anda akan rasa lebih dekat dengan anak anda tatkala mereka berkongsi cerita tentang sekolah.
Bantu membuat kerja sekolah
Pemberian kerja sekolah kepada kanak-kanak dapat menguatkan dan meluaskan lagi pembelajaran dalam kelas. Kerja rumah membolehkan murid-murid melatih kemahiran pembelajaran penting mereka. Selain itu, pemberian kerja sekolah juga menggalakkan rasa tanggungjawab dan menanam etika kerja dalam setiap murid. Pastikan anak anda faham bahawa kerja sekolah perlu diutamakan. Dengan mencipta persekitaran pembelajaran yang efektif dapat membantu kanak-kanak belajar dengan baik. Selain itu, anda juga boleh membantu anak semasa membuat kerja sekolah dengan cara menerangkan kerja yang guru berikan, mencari jawapan bersama dan menemaninya semasa membuat kerja sekolah. Bagaimanapun, jangan membuatkan kerja rumah untuk anak anda, sebaliknya peranan anda hanyalah sebagai pembimbing.
Persiapkan anak anda
Sarapan pagi yang sihat membantu kanak-kanak bersedia menghadapi hari persekolahan mereka. Secara amnya, kanak-kanak yang mengambil sarapan pagi lebih bertenaga, bersemangat dan berprestasi baik di sekolah. Anda boleh bantu anak meningkatkan tumpuan dan memori di dalam kelas dengan cara menyediakan sarapan pagi yang mengandungi bijirin penuh, serat, dan protein, serta rendah gula. Jika anda tidak sempat menyediakan sarapan, anda boleh bekalkan anak dengan buah-buahan segar, kekacang, yogurt, mentega kacang, dan sandwic pisang.
Anda juga perlu mengambil berat akan waktu tidur anak. Kebanyakan murid sekolah perlu tidur malam selama 10 hingga 12 jam. Kurang tidur boleh menyebabkan gangguan terhadap pembelajaran dan anak sukar memberi tumpuan dalam kelas. Jadi, anak anda memerlukan rutin tidur malam yang konsisten, terutamanya semasa hari persekolahan.
Ajar anak anda untuk mengikut jadual
Kemahiran organisasi membantu kanak-kanak menumpukan perkara yang penting, berbanding membazir masa. Kanak-kanak sekolah perlu menyediakan senarai kerja sekolah dan projek. Tunjukkan pada anak anda cara menggunakan kalendar dan perancang peribadi supaya kehidupan mereka teratur. Anda juga boleh mengajar anak mengenai keutamaan kerja.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-child-growth-chart]