backup og meta

Ibu, Ada 9 Kebaikan Kolostrum Anda Perlu Tahu, Semuanya Membantu Si Manja!

Ibu, Ada 9 Kebaikan Kolostrum Anda Perlu Tahu, Semuanya Membantu Si Manja!

Tahukah ibu ayah tentang khasiat susu kolostrum? Teruskan bacaan bagi mengetahui khasiat kolostrum untuk bayi dan bagaimana anda boleh membekalkannya pada si manja. Namun sebelum itu, apa kata anda selami dahulu apakah maksud susu kolostrum ini.

Apakah itu susu kolostrum?

Bagi anda yang pertama kali mendengar istilah susu kolostrum, ia adalah susu ibu yang terawal dihasilkan bermula pada pertengahan kehamilan, iaitu antara minggu ke-12 hingga ke-18 dan beberapa hari pertama selepas bayi dilahirkan 1.

Tekstur susu kolostrum selalunya pekat, melekit dan berwarna kuning, jernih, mahupun putih 1 . Walau bagaimanapun, terdapat juga susu kolostrum yang memiliki warna lain berbanding apa yang dinyatakan di atas. 

Kebaikan kolostrum untuk bayi

Berdasarkan tinjauan jurnal, antara khasiat susu kolostrum adalah ia mengandungi pelbagai jenis nutrien, termasuklah antibodi yang menyokong sistem imun badan bayi dalam minggu pertama kehidupan mereka 2 .

Bahkan, susu kolostrum juga mengandungi protein yang sangat tinggi nilainya kerana ia memenuhi keperluan nutrisi pemakanan bayi seperti daya ketahanan tubuh, gula, dan juga lemak 1.

Satu perkara menarik mengenai kolostrum adalah, walaupun protein ini banyak dihasilkan pada susu awal ibu, tetapi ia juga boleh ditemui dalam susu matang. Jadi tidak sia-sialah ibu yang melakukan penyusuan eksklusif buat bayi!

Nutrien yang terkandung dalam kolostrum

khasiat susu kolostrum

Setelah mengetahui tentang apa itu susu kolostrum, pasti persoalan seterusnya yang bermain di minda ibu ayah adalah nutrien yang terkandung di dalam susu ini, bukan?

Seperti yang dijelaskan di atas, kolostrum meningkatkan imuniti bayi terhadap kuman yang ada di persekitarannya. Ia melindungi dan melapisi saluran usus untuk menghalang kuman dan bakteria agar ia tidak diserap sistem tubuh si manja 1.

Kolostrum kaya makronutrien, vitamin dan mineral. Kebanyakan khasiat susu kolostrum ini berkaitan dengan sebatian yang terdapat dalam susu kolostrum itu sendiri, seperti:

  • Laktoferin: Protein yang terlibat dalam tindak balas imun tubuh terhadap jangkitan, termasuklah jangkitan bakteria dan virus. Laktoferin membantu menyokong kesihatan pencernaan bayi 3. Dianggarkan, kolostrum mengandungi 7 kali ganda laktoferin berbanding susu matang 4
  • Faktor pertumbuhan: Terdapat hormon yang berfungsi merangsang tumbesaran tubuh si manja di dalam susu kolostrum. Hormon ini juga berperanan membantu memperbaiki sel tubuh yang rosak 2.     
  • Antibodi: Antibodi adalah protein, turut dikenali sebagai imunoglobulin. Ia digunakan sistem imun badan untuk melawan bakteria dan virus. Antibodi juga dapat mencegah jangkitan pada imuniti pasif 2.    

Berita baik buat ibu ayah, nutrien kolostrum ini boleh juga diambil pada fasa lain kehidupan anak, contohnya apabila si manja sudah menyusu botol. Ia boleh dibekalkan pada si manja dalam bentuk suplemen tambahan. 

Oleh sebab itulah, sekiranya penyusuan susu badan tidak dapat dilakukan, ataupun anak anda sudah tidak lagi menyusu badan, penting untuk ibu ayah memilih dan memberi susu formula terbaik yang mengandungi laktoferin agar mereka kekal memperoleh khasiat susu kolostrum.

9 khasiat susu kolostrum 

Sudah tentu, ibu ayah ingin mengetahui dengan lebih lanjut kebaikan yang ditawarkan kolostrum. Berikut dikongsikan 9 cara kolostrum membantu perkembangan bayi:

1. Menguatkan daya tahan tubuh

Kolostrum membantu mengimunisasikan bayi daripada kuman berbahaya dengan melapisi usus dan membantu melindungi sistem kekebalannya daripada kuman dan bakteria1. Lapisan ‘dinding’ ini dapat mempersiapkan bayi untuk kehidupan yang lebih sihat. 

2. Mencegah keradangan

Ia juga bertindak membunuh mikroorganisma berbahaya dan memberi perlindungan buat tubuh si manja daripada keradangan1.    

Keradangan boleh berlaku apabila sistem imun tubuh bertindak balas terhadap kecederaan, jangkitan kuman atau bendasing. Tindak balas tersebut boleh mengakibatkan bengkak, radang, panas, dan rasa sakit di kawasan terlibat6.

3. Laksatif semula jadi

Kolostrum adalah laksatif semula jadi kerana ia membantu membersihkan sistem saluran pencernaan bayi daripada mekonium, najis pertama yang dihasilkan si manja ketika di dalam rahim. 

Lebih cepat pembersihan dan penyingkiran mekonium dapat dilakukan, lebih rendah risiko penyakit kuning bayi 1.  

4. Mencegah gula dalam darah yang rendah

Bagi bayi yang dilahirkan cukup bulan, kolostrum membantu mencegah tahap gula dalam darah yang rendah 7, yang juga dikenali sebagai hipoglikemia.

5. Nutrisi tambahan

Kolostrum sangat berguna untuk bayi pramatang kerana ia menawarkan nutrisi tambahan yang diperlukan mereka 1.

6. Menggalakkan penyusuan susu ibu

Bayi yang mendapat khasiat susu kolostrum sejurus selepas lahir lebih cenderung untuk diberi penyusuan eksklusif. Ia juga mendorong ibu untuk menghasilkan lebih banyak bekalan susu.

Malah, penyelidikan sendiri membuktikan sentuhan awal kulit-ke-kulit antara ibu dan bayi pramatang serta pendedahan kepada kolostrum akan menggalakkan penyusuan susu badan 8 .

7. Membantu proses tumbesaran

Jika bayi memiliki berat badan rendah selepas lahir, pemberian kolostrum sama ada dari susu ibu ataupun susu formula terbaik yang diperkaya dengan laktoferin akan membantu menyokong meningkatkan berat badan dengan lebih sihat 9.     

8. Menghasilkan bakteria bermanfaat

Susu kolostrum juga membentuk bakteria bermanfaat dalam saluran pencernaan bayi 10. Hasil kajian mendapati bakteria yang terdapat dalam mikrobioma membantu melawan jangkitan di dalam tubuh si manja.

9. Mencegah dan merawat masalah pencernaan

Sebatian yang terkandung dalam kolostrum, terutamanya laktoferin dan antibodi, memainkan peranan dalam mencegah masalah pencernaan yang berkaitan dengan jangkitan bakteria mahupun virus seperti cirit-birit 11. Ia juga baik dalam mencegah sembelit. 

Berapa jumlah kolostrum yang diperlukan bayi?

khasiat susu kolostrum

Anda risau sekiranya jumlah kolostrum yang dihasilkan susu badan anda tidak dapat memenuhi keperluan bayi? Usah bimbang! Kebanyakan ibu baharu boleh menghasilkan kolostrum antara 10 hingga 100 mililiter (ml) setiap hari. Namun, jumlah paling biasa adalah sekitar 30 ml atau kira-kira 1 auns sehari. Ia sebenarnya hampir sama dengan jumlah yang diperlukan bayi anda 12.     

Pun begitu, andainya masih terbit rasa risau di hati anda berkaitan jumlah kolostrum yang akan dihasilkan, ada cara untuk mengatasinya. Buat si manja yang menyusu botol, ada cara untuk memilih susu formula terbaik untuk bayi yang boleh anda cuba.

Kehebatan laktoferin dalam susu formula disokong beberapa kajian 

Jika anda memberi bayi penyusuan melalui botol, cubalah susu formula yang mengandungi laktoferin. Kajian yang dilakukan terhadap bayi baru lahir dengan kurang berat badan mendapati, susu formula yang diperkaya dengan laktoferin (sama ada dengan atau tanpa probiotik) berupaya mengurangkan risiko bakteria atau kulat “delayed-onset septicaemia”  13.  

Beberapa kajian lain juga turut menyokong kebaikan laktoferin dalam susu formula. Kajian di China melaporkan penurunan masalah berkaitan pernafasan dan cirit-birit, masing-masing sebanyak 32% dan 35% pada bayi yang diberi susu formula yang mengandungi laktoferin 14.       

Manakala, penyelidikan berskala kecil di Amerika Syarikat pula menunjukkan pengurangan lebih 70% masalah berkaitan jangkitan saluran pernafasan 14. Kajian klinikal sendiri menunjukkan protein ini berupaya menyokong kesihatan imun anak anda 15   

Di samping, laktoferin juga memainkan peranan dalam melawan jangkitan bakteria dengan mencegah pembiakan bakteria dan kulat daripada merebak 16 Fungsi laktoferin tidak terhenti setakat itu sahaja, ia juga menjalankan fungsi antibakteria, manakala mekanisme pengikat zat besinya berupaya menghancurkan bakteria 17   

Buatlah pilihan dengan bijak

Kini, ibu ayah sudah memahami mengenai kepentingan susu kolostrum buat si manja. Keputusan di tangan anda untuk terus membekalkan nutrisi penting ini demi kebaikan anak. Terdapat susu formula yang diperkaya dengan laktoferin di pasaran. Apa yang penting, ibu ayah perlu semak dahulu label kandungan susu formula tersebut.

Semoga perkongsian artikel ini memberikan manfaat kepada anda.

[embed-health-tool-baby-poop-tool]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

1 Colostrum: General. Retrieved Nov 5, 2020 from https://www.llli.org/breastfeeding-info/colostrum-general/

2 Colostrum – its Composition, Benefits as a Nutraceutical – A Review (2013). Retrieved Nov 5, 2020 from  http://www.foodandnutritionjournal.org/volume1number1/colostrum-its-composition-benefits-as-a-nutraceutical-a-review/

3 The Role of Lactoferrin in Gastrointestinal and Immune Development and Function: A Preclinical Perspective (2016). Retrieved Nov 5, 2020 from  https://www.jpeds.com/article/S0022-3476(16)00295-X/fulltext

4 Lactoferrin (2019). Retrieved Nov 5, 2020 from  https://www.medicinenet.com/lactoferrin/supplements-vitamins.htm 

5 Breastfeeding FAQs: Getting Started (2019). Retrieved Nov 5, 2020 from  https://kidshealth.org/en/parents/breastfeed-starting.html

6 What is an inflammation? (2010). Retrieved Nov 5, 2020 from  https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK279298/# 

7 Hypoglycemia of the Newborn (Low blood sugar) (2009). Retrieved Nov 5, 2020 from  https://www.canadianbreastfeedingfoundation.org/basics/low_blood_sugar.shtml 

8 Early Initiation of Colostrum and Skin to Skin to Establish Successful Breast Milk Feeding in Very Preterm Infants (2018). Retrieved Nov 5, 2020 from  https://pediatrics.aappublications.org/content/141/1_MeetingAbstract/287 

9 Colostrum. Retrieved Nov 5, 2020 from https://www.winchesterhospital.org/health-library/article?id=21692

10 Colostrum Meets the Microbiome A Tried and True Remedy for Gut Health Takes Centre Stage (2014). Retrieved Nov 5, 2020 from  https://www.clinicaleducation.org/resources/reviews/colostrum-meets-the-microbiome-a-tried-and-true-remedy-for-gut-health-takes-center-stage/ 

11 Elevated lactoferrin is associated with moderate to severe Clostridium difficile disease, stool toxin, and 027 infection (2013). Retrieved Nov 5, 2020 from https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3825630/ 

12 Colostrum: Prenatal /Antenatal Expression. Retrieved Nov 5, 2020 from  https://www.llli.org/breastfeeding-info/colostrum-prenatal-antenatal-expression/ 

13 Bovine lactoferrin supplementation for prevention of late-onset sepsis in very low-birth-weight neonates: a randomized trial (2009). Retrieved Nov 5, 2020 from https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/19809023/ 

14 In Pursuit of Better Baby Formula (2019). Retrieved Nov 5, 2020 from https://www.smithsonianmag.com/innovation/pursuit-better-baby-formula-180973388/   

15 Clinical Benefits of Lactoferrin for Infants and Children (2016). Retrieved Nov 5, 2020 from  https://www.jpeds.com/article/S0022-3476(16)00298-5/fulltext

16 Bovine lactoferrin prevents invasive fungal infections in very low birth weight infants: a randomized controlled trial (2011). Retrieved Nov 5, 2020 from  https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22184648/ 

17 The Antimicrobial Effect of Lactoferrin on Gram-Negative and Gram-Positive Bacteria (2015). Retrieved Nov 5, 2020 from  https://sites.kowsarpub.com/iji/articles/14726.html# 

Versi Terbaru

05/08/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Sebelum Hukum Ibu Yang Tak Dapat Menyusu Anak, Fahami 4 Sebab Mengapa Mereka Tak Dapat Menyusu Ini Dulu!

Ingin Bercerai Susu, Tapi Takut Si Manja Tak Bersedia? Cuba 4 Tip Mudahkan Proses Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/08/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan