Air putih merupakan suatu yang sangat penting untuk survival setiap individu. Namun begitu, bayi yang berumur 6 bulan ke bawah masih belum boleh minum air putih kerana boleh mendatangkan pelbagai kesan terhadap kesihatan mereka. Pada masa yang sama, anda juga tidak boleh hanya bergantung kepada susu atau minuman bernutrisi yang lain apabila mereka sudah mula membesar. Ikuti artikel ini untuk mengetahui bila waktu yang paling sesuai untuk bayi anda boleh mula minum air putih.
Keracunan air putih
Air putih sebenarnya tidak akan mendatangkan apa-apa kemudaratan. Namun begitu, air putih belum boleh diberi kepada bayi berumur 6 bulan ke bawah kerana ketika ini bayi perlu mendapatkan nutrien yang secukupnya daripada susu ibu atau susu formula terlebih dahulu tanpa ada gangguan daripada air minuman yang lain. Selain itu, memberi air putih kepada bayi juga akan menyebabkan bayi kekenyangan lantas tidak mahu untuk menyusu.
Dalam beberapa kes, minum terlalu banyak air putih akan menyebabkan bayi anda menghidapi kondisi keracunan air putih. Kondisi ini disebabkan oleh air putih yang telah dicemari yang akan menyebabkan kesesakan sodium di dalam badan bayi dan melemahkan keseimbangan elektrolit dalam tisu badan bayi. Keracunan air putih ini juga mampu mengakibatkan pembengkakan pada tisu yang boleh menyebabkan sawan dan paling membimbangkan, bayi anda juga berisiko untuk koma.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Air putih dan sistem pencernaan
Selain keracunan air putih, pemberian air putih kepada bayi berumur 6 bulan ke bawah juga mampu menyebabkan mereka mengalami malnutrisi dan cirit-birit. Ini kerana sistem pencernaan bayi adalah sangat lemah dan sensitif. Air putih yang tercemar akan menyebabkan ketidakselesaan kepada perut bayi. Tambahan itu, air putih mampu mengurangkan keinginan mereka untuk menyusu. Sekiranya bayi mula menolak untuk menyusu, ini akan menyebabkan malnutrisi kepada bayi dan ibu pula akan menghasilkan susu yang kurang banyak pada masa hadapan.
Sebaiknya, berikan mereka air putih seiring dengan susu dan minuman berkhasiat yang lain sehingga mereka sudah boleh makan makanan pejal. Jika cuaca terlalu panas, anak anda mungkin memerlukan lebih banyak air. Pastikan anda memberikan mereka air putih yang bersih dan bersuhu sederhana.
Air putih dan susu ibu
Ibu dan bakal ibu tidak perlu risau sekiranya anak anda belum mahu untuk minum air putih. Ini kerana susu ibu mengandungi 80% cecair dan nutrisi yang mencukupi buat bayi. Oleh itu, setiap kali bayi anda berasa haus, berikan mereka susu ibu kerana susu ibu bukan sahaja akan mengenyangkan malahan meningkatkan sistem imun bayi. Susu ibu juga akan membantu bayi anda melawan infeksi sekaligus membesar dengan lebih baik. Paling penting, susu ibu sebenarnya sudah mampu menampung keperluan air yang diperlukan oleh bayi.
Secara amnya, ibu bapa perlu menunggu sehingga bayi mereka mencecah umur 6 bulan untuk mula beri air putih. Dalam perjalanan meniti usia itu, manfaatkan susu ibu dan susu formula. Apabila bayi anda sudah mencecah 6 bulan, mula beri air putih kepada bayi anda setiap kali mereka berasa haus.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.