Selalu Sakit Pada Sebelah Kiri Abdomen? Ini Mungkin Penyebabnya, Jangan Biarkan Terlalu Lama!

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 05/10/2020 . 4 minit bacaan
Share now

Sakit abdomen atau sakit perut (lebih kerap digunakan oleh orang awam) merupakan aduan yang seringkali diterima di pusat kesihatan dan kecemasan. Namun, ia bukanlah satu aduan yang dapat memberikan diagnosis spesifik memandangkan pelbagai jenis penyakit sering dikaitkan dengan simptom sakit pada bahagian abdomen. Dalam artikel ini, penulis akan menerangkan perihal penyakit yang boleh menyebabkan kesakitan pada abdomen di sebelah kiri. Teruskan membaca untuk tahu dengan lebih lanjut.

Sakit pada bahagian kiri atas abdomen

Angina pektoris

Ini merupakan satu keadaan kesihatan di mana aliran darah ke otot jantung berkurangan menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan. Struktur anatomi jantung yang terbahagi kepada sudut depan (anterior), bawah (inferior), belakang (posterior) dan sisi (lateral), membuatkan kesakitan boleh berlaku pada bahagian perut berdekatan dengan struktur dada. Mereka yang mengalami angina kebiasaannya mengalami simptom ketika menjalani aktiviti fizikal atau tekanan emosi. Antara simptom angina selain daripada sakit dada adalah:

  • Sesak nafas
  • Keletihan
  • Mual
  • Pening kepala
  • Perpeluhan
  • Keresahan

Terdapat dua jenis angina, iaitu angina stabil dan angina tidak stabil. Pembahagian penyakit ini bergantung kepada keterukan simptom. Angina stabil kebiasaannya berlaku ketika seseorang individu itu melakukan aktiviti fizikal. Angina tidak stabil pula boleh berlaku ketika rehat, tidur atau secara tiba-tiba, tanpa melibatkan apa-apa faktor. Mereka yang obes, mempunyai sejarah keluarga sakit jantung, tinggi kolesterol dan merokok berisiko tinggi untuk mendapat keadaan kesihatan ini.

Gastritis

Gastritis merupakan keadaan kesihatan yang melibatkan keradangan pada lapisan atas perut. Ia terbahagi kepada dua bergantung kepada durasi keradangan tersebut iaitu akut dan kronik. Gastritis akut kebiasaannya melibatkan keradangan yang serius secara serta-merta manakala gastritis kronik pula boleh menyebabkan keradangan dalam jangka masa panjang jika ia tidak dirawat. 

Penyakit ini kebiasaannya berlaku kepada mereka yang mempunyai faktor risiko berikut:

  • Pengambilan alkohol secara berlebihan
  • Penggunaan kokain 
  • Penggunaan bahan tembakau
  • Penggunaan ubat nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) seperti aspirin
  • Penyakit autoimun
  • Penyakit keradangan usus (inflammatory bowel disease) seperti penyakit Crohn dan kolitis ulseratif
  • Jangkitan virus atau bakteria

Selain daripada sakit pada bahagian abdomen, mereka yang mengalami gastritis juga akan menunjukkan gejala seperti:

  • Mual
  • Muntah
  • Perut kembung
  • Ketakcernaan
  • Najis berwarna hitam dan muntah darah (jika terdapat pendarahan)

Jika tidak dirawat, gastritis akut boleh menjadi gastritis kronik. Ini sekali gus akan meningkatkan risiko seseorang individu untuk mendapat kanser perut. Namun, buat kebanyakan individu, penyakit gastritis ini boleh dirawat dengan perubahan gaya hidup dan rawatan farmakologikal.

Pankreatitis 

Organ pankreas meliputi ketiga-tiga zon di bahagian atas abdomen (kanan, tengah dan kiri). Oleh sebab itulah, mereka yang mengalami keradangan pada organ pankreas (pankreatitis) boleh merasai kesakitan pada bahagian atas abdomen. Ia terbahagi kepada dua iaitu pankreatitis akut dan pankreatitis kronik. Kedua-duanya mempunyai faktor risiko yang berbeza dan jika tidak dirawat, boleh mengakibatkan kanser pankreas.

Antara keadaan yang boleh menjurus kepada pankreatitis:

  • Batu pada organ dan salur hempedu
  • Pengambilan alkohol 
  • Trauma
  • Penggunaan steroid
  • Jangkitan virus
  • Penyakit autoimun
  • Sengatan kala jengking
  • Prosedur Endoscopic Retrograde Cholangiopancreatography (ERCP)
  • Beberapa jenis ubat 

Mereka yang mengalami pankreatitis kebiasaannya hadir dengan keluhan sakit di bahagian abdomen atas yang menusuk ke belakang. Kesakitan tersebut menjadi semakin teruk selepas makan dan episod tersebut kebiasaannya disertakan dengan simptom demam, berdebar-debar, loya dan muntah. Bagi mereka yang mengalami pankreatitis kronik pula kerap kali hadir dengan simptom sakit abdomen atas, kehilangan berat badan dan najis yang berbau busuk dan sering kali kelihatan pucat dan terapung (steatorrhea).

Sakit pada bahagian kiri bawah abdomen

Kehamilan luar rahim (ektopik)

Jika anda merupakan seorang wanita dalam lingkungan usia reproduktif yang mengalami sakit perut pada bahagian bawah di sebelah kiri, anda berkemungkinan mengalami simptom kehamilan luar rahim. Keadaan kesihatan ini tidak wajar dipandang ringan memandangkan komplikasinya boleh membawa maut. Kehamilan luar rahim berlaku apabila embrio tertanam di struktur selain daripada uterus seperti di tiub falopian, ovari, serviks atau abdomen. Wanita tersebut kebiasaannya mengalami simptom yang sama seperti wanita yang hamil. Antaranya:

  • Putus haid
  • Sakit pada bahagian payudara
  • Mual
  • Ujian air kencing positif

Namun bagi mereka yang mengalami masalah kehamilan luar rahim, kebiasaannya mereka akan merasai kesakitan pada bahagian pinggul dan abdomen menjalar ke bahagian bahu dan pendarahan. Jika embrio tersebut tertanam pada tiub falopian, ia boleh menyebabkan tiub tersebut pecah mengakibatkan pendarahan dalaman yang serius. Keadaan ini boleh menyebabkan simptom pening, pengsan, kesakitan yang amat pada bahagian abdomen dan renjatan (shock).

Divertikulitis

Keadaan kesihatan ini melibatkan keradangan pada struktur divertikula. Divertikula merupakan kantung kecil yang terbentuk pada lapisan sistem pencernaan. Sebab pembentukannya masih lagi tidak diketahui, namun, pakar percaya ia merupakan hasil interaksi di antara faktor genetik dan persekitaran. Mereka yang berusia 40 tahun ke atas kebiasaannya mempunyai struktur ini namun ia jarang menyebabkan masalah kesihatan. Jika terdapat najis atau makanan yang tidak tercerna tersangkut pada struktur tersebut, ia boleh menyebabkan keradangan.

Mereka yang mempunyai masalah kesihatan ini kebiasaannya mengalami simptom:

  • Demam
  • Muntah
  • Loya
  • Sembelit atau cirit-birit
  • Sakit pada bahagian abdomen di sebelah kiri bawah untuk beberapa hari

Rawatan penyakit ini bergantung kepada tahap keterukannya. Mereka yang mengalami divertikulitis ringan (mild) boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik dan melakukan sedikit perubahan pada tabiat pemakanan. Namun, jika penyakit tersebut berlaku secara kerap atau pada tahap yang teruk, individu tersebut perlu menjalani pembedahan.

Sindrom Usus Rengsa (Irritable Bowel Syndrome)

Ini merupakan penyakit yang kerap berlaku melibatkan usus besar individu. Kebiasaannya, mereka yang mengalami masalah ini boleh mengawal simptom seperti sakit abdomen, perut kembung dan perubahan tabiat buang air besar dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Namun, bagi mereka yang gagal mengawal simptom tersebut, mereka perlu mengambil ubat dan menghadirkan diri untuk sesi kaunseling memandangkan sindrom usus rengsa merupakan penyakit kronik.

Walaupun ia sering digembar-gemburkan sebagai punca kepada kanser kolorektal, perkara itu tidak benar sama sekali. Penyakit ini tidak akan menyebabkan perubahan pada struktur tisu usus besar mahupun meningkatkan risiko anda untuk mendapat kanser.

Konklusi

Artikel ini hanya menyenaraikan sebahagian daripada diagnosis yang mungkin menyebabkan simptom tersebut. Jika anda mengalami simptom sakit pada bahagian kiri abdomen, segeralah berjumpa dengan doktor. Ia mungkin petanda kepada penyakit selain daripada apa yang tersenarai di atas.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Baca juga:

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    Ada 13 Komplikasi Semasa Mengandung, Paling Bahaya No 1, Jaga-jaga Ibu Hamil

    Kebanyakan wanita mengandung tidak mengalami masalah sepanjang kehamilan. Namun, terdapat juga komplikasi kehamilan boleh berlaku dan ia bahaya!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Kehamilan, Penjagaan Ibu hamil 19/06/2020 . 3 minit bacaan

    9 Kaedah Semulajadi Untuk Merawat Tiub Fallopio Tersumbat, Ubah Gaya Hidup Anda Sekarang!

    Masalah sukar hamil mungkin ada kaitan dengan tiub fallopio tersumbat. Namun adakah rawatan semula jadi dapat bantu mengatasinya?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Gaya Hidup Sihat, Kesihatan Wanita 11/06/2020 . 3 minit bacaan

    Hati-Hati Dengan Kehamilan Luar Rahim, Ini WANITA Yang Berisiko Untuk Mengalaminya

    Setiap wanita pastinya mahukan fasa kehamilan berjalan lancar. Namun wujud komplikasi yang boleh berlaku kepada wanita hamil seperti mengandung luar rahim.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Kehamilan, Penjagaan Ibu hamil 28/11/2019 . 4 minit bacaan

    Mengandung Luar Rahim: Bahaya Kehamilan Ektopik

    Mengandung luar rahim atau lebih dikenali sebagai kehamilan ektopik adalah keadaan kesihatan ketika hamil yang mempunyai risikonya yang tersendiri.

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab
    Kehamilan, Perkembangan Kehamilan 28/05/2019 . 8 minit bacaan

    Artikel lain untuk anda

    ikat peranakan

    Nafsu Seksual Wanita Terjejas Angkara Prosedur Ikat Rahim? Usah Risau, Ini 9 Perkara Kena Tahu

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 02/09/2020 . 3 minit bacaan
    meruang ketika hamil

    Meruang Masa Mengandung, Boleh Ke? 5 Sebab Ini Akan Buat Anda Berfikir 2x Sebelum Lakukannya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 01/09/2020 . 3 minit bacaan
    tiub fallopio

    Hanya Ada SATU Tiub Fallopio? Jangan Putus Asa, Peluang Hamil Masih Ada! Ini Caranya

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 04/08/2020 . 3 minit bacaan
    kantung kehamilan

    Teruja Nak Scan Bayi, Tapi Tak Nampak Apa-apa? Ini Mungkin Petanda 3 Masalah Hamil

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa
    Diterbitkan pada 27/07/2020 . 3 minit bacaan