backup og meta

Sebelum Nak Cuba Pakai Bath Bomb, Ambil Tahu Dulu Bahananya Pada Kulit & Faraj!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 11/08/2020

    Sebelum Nak Cuba Pakai Bath Bomb, Ambil Tahu Dulu Bahananya Pada Kulit & Faraj!

    Pernah dengar tak tentang bath bomb atau sabun bom? Ia merupakan 1 kegilaan baharu.. Tapi tahu tak, bahan yang digunakan ketika mandi itu boleh mendatangkan kesan bahaya kepada diri.

    Kegilaan baharu ketika mandi

    Sabun bom mungkin bukan bahan popular yang digunakan ketika mandi di Malaysia. Ia masih sesuatu yang baharu.

    Namun di luar negara, bom mandian yang dikenali sebagai bath bomb adalah bahan berbuih dan wangi sebagai tambahan untuk ‘memeriahkan’ waktu mandi, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

    Ia bukan sahaja boleh didapati pada harga yang murah, namun telah wujud cara penghasilan sabun mandian ini di saluran YouTube.

    Bom mandian ini mungkin menyeronokkan bagi kanak-kanak dan individu dewasa. Pun begitu, adakah berendam di dalam tab bersama sabun bom ini selamat untuk kulit?

    Apa itu sabun bom?

    Bahan yang digunakan ketika mandi ini diperbuat menggunakan gabungan serbuk penaik (baking soda) dan asid sitrik.

    Di dalam air, gabungan kedua-dua bahan tersebut akan bertindak balas untuk melepaskan gas karbon dioksida.

    Tindak balas yang berlaku dikatakan tidak jauh bezanya apabila anda melarutkan tablet ubat di dalam air.

    Ketika pelepasan gas berlaku, sabun mandian tersebut akan pecah dan mengeluarkan pewarna, pewangi dan bahan pelindung kulit seperti garam dan minyak.

    Gabungan bahan-bahan itu menjadikan air dalam tab mandian berwarna dan mempunyai aroma wangi. 

    Apabila bercampur dengan air, bahan-bahan tersebut umumnya akan meneutralkan satu sama lain.

    Pun begitu, sabun mandian ini juga mungkin mengandungi bahan lain yang berpotensi membahayakan kulit, termasuklah:

    • Wangian – sama ada sintetik atau daripada minyak pati yang memberikan rasa dingin seperti berada di Gunung Fuji, Jepun. 
    • Pewarna – sama ada secara semula jadi atau buatan makmal, menjadikan tab mandian berubah warna
    • Bahan pengawet – untuk mengekalkan bentuk sabun bom stabil lebih lama
    • Bahan tambahan – seperti glitter, menjadikan saat ketika mandi lebih meriah namun berisiko menjadikan kulit melecet

    bom mandian

    Ini bermakna, bahan tambahan yang digunakan ketika mandi ini tidak 100% selamat. Ini terutamanya bagi mereka yang mempunyai kulit yang sensitif. 

    Malahan saiz sabun yang berbeza; besar atau kecil, tidak begitu penting kerana bath boom yang kecil boleh mempunyai sejumlah alergen yang lebih berbahaya. 

    Tanda sabun bom tidak sesuai dengan kulit

    Semua kulit adalah berbeza. Bagi sesetengah individu, penggunaan bom mandian ini adalah 1 perkara yang dianggap sebagai mewujudkan sensasi ketenangan sensual.

    Namun, bagi yang lain, ia mungkin 1 resepi yang boleh menimbulkan ketidakselesaan. 

    Antara tanda biasa menunjukkan bath bomb tidak sesuai dan menyebabkan kerengsaan pada kulit termasuklah:

    • Kemerahan
    • Gatal-gatal
    • Kulit berkuping (scaling)

    Kebiasaannya, tanda-tanda tersebut akan muncul pada lipatan kulit seperti belakang lutut, di mana bahan berbahaya boleh melekat pada kulit.

    Walau bagaimanapun, bagi mereka dengan kulit yang sensitif, tanda-tanda itu boleh muncul pada mana-mana bahagian kulit yang terendam di dalam tab ketika mandi. 

    Bahayanya sabun bom pada faraj

    Dan sekiranya sabun bom boleh menjejaskan permukaan kulit anda, bagaimana pula dengan bahagian bahan yang terendam di dalam air dengan pewarna dan glitter, seperti faraj?

    Adakalanya, bahan tambahan yang digunakan seperti dalam bom mandian, malahan mandian buih turut boleh mempengaruhi keseimbangan pH badan.

    Bagi wanita dan kanak-kanak perempuan, perubahan pada pH faraj dan sekitarnya boleh mengubah flora bakteria dan menyebabkan kerengsaan atau lebih teruk, jangkitan yis.

    bath bomb ketika mandi

    Bagi wanita yang pernah mengalami masalah berkaitan kerengsaan faraj, sebaiknya anda hanya mandi dengan pancuran air panas dan mandi menggunakan sabun biasa tanpa menggunakan ia di kawasan vagina atau vulva. 

    Anda harus ingat bahawa bahagian sulit wanita mempunyai fungsi membersihkan diri sendiri, bermakna anda tidak perlu meruang atau melakukan sebarang proses pencucian faraj.

    Perhatikan kesannya pada kulit

    Bagi mereka yang alah kepada bahan-bahan dalam sabun bom, dinasihatkan untuk mengelakkan langsung penggunaan bahan mandian tersebut ketika mandi. 

    Sekiranya anda mahu juga menggunakannya, carilah bath bomb tanpa pewangi, pewarna dan paling penting, elakkan glitter.

    Jika anda menyukai sesuatu yang lain daripada lain dan tidak mempunyai sebarang isu berkaitan kerengsaan, pastikan anda menyemak kandungan bahan di dalam bom mandian dan mengujinya terlebih dahulu sebelum berendam di dalamnya.

    Tidak tahu cara untuk menguji kesesuaian sabun mandian itu?

    Caranya mudah. Sebelum anda berendam dalam mandian tersebut, gosokkan sabun tersebut pada bahagian pelipat siku. 

    Tunggu sehingga 48 jam untuk memastikan tidak berlaku sebarang kerengsaan atau reaksi alahan

    Jika tiada, maka anda selamat untuk menggunakan sabun bom itu. Selamat mencuba!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 11/08/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan