backup og meta

Kalsium

Kegunaan

Apakah kegunaan Kalsium?

Kalsium adalah mineral yang merupakan bahagian penting tulang dan gigi. Sistem jantung, saraf dan sistem pembekuan darah juga memerlukan kalsium untuk berfungsi.

Kalsium digunakan untuk:

  • Rawatan dan pencegahan tahap kalsium yang rendah dan keadaan tulang yang mengakibatkan osteoporosis, riket, dan osteomalasia
  • Sindrom Prahaid (PMS)
  • Kejang kaki semasa kehamilan
  • Tekanan darah tinggi semasa kehamilan (pra-eklampsia)
  • Risiko kanser kolon dan rektum
  • Komplikasi selepas pembedahan pintasan usus, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi, penyakit Lyme
  • Tahap fluorida tinggi pada kanak-kanak
  • Tahap plumbum yang tinggi

Kalsium karbonat digunakan sebagai antasid untuk “pedih ulu hati.’ Kalsium karbonat dan kalsium asetat juga digunakan untuk mengurangkan tahap fosfat pada orang yang mengalami penyakit buah pinggang

Bagaimana ia berfungsi?

Tidak banyak kajian tentang bagaimana kalsium berfungsi. Sila berbincang dengan doktor untuk mendapatkan maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, diketahui bahawa:

  • Tulang dan gigi mengandungi lebih dari 99% kalsium dalam tubuh manusia. Kalsium juga terdapat di dalam darah, otot, dan tisu lain. Kalsium dalam tulang boleh digunakan sebagai simpanan yang boleh dilepaskan ke dalam badan seperti yang diperlukan. Kepekatan kalsium dalam badan cenderung menurun apabila semakin berusia kerana ia dikeluarkan dari badan melalui peluh, sel-sel kulit, dan sisa buangan. Di samping itu, apabila wanita bertambah tua, penyerapan kalsium cenderung menurun disebabkan tahap estrogen yang berkurang. Penyerapan kalsium berbeza-beza mengikut kaum, jantina, dan umur.
  • Tulang sentiasa rosak dan dibina semula, dan kalsium diperlukan untuk proses ini. Mengambil kalsium tambahan membantu tulang dibina semula dengan sempurna dan kekal kuat.

Langkah berjaga-jaga & Amaran

Apa yang perlu saya tahu sebelum mengambil Kalsium?

Berunding dengan doktor atau ahli farmasi atau ahli herba anda, jika:

  • Anda hamil atau menyusu. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya boleh mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk apa-apa ubat yang anda ambil yang boleh dibeli tanpa preskripsi.
  • Anda mempunyai alahan dengan apa-apa bahan yang terkandung dalam kalsium atau ubat-ubatan lain atau herba lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.
  • Anda mempunyai apa-apa jenis alahan lain, seperti alahan kepada makanan, pewarna, pengawet, atau haiwan.

Kawalan (regulasi) bagi suplemen herba kurang ketat daripada kawalan untuk ubat-ubatan. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan keselamatannya. Faedah mengambil suplemen herba ini mestilah melebihi risikonya sebelum digunakan. Rujuk dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut.

Adakah Kalsium selamat digunakan?

Kalsium berkemungkinan selamat untuk kebanyakan orang apabila diambil secara oral atau apabila diberikan secara intravena (melalui IV) dan dengan cara yang sesuai.

Kalsium mungkin tidak selamat untuk orang dewasa dan kanak-kanak apabila diambil secara oral dalam dos yang tinggi. Elakkan mengambil kalsium terlalu banyak. Institut Perubatan menetapkan tahap pengambilan atas harian (UL) yang diterima untuk kalsium berdasarkan umur seperti berikut: Umur 0-6 bulan, 1000 mg; 6-12 bulan, 1500 mg; 1-8 tahun, 2500 mg; 9-18 tahun, 3000 mg; 19-50 tahun, 2500 mg; 51+ tahun, 2000 mg. Dos yang lebih tinggi meningkatkan kemungkinan mempunyai kesan sampingan yang serius.

Beberapa penyelidikan baru-baru ini juga menunjukkan bahawa dos melebihi keperluan harian yang disyorkan sebanyak 1000-1300 mg setiap hari untuk kebanyakan orang dewasa mungkin meningkatkan kemungkinan serangan jantung. Kajian ini membimbangkan, tetapi masih terlalu awal untuk mengatakan bahawa kalsium adalah punca sebenar serangan jantung. Oleh yang demikian, sehingga lebih banyak maklumat berkaitan perkara ini diketahui, teruskan pengambilan jumlah kalsium yang cukup untuk memenuhi keperluan harian, tetapi bukan secara berlebihan.

Pastikan anda mempertimbangkan jumlah pengambilan kalsium daripada kedua-dua sumber makanan dan sumber tambahan dan cuba untuk tidak melebihi 1000-1300 mg kalsium sehari. Untuk mengetahui kalsium dari pemakanan, kira 300 mg / hari dari makanan bukan tenusu ditambah 300 mg / dari susu atau jus oren yang diperkaya.

Langkah berjaga-jaga & amaran khas

Kehamilan dan penyusuan bayi: Kalsium mungkin selamat apabila diambil secara oral dalam jumlah yang disyorkan semasa mengandung dan menyusukan bayi. Tiada maklumat yang mencukupi mengenai keselamatan pengambilan kalsium secara intravena (oleh IV) semasa mengandung dan menyusu.

Tahap asid rendah dalam perut (aklorhidria). Orang yang mempunyai asid gastrik yang rendah menyerap kalsium pada kadar yang lebih rendah jika kalsium diambil dengan perut kosong. Walau bagaimanapun, paras asid rendah dalam perut tidak mengurangkan penyerapan kalsium jika kalsium diambil dengan makanan. Adalah dinasihatkan bagi orang dengan aklorhidria untuk mengambil suplemen kalsium dengan makanan.

Tahap fosfat yang tinggi dalam darah (hiperfosfatemia) atau tahap rendah fosfat dalam darah (hipofosfatemia): Kalsium dan fosfat perlu seimbang di dalam badan. Mengambil terlalu banyak kalsium boleh menjejaskan keseimbangan ini dan mengundang bahaya. Jangan ambil suplemen kalsium tanpa pengawasan penyedia kesihatan anda.

Tiroid kurang aktif (hipotiroidisme): Kalsium boleh mengganggu rawatan penggantian hormon tiroid. Jarakkan pengambilan kalsium dan ubat tiroid dalam sela masa sekurang-kurangnya 4 jam.

Terlalu banyak kalsium dalam darah (seperti dalam kelenjar paratiroid and sarkoidosis): Kalsium harus dielakkan jika anda mempunyai salah satu daripada keadaan ini.

Fungsi buah pinggang yang lemah: Suplemen kalsium boleh meningkatkan risiko mempunyai kalsium terlalu banyak dalam darah pada orang dengan fungsi buah pinggang yang lemah.

Merokok: Orang yang merokok menyerap kalsium pada kadar yang lebih rendah daripada perut

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Kalsium?

Kalsium boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan kecil seperti sendawa atau angin.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa pakar herba atau doktor anda.

Tindak balas

Apakah tindakbalas yang boleh saya alami dengan Kalsium?

Produk yang boleh bertindak balas dengan kalsium termasuk:

  • Ceftriaxone

Mengambil ceftriaxone dan kalsium secara intravena boleh menyebabkan kerosakan yang mengancam nyawa kepada paru-paru dan buah pinggang. Kalsium tidak boleh diberikan secara intravena dalam tempoh 48 jam selepas pengambilan ceftriaxone secara intravena.

  • Antibiotik

Kalsium mungkin mengurangkan kadar serapan antibiotik oleh badan anda. Mengambil kalsium bersama-sama dengan beberapa antibiotik mungkin mengurangkan keberkesanan beberapa antibiotik. Untuk mengelakkan tindak balas ini, ambil suplemen kalsium sekurang-kurangnya 1 jam selepas pengambilan antibiotik.

Antara antibiotik yang mungkin bertindak balas dengan kalsium termasuk ciprofloxacin (Cipro), enoxacin (Penetrex), norfloxacin (Chibroxin, Noroxin), sparfloxacin (Zagam), dan trovafloxacin (Trovan).

  • Antibiotik

Kalsium boleh melekat pada beberapa antibiotik yang dipanggil tetrasiklin di dalam perut. Ini mengurangkan jumlah tetrasiklin yang boleh diserap. Mengambil kalsium dengan tetrasiklin mungkin mengurangkan keberkesanan tetrasiklin. Untuk mengelakkan tindak balas ini, ambil kalsium 2 jam sebelum atau 4 jam selepas mengambil tetrasiklin.

Beberapa tetrasiklin termasuk demeclocycline (Declomycin), minocycline (Minocin), dan tetracycline (Achromycin, dan lain-lain).

  • Bisphosphonate

Kalsium boleh mengurangkan kadar serapan bisphosphate oleh badan anda. Mengambil kalsium bersama-sama dengan bisphosphate dapat mengurangkan keberkesanan bisphosphate. Untuk mengelakkan tindak balas ini, ambil bisphosphonate sekurang-kurangnya 30 minit sebelum mengambil kalsium atau lebih lambat pada hari yang sama.

Sesetengah bisphosphonate termasuk alendronate (Fosamax), etidronate (Didronel), risedronate (Actonel), tiludronate (Skelid), dan lain-lain.

  • Calcipotriene

Calcipotriene (Dovonex) adalah ubat yang sama dengan vitamin D. Vitamin D membantu badan anda menyerap kalsium. Mengambil suplemen kalsium bersama-sama dengan calcipotriene (Dovonex) mungkin menyebabkan badan mempunyai kalsium yang terlalu banyak.

  • Digoxin

Kalsium boleh menjejaskan hati anda. Digoxin (Lanoxin) digunakan untuk membantu jantung anda lebih kuat. Mengambil kalsium bersama-sama dengan digoxin (Lanoxin) mungkin meningkatkan kesan digoksin (Lanoxin) dan membawa kepada degupan jantung yang tidak teratur. Jika anda mengambil digoxin (Lanoxin), rujuk dengan doktor anda sebelum mengambil suplemen kalsium.

  • Diltiazem

Kalsium boleh menjejaskan hati anda. Diltiazem (Cardizem, Dilacor, Tiazac) juga boleh menjejaskan hati anda. Mengambil sejumlah besar kalsium bersama dengan diltiazem (Cardizem, Dilacor, Tiazac) mungkin mengurangkan keberkesanan diltiazem (Cardizem, Dilacor, Tiazac).

  • Levothyroxine

Levothyroxine digunakan untuk fungsi tiroid yang rendah. Kalsium boleh mengurangkan kadar serapan levothyroxine oleh badan anda. Mengambil kalsium bersama-sama dengan levothyroxin mungkin mengurangkan keberkesanan levothyroxine. Levotiroksin dan kalsium perlu diambil sekurang-kurangnya dengan beza masa sekurang-kurangnya 4 jam.

Sesetengah jenama yang mengandungi levothyroxine termasuk Armor Thyroid, Eltroxin, Estre, Euthyrox, Levo-T, Levothroid, Levoxyl, Synthroid, Unithroid, dan lain-lain.

  • Sotalol

Mengambil kalsium dengan sotalol (Betapace) boleh mengurangkan kadar serapan sotalol (Betapace) badan anda. Mengambil kalsium bersama dengan sotalol (Betapace) mungkin mengurangkan keberkesanan sotalol (Betapace). Untuk mengelakkan tindak balas ini, ambil kalsium sekurang-kurangnya 2 jam sebelum atau 4 jam selepas mengambil sotalol (Betapace).

  • Verapamil

Kalsium boleh menjejaskan hati anda. Verapamil (Calan, Covera, Isoptin, Verelan) juga boleh menjejaskan hati anda. Jangan ambil kalsium dalam jumlah besar jika anda mengambil verapamil (Calan, Covera, Isoptin, Verelan).

  • Pil air

Sesetengah “pil air’ meningkatkan jumlah kalsium dalam badan anda. Mengambil sejumlah besar kalsium dengan beberapa “pil air’ mungkin menyebabkan jumlah kalsium terlalu banyak di dalam badan. Ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius, termasuk masalah buah pinggang.

Antara “pil air’ ini termasuk chlorothiazide (Diuril), hydrochlorothiazide (HydroDIURIL, Esidrix), indapamide (Lozol), metolazon (Zaroxolyn), dan chlorthalidone (Hygroton).

  • Estrogen

Estrogen membantu badan anda menyerap kalsium. Mengambil pil estrogen bersama-sama dengan sejumlah besar kalsium mungkin meningkatkan jumlah kalsium dalam badan.

Pil estrogen termasuk estrogen konjugasi equine (Premarin), ethinil estradiol, estradiol, dan lain-lain.

  • Penghalang saluran kalsium

Sesetengah ubat untuk tekanan darah tinggi menjejaskan kadar kalsium dalam badan anda. Ubat ini dipanggil penghalang saluran kalsium.  Mendapatkan suntikan kalsium mungkin mengurangkan keberkesanan ubat-ubatan ini untuk tekanan darah tinggi.

Sesetengah ubat untuk tekanan darah tinggi termasuk nifedipine (Adalat, Procardia), verapamil (Calan, Isoptin, Verelan), diltiazem (Cardizem), isradipine (DynaCirc), felodipine (Plendil), amlodipine (Norvasc), dan lain-lain.

Kalsium mungkin mempunyai tindak balas terhadap keadaan kesihatan dan ubat yang anda sedang ambil. Sila rujuk kepada pakar kesihatan sebelum menggunakannya.

Penggunaan /Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau pakar herba anda sebelum menggunakan ubat ini

Apakah dos Kalsium yang biasa digunakan?

Dos-dos berikut telah dikaji dalam penyelidikan saintifik:

SECARA ORAL:

  • Untuk mengelakkan tahap kalsium yanh rendah: lazimnya 1 gram unsur kalsium digunakan setiap hari
  • Untuk pedih ulu hati: Kalsium karbonat sebagai antasid biasanya 0.5-1.5 gram seperti yang diperlukan.
  • Untuk mengurangkan kadar fosfat pada orang dewasa yang mempunyai kegagalan buah pinggang kronik: Dos permulaan kalsium asetat adalah 1.334 gram (338 mg unsur kalsium) setiap kali selepas makan dengan peningkatan kepada 2-2.67 gram (500-680 mg unsur kalsium)
  • Untuk mencegah tulang lemah (osteoporosis): Dos 1-1.16 gram unsur kalsium setiap hari dari makanan dan suplemen. Panduan rawatan osteoporosis semasa di Amerika Utara mengesyorkan 1200 mg kalsium setiap hari.
  • Untuk pencegahan kehilangan tulang pada wanita pramenopaus berumur lebih 40 tahun: Satu dos 1 gram.
  • Untuk wanita hamil dengan pengambilan kalsium diet rendah: Dos untuk meningkatkan ketumpatan tulang janin antara 300-1300 mg / hari bermula pada minggu kehamilan 20-22.
  • Untuk sindrom pramenstruasi (PMS): 1-1.2 gram kalsium sehari sebagai kalsium karbonat.
  • Untuk mengurangkan tahap hormon tiroid pada orang yang mengalami kegagalan buah pinggang kronik: 2-21 gram kalsium karbonat.
  • Untuk mencegah kehilangan tulang pada orang yang mengambil ubat kortikosteroid: Dos harian yang dibahagikan 1 gram kalsium unsur setiap hari.
  • Untuk tekanan darah tinggi: 1-1.5 gram kalsium setiap hari.
  • Untuk mencegah tekanan darah tinggi semasa hamil (pra-eklampsia): 1-2 gram kalsium unsur setiap hari sebagai kalsium karbonat.
  • Untuk mencegah kanser kolorektal dan tumor benigna kolorektal berulang (adenomas): Kalsium 1200-1600 mg / hari.
  • Untuk kolesterol tinggi: 1200 mg setiap hari dengan atau tanpa vitamin D 400 IU setiap hari digunakan berhubungan diet rendah lemak atau diet kalori.
  • Untuk mencegah keracunan fluorida pada kanak-kanak: Kalsium 125 mg dua kali sehari, dalam kombinasi dengan asid askorbik dan vitamin D.
  • Bagi penurunan berat badan, peningkatan penggunaan kalsium daripada produk tenusu kepada jumlah pengambilan 500-2400 mg / hari dalam kombinasi dengan diet kalori yang terhad telah digunakan.

Kalsium karbonat dan kalsium sitrat adalah dua kalsium yang paling biasa digunakan.

Suplemen kalsium biasanya dibahagikan kepada dua dos setiap hari untuk meningkatkan penyerapan. Adalah lebih baik mengambil kalsium dengan makanan dalam dos 500 mg atau kurang.

Institut Perubatan telah menerbitkan pengambilan harian disyorkan (RDA) untuk kalsium yang merupakan anggaran tahap pengambilan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan hampir semua individu yang sihat dalam populasi. RDA semasa ditetapkan pada tahun 2010. RDA berbeza berdasarkan umur seperti berikut: Umur 1-3 tahun, 700 mg; 4-8 tahun, 1000 mg; 9-18 tahun, 1300 mg; 19-50 tahun, 1000 mg; Lelaki 51-70 tahun, 1000 mg; Wanita 51-70 tahun, 1200 mg; 70 tahun ke atas, 1200 mg; Mengandung atau Menyusukan anak (di bawah 19 tahun), 1300 mg; Mengandung atau Menyusukan anak (19-50 tahun), 1000 mg.

Institut Perubatan juga menetapkan tahap pengambilan atas harian (UL) untuk kalsium berdasarkan umur seperti berikut: Umur 0-6 bulan, 1000 mg; 6-12 bulan, 1500 mg; 1-3 tahun, 2500 mg; 9-18 tahun, 3000 mg; 19-50 tahun, 2500 mg; 51 tahun ke atas, 2000 mg. Dos yang lebih tinggi dari dos ini harus dielakkan.

Dos melebihi tahap pengambilan harian yang disyorkan 1000-1300 mg / hari bagi kebanyakan orang dewasa dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung. Sehingga lebih banyak maklumat diketahui untuk teruskan pengambilan jumlah kalsium yang cukup untuk memenuhi keperluan harian, tetapi bukan pada jumlah yang lebih. Pastikan anda mempertimbangkan untuk mengambil kalsium harian daripada kedua-dua sumber makanan dan suplemen dan cuba untuk tidak melebihi 1000-1300 mg kalsium sehari. Untuk mengetahui jumlah kalsium dari pemakanan, kira 300 mg / hari dari makanan tenusu ditambah 300 mg / cawan susu atau jus oren yang diperkaya.

Dos untuk kalsium mungkin berbeza untuk setiap pesakit. Dos yang anda ambil bergantung pada usia anda, kesihatan, dan beberapa keadaan lain. Suplemen tidak selalunya selamat. Sila berbincang dengan doktor anda untuk dos yang sesuai.

Apakah bentuk penyediaan Kalsium?

Kalsium boleh didapati dalam bentuk berikut:

  • Kapsul kalsium 600mg
  • Cecair kalsium

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Calcium http://www.webmd.com/vitamins-supplements/ingredientmono-781-calcium.aspx?activeingredientid=781 Accessed September 13, 2017

Calcium http://www.medicinenet.com/calcium_supplements-oral/article.htm Accessed September 13, 2017

Versi Terbaru

12/09/2019

Ditulis oleh Farizah Mohd Ikbal

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Lelaki Yang Bermasalah LEMAH BATIN, Mungkin Boleh Cuba 5 Herba Tradisional Ini!

Pernah Dengar Mengenai Garam Epsom? Ini 7 Manfaatnya, Baik Untuk Ibu Juga!


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Farizah Mohd Ikbal · Disemak pada 12/09/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan