Merawat ketidaksuburan bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap rawatan dan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat masalah ini sangat rumit dan kontroversial. Antara salah satu ubat-ubatan yang sering digunakan untuk mengatasi masalah kesuburan ini adalah prednisone atau prednisolone.
Apakah itu prednisone?
Prednisone merupakan sejenis dadah yang dapat membantu merawat pelbagai kondisi kesihatan seperti penyakit autoimun, penyakit kulit dan asma yang merupakan antara komplikasi kehamilan. Prednisone ini juga digunakan untuk merawat ketidaksuburan. Terdapat kajian yang menunjukkan prednisone memainkan peranan yang penting dalam mengurangkan risiko keguguran selain melindungi daripada sel pembunuh dan antibodi antisperma yang akan menyerang janin dan sperma.
Namun begitu, masih belum terdapat sebarang bukti klinikal untuk teori tersebut. Ini kerana predisone turut mendatangkan kesan yang negatif terhadap janin selain melindunginya daripada ancaman lain.
Pengambilan prednisone dalam jangka masa panjang juga dikaitkan dengan kelahiran bayi pramatang (bayi lahir sebelum minggu ke-37 kehamilan). Selain itu, prednisone juga dikatakan menjadi penyebab kelahiran bayi kurang berat.
Apakah kesan sampingan prednisone?
Terdapat beberapa kesan sampingan prednisone yang anda perlu tahu:
- Pening kepala;
- Tekanan darah rendah;
- Kadar kandungan gula rendah;
- Masalah pernafasan;
- Bibir sumbing: menurut kajian, kondisi ini mungkin akan terjadi kepada bayi anda sekiranya anda mengambil prednisone ketika trimester pertama kehamilan.
Sebelum menggunakan prednisone, sila pastikan anda merujuk kepada pakar perubatan terlebih dahulu.
Apakah yang perlu diketahui sebelum mengambil prednisone?
Perkara paling penting yang anda perlu tahu dan pertimbangkan sebelum mengambil prednisone adalah berhubung terlebih dahulu dengan pakar perubatan. Rawatan menggunakan prednisone memerlukan pemahaman individu yang baik terhadap segala kemungkinan yang bakal berlaku.
Sebelum itu juga, pertimbangkan kebaikan dan keburukan yang bakal berlaku jika anda menggunakan ubat-ubatan ini. Pastikan anda menyedari setiap risiko yang bakal terjadi. Terdapat banyak cerita berkenaan kejayaan individu yang menggunakan prednisone ini namun ada juga yang tidak berjaya. Tuntasnya, tidak terdapat satu jaminan yang utuh mengenai rawatan menggunakan prednisone ini.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-ovulation]