backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Tanda-Tanda Anda Memerlukan Rawatan Fisioterapi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/11/2021

    Tanda-Tanda Anda Memerlukan Rawatan Fisioterapi

    Ramai yang tersalah anggap tentang rawatan fisioterapi. Ia bukan hanya dikhususkan untuk atlet atau orang sakit sahaja. Malah, ada juga penyakit yang memerlukan rawatan fisioterapi.

    Sebenarnya ia juga boleh digunakan untuk meningkatkan kesihatan anda dalam banyak cara.

    Walaupun kebanyakannya bersifat sementara dan dapat disembuhkan dengan ubat penahan sakit, namun beberapa jenis kesakitan atau pergerakan terhad mungkin memerlukan penilaian dan rawatan oleh ahli fisioterapi.

    Sempena sambutan Hari Terapi Fizikal Sedunia, 8 September ini, kami sediakan artikel berkenaan rawatan fisioterapi bagi membantu anda lebih memahami topik ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Tulang/Otot, sila dapatkannya di sini. 

    Kenali apa itu fisioterapi

    penyakit yang memerlukan rawatan fisioterapi

    Fisioterapi adalah profesion penjagaan kesihatan yang membantu individu memerlukan dalam memulih, mengekal serta memaksimumkan kekuatan, fungsi, pergerakan, dan kesejahteraan pesakit secara keseluruhan.

    Istilah ‘fisioterapi’ dan ‘terapi fizikal’ membawa maksud yang sama dan digunakan secara bergantian.

    Ahli fisioterapi mempunyai pengetahuan mendalam tentang bagaimana tubuh berfungsi dan kemahiran klinikal khusus untuk menilai, mendiagnosis, dan merawat gejala-gejala penyakit, kecederaan dan kecacatan.

    Ahli fisioterapi sering bekerjasama dalam pasukan dengan golongan profesional kesihatan yang lain untuk membantu memenuhi keperluan penjagaan kesihatan seseorang pesakit.

    Selain itu, fisioterapi dapat membantu anda:

    • Menjadi lebih kuat dan fleksibel
    • Meningkatkan kebebasan bergerak
    • Mampu bernafas lebih mudah
    • Mengurangkan kesakitan
    • Kekal aktif
    • Mencegah potensi kecederaan

    Semua yang di atas adalah supaya anda dapat meneruskan aktiviti harian pada tahap optimum.

    Berikut adalah 5 petanda anda memerlukan rawatan fisioterapi

    1. Fungsi pergerakan yang menurun

    Tidak kira sama ada anda mempunyai gaya hidup dan rutin yang aktif atau tidak aktif, anda akan dapat menyedari sekiranya mengalami sebarang perubahan pada fungsi tubuh.

    Contohnya, sesetengah individu mungkin boleh menyentuh jari kaki mereka manakala ada sebahagian yang tidak mampu melakukannya.

    Justeru, sekiranya sebelum ini anda dapat menyentuh jari kaki dan kini gagal, rawatan fisioterapi dapat membantu!

    Fisioterapi dapat menilai kondisi dan membimbing anda melalui latihan yang akan meningkatkan fleksibiliti dan pergerakan dengan mensasarkan otot dan tisu pada kawasan bermasalah.

    2. Imbangan badan menjadi tidak stabil

    penyakit yang memerlukan rawatan fisioterapi.

    Orang ramai mungkin mengaitkan masalah keseimbangan dengan sesuatu yang berkaitan kaki atau punggung tetapi sebenarnya ia lebih kerap berkaitan dengan telinga.

    Secara khusus, struktur di telinga dalam yang disebut sistem vestibular adalah sangat penting untuk menjaga keseimbangan badan.

    Sekiranya ia terjejas, anda akan mula melihat gejala seperti ketidakseimbangan, pening dan mungkin juga vertigo (sensasi badan yang tidak seimbang) lalu menyukarkan anda menjalani rutin harian.

    3. Berasa sakit apabila duduk lama

    Bagi kebanyakan pekerjaan yang banyak menghabiskan masa di hadapan komputer secara khususnya, tubuh akan sering berasa kaku dan keras. Ini berlaku apabila duduk lama dalam posisi yang sama seharian.

    Jika perkara ini digabungkan dengan postur tubuh yang buruk, malangnya ia mampu menyebabkan masalah ketegangan otot, sakit belakang dan sakit sendi yang berpanjangan.

    Pengulangan rutin ini setiap hari dalam jangka masa yang panjang akan memberikan kesan negatif terhadap kesihatan.

    Sebaiknya, anda harus memastikan untuk berehat daripada kerja anda secara berkala seperti berjalan-jalan atau meregangkan lengan dan kaki. Ini dapat membantu untuk mengatasi masalah yang dinyatakan tadi.

    Kunjungi ahli fisioterapi anda untuk mendapatkan nasihat, rawatan dan pengurusan postur agar isu yang yang membelenggu anda dapat diuruskan.

    4. Fisioterapi jika anda mengalami kesakitan yang berterusan

    Apabila mengalami sebarang kecederaan, anda pasti akan merasakan sejumlah kesakitan yang biasanya hanya akan sembuh apabila tisu badan mulai pulih.

    Sebagai contoh, sekiranya anda pernah terseliuh pergelangan kaki atau tangan, anda mungkin akan berasa sakit dan tersiksa selama beberapa minggu.

    Apabila ligamen mulai sembuh, rasa sakit bakal berkurang sehingga kondisi menjadi normal. Tetapi kadang-kadang rasa sakit ini tidak akan berhenti seperti yang diharapkan dan menjadi lebih kronik.

    Perkara ini biasanya berlaku dengan sakit belakang dan leher bawah yang boleh dikaitkan dengan banyak faktor.

    Ahli fisioterapi boleh bekerjasama dengan anda untuk menilai punca masalahnya dan menyediakan program latihan dan pemulihan terbaik yang menyasarkan untuk meringankan penderitaan anda.

    Rawatan untuk merawat kesakitan boleh merangkumi urutan, manipulasi dan senaman untuk membantu menyokong bahagian badan anda yang terjejas dan mencegah kecederaan berulang.

    5. Anda sudah mula membuang air kecil dengan tidak terkawal

    penyakit yang memerlukan rawatan fisioterapi.

    Inkontinensia kencing (membuang air kecil yang tidak terkawal) sering berlaku, dengan anggaran 3 sehingga 6 juta individu menderita masalah tersebut terutamanya di United Kingdom. Inkontinensia kencing adalah salah satu penyakit yang memerlukan fisioterapi.

    Ia lebih biasa terjadi pada wanita berbanding lelaki dan mampu menjadi lebih kronik apabila meningkat tua.

    Terdapat dua jenis inkontinensia kencing iaitu stress incontinence dan urgent incontinence.

    Bagi stress incontinence, ia berlaku ketika pundi kencing anda berada di bawah stres, misalnya ketika batuk atau bersin.

    Urgent incontinence pula adalah ketika air kencing menjadi bocor dengan merasakan desakan mendadak dan kuat untuk membuang air kecil.

    Justeru, latihan lantai pelvik dapat membantu dalam memperbaiki kondisi kesihatan ini, terutamanya bagi penghidap stress incontinence.

    Sekiranya masalah melibatkan urin ini berlaku secara tiba-tiba dan terutamanya jika anda mengalami sakit tulang belakang atau saraf kaki, segera berjumpa doktor untuk mengelak kemungkinan berlakunya penyakit yang lebih serius.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 09/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan