backup og meta

Maut Diserang Strok Akibat Ketagihan Permainan Video

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 09/11/2021

    Maut Diserang Strok Akibat Ketagihan Permainan Video

    Seorang remaja dari Thailand telah ditemui mati di biliknya selepas bermain permainan video sepanjang semalam ketika musim cuti sekolah. 

    Tidak keluar bilik

    Piyawat Harikun, 17 tahun, telah memilih untuk mengisi waktu cuti sekolahnya di hadapan PC komputer, bermain permainan pertarungan multipemain. Ibu bapa mendiang berkata Piyawat akan berjaga sepanjang malam dan akan menarik langsir di waktu pagi bagi membolehkannya terus fokus bermain. 

    Menurut pasangan ibu bapa dari Udon Thani, Utara Thailand ini, mereka terpaksa membawa makanan naik ke biliknya sambil menasihati Piyawat untuk berhenti. Namun yang demikian, nasihat mereka tidak diendahkan dan Piyawat akan terus leka bermain.

    Ditemui tidak sedarkan diri

    Menurut bapanya, Jaranwit, beliau pergi ke bilik mendiang pada petang hari Isnin bagi melihat keadaan anaknya. Terkejut bercampur sedih, Jaranwit menemui anaknya dalam keadaan jatuh tersungkur bersandar pada PC komputer di atas lantai. Di sekeliling mendiang pula terdapat banyak bungkusan makanan di atas meja dan juga sebotol air soda berkarbonat berdekatan kakinya. Fon kepala mendiang pula tidak berada di sekitar kepalanya, sebaliknya, ia berada di atas komputer. 

    Jaranwit, seorang pegawai tentera udara, telah mencuba untuk mengejutkan anaknya itu namun tiada tindak balas. “Saya panggil namanya sambil menyebut ‘bangun’ berkali-kali tetapi dia (Piyawat) masih tidak sedarkan diri. Pada saat itu, firasat saya memberitahu bahawa anak saya telahpun meninggal dunia,” kata Jaranwit.

    Strok akibat permainan video

    Pasukan perubatan yang memeriksa mayat Piyawat pada petang semalam berkata remaja tersebut telah meninggal dunia akibat strok (angin ahmar). Besar kemungkinan bahawa serangan strok ini berlaku akibat daripada tindakan mendiang yang bermain komputer tanpa hati selama berhari-hari.

    Menilai semula insiden yang telah berlaku, Jaranwit mengaku bahawa anaknya merupakan seorang yang ketagih terhadap permainan video. 

    “Anak saya adalah seorang yang pintar dan sentiasa menyerlah di sekolah. Namun, dia (Piyawat) berdepan dengan masalah ketagihan permainan video yang teruk. Saya telah berkali-kali memberitahunya untuk kurangkan jumlah waktu yang dihabiskan di depan komputer. Walaupun dia berjanji untuk mengurangkan waktu bermainnya, semuanya telah terlambat, dia telahpun pergi sebelum dia sempat berubah” kata bapa mendiang.

    Tambah Jaranwit lagi, beliau berharap agar insiden ini menjadi satu kesedaran dan juga amaran kepada ibu bapa yang lain agar tidak membenarkan anak-anak mereka terjerumus dalam ketagihan permainan video. Mayat mendiang telah dibawa dari hospital ke kuil Buddha berdekatan untuk disemadikan.

    Pada tahun 2018, ketagihan permainan video adalah sejenis penyakit mental yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Tindakan ini membolehkan ibu bapa dan juga guru sekolah untuk merujuk kanak-kanak yang disyaki mengalami ketagihan permainan untuk mendapatkan bantuan. Sekitar 2.2 bilion individu di seluruh dunia bermain permainan video dan 1 dalam setiap 25 daripada mereka dikatakan mengalami masalah ketagihan permainan video. Ini bermaksud hampir 90 juta orang memerlukan bantuan untuk masalah ini. 

    Latih anak-anak anda untuk tidak menghabiskan masa yang terlalu lama di hadapan komputer. Sebaliknya, luangkan masa berkualiti dengan mereka melalui aktiviti fizikal dan juga interaksi yang merangsangkan. Dapatkan bantuan profesional perubatan jika anda mengesyaki mereka mengalami masalah ketagihan permainan komputer.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 09/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan