Kebutaan sewaktu kecil memberi kesan kepada perkembangan dan pertumbuhan anak. Disebabkan itu, kecacatan mata bayi baru lahir perlu dikesan secepat mungkin agar tindakan lanjut dapat dilakukan dengan segera. Masalah kongenital mata merupakan antara perkara yang akan dikenalpasti doktor sewaktu pemeriksaan bayi baru lahir. Kongenital merujuk kepada keadaan sejak lahir. Masalah kongenital mungkin berpunca semasa perkembangan janin akibat genetik, jangkitan atau pengambilan ubat tertentu semasa dalam kandungan. Meskipun jarang berlaku, berikut merupakan 6 kecacatan mata kongenital yang mungkin ditemui pada bayi baru lahir:
1. Anoftalmos
Sebilangan kecil bayi mungkin lahir tanpa satu atau dua biji mata. Ini boleh dikaitkan dengan beberapa penyakit semasa kehamilan, seperti rubella atau cacar air atau gangguan lain semasa perkembangan janin dalam rahim. Kajian juga mendapati beberapa kaitan dengan genetik. Penglihatan bayi ini tidak boleh dipulihkan, tetapi kanak-kanak ini boleh menambah baik penampilan dengan biji mata palsu. Oleh itu, penting untuk bayi baru lahir yang mengalami anoftalmos dirujuk untuk penilaian di pusat pakar secepat mungkin.
2. Mikroftalmos
Sebilangan kecil bayi mungkin lahir dengan biji mata yang sangat kecil dan tidak berfungsi. Punca keadaan ini sama dengan anoftalmos. Penglihatan bayi ini tidak boleh dipulihkan, tetapi kanak-kanak ini boleh menambah baik penampilan dengan biji mata palsu. Oleh itu, penting untuk bayi yang dilahirkan dengan mikroftalmos dirujuk untuk penilaian di pusat pakar secepat mungkin.
3. Koloboma
Koloboma adalah kegagalan penutupan bahagian belakang mata yang boleh menjejaskan iris, retina atau koroid. Ia berlaku pada peringkat awal kehamilan apabila sebahagian mata gagal menyempurnakan pertumbuhan dan menyatu bersama; menyebabkan jurang di antaraya. Perkara ini biasa dikesan jika anda mendapati bayi anda mempunyai pupil (bahagian hitam mata) yang berbentuk seperti lubang kunci. Ia boleh menjejaskan satu mata atau kedua-duanya, dan penglihatan mungkin atau mungkin tidak terjejas bergantung kepada bahagian mata yang terlibat. Ia boleh berlaku dengan sendiri atau akibat gangguan genetik. Kanak-kanak dengan keadaan ini harus dinilai oleh pakar. Pada masa ini tiada rawatan, tetapi penilaian tersebut dapat menentukan sama ada penglihatan anak anda terjejas atau tidak dan untuk menangani masalah sampingan seperti ambylopia atau mata malas. Cermin mata hitam atau topi mungkin membantu jika kanak-kanak tersebut sensitif kepada cahaya. Kanak-kanak yang lebih besar mungkin berminat dengan kanta sentuh kosmetik yang menyembunyikan bentuk pupil mereka.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
4. Glukoma Kongenital
Sebilangan kecil bayi dilahirkan dengan masalah yang menyebabkan tekanan dalam mata mereka meningkat. Ia boleh berlaku disebabkan masalah kongenital atau perkembangan. Mata memerlukan sejumlah tekanan tertentu untuk memastikannya kekal terbentuk. Walau bagaimanapun, terlalu banyak tekanan boleh merosakkan saraf optik di bahagian belakang mata. Keadaan ini mungkin disebabkan genetik. Apabila dikesan, bayi anda mungkin memerlukan pembedahan untuk meningkatkan aliran keluar cecair dari mata dan mengurangkan tekanan. Ubat juga mungkin diperlukan dan anak anda akan sentiasa memerlukan pemantauan mata.
5. Anirida
Aniridia adalah keadaan di mana bahagian yang berwarna pada mata tidak berkembang. Ia mungkin tiada sepenuhnya atau sebahagiannya. Ia biasanya menjejaskan kedua-dua mata dan boleh menyebabkan penglihatan yang lemah dan sensitiviti kepada cahaya. Ia mungkin disebabkan oleh gen yang rosak. Tiada rawatan untuk aniridia tetapi disebabkan ia boleh terkait dengan masalah mata yang lain, anak anda akan perlu melihat pakar mata secara berterusan.
6. Katarak Kongenital
Katarak membuat penglihatan anda kabur, seperti cuba melihat melalui kaca berkabus. Sesetengah bayi dilahirkan dengan katarak atau mendapat katarak pada usia yang sangat awal. Ini boleh beraku pada satu atau kedua-dua mata. Katarak kongenital mungkin berlaku disebabkan jangkitan seperti rubella, keadaan perubatan yang mempengaruhi metabolisme bayi, atau genetik dan diwarisi dalam dalam keluarga. Katarak tengah akan lebih menjejaskan penglihatan berbanding katarak pinggir. Pakar mata akan menilai penglihatan bayi anda. Sesetengah kanak-kanak dengan katarak mungkin memerlukan pembedahan supaya penglihatan mereka dapat berkembang dengan lebih baik. Selepas pembedahan, mereka mungkin memerlukan kaca mata atau kanta lekap. Dengan pengesanan awal dan rawatan, ramai kanak-kanak dengan katarak kongenital dapat mempunyai penglihatan normal sepanjang hayat mereka.
Selain masalah yang disebutkan di atas, terdapat pelbagai masalah kongenital lain yang mungkin berlaku pada mata bayi. Sesetengah kecacatan tidak memberi kesan kepada penglihatan bayi manakala ada juga kecacatan yang memberi kesan kepada pnglihatan dan perkembangan bayi. Oleh itu, pemeriksaan mata bayi adalah antara rutin yang dilakukan selepas kelahiran untuk memastikan bayi anda tidak mengalami sebarang masalah. Dengan pengesanan awal, rawatan dapat didahulukan dan mengelakkan komplikasi yang mungkin berlaku.