backup og meta

Padah Kasut Tumit Tinggi, Ini Sebab Mengapa Wanita Perlu Elak Pakai Heels

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/04/2021

    Padah Kasut Tumit Tinggi, Ini Sebab Mengapa Wanita Perlu Elak Pakai Heels

    Tahukah anda, walaupun wanita yang memakai kasut tumit tinggi tampak menawan, ia sebenarnya boleh meningkatkan risiko kesakitan dan kecederaan?

    Kebanyakan aduan yang pernah direkodkan berkaitan dengan pemakaian kasut sebegitu menunjukkan, pengguna lazimnya bukan sahaja mengalami sakit kaki, malah kesakitan pada bahagian belakang badan.

    Jika anda memakai kasut tumit tinggi dalam satu jangka masa yang lama, ia boleh menyebabkan masalah pada struktur kaki.

    Antaranya adalah bunion, jari kaki tukul dan beberapa keadaan lain yang memerlukan pembedahan.

    Artikel ini akan menerangkan bebanan yang bakal ditanggung akibat pemakaian kasut tumit tinggi dan mengapa anda lebih berisiko untuk mengalami masalah sakit kaki.

    Pemakaian kasut tumit tinggi boleh mempengaruhi postur badan pengguna

    kasut tumit tinggi

    Macam pelik, bagaimana kasut yang kita pakai pada bahagian kaki boleh menyebabkan perubahan postur satu badan?

    Ini berlaku akibat daripada ketidakseimbangan daya pada bahagian kaki pengguna.

    Apabila anda memakai kasut bertumit tinggi, ia meletakkan kaki anda pada posisi plantarflex (kaki membengkok ke bawah).

    Perkara ini boleh menyebabkan tekanan pada bahagian depan kaki meningkat akibat daripada ketidakseimbangan daya yang terpaksa ditanggungnya.

    Bagi memastikan daya tersebut seimbang, anda secara tidak sedar akan cuba untuk mengubah postur badan anda.

    Lantas badan bawah (abdomen) anda akan condong ke hadapan bagi mengekalkan titik pusat keseimbangan, manakala badan atas (dada) akan condong ke belakang.

    Akibatnya, postur yang anda miliki nampak tidak relaks dan kelihatan kaku berbanding dengan ketika anda tidak memakai kasut tumit tinggi.

    Kesan terhadap postur ini berkadar secara terus dengan ketinggian tumit kasut yang anda pakai.

    Semakin tinggi tumit tersebut, semakin kaku badan anda dan lengkungan semula jadi pada bahagian belakang pinggang menjadi semakin tidak normal.

    Ia boleh menyebabkan kesakitan, tidak kiralah bagi individu amatur ataupun mereka yang sudah memakai kasut tersebut untuk sekian lamanya.

    Otot terseksa ketika berjalan, lutut terpaksa bekerja keras

    Apabila seseorang itu berjalan, bahagian depan kaki akan mengenakan daya tolak ke atas dan tumit kaki akan mendarat apabila anda melangkah ke hadapan.

    Pemakaian kasut bertumit tinggi menyebabkan pergerakan kaki nampak tidak fleksibel.

    Posisi plantarflex  kaki menyukarkan anda untuk mengenakan daya tolak yang efisien.

    Ini bermakna, peranan untuk menolak badan ke hadapan tidak lagi disandang oleh kaki. 

    Anda akan lebih menggunakan otot pada bahagian pinggul untuk bergerak ke hadapan.

    Keadaan ini memaksa lutut anda untuk bekerja lebih keras memandangkan ia perlu membengkok lebih daripada biasa.

    Sama seperti postur, otot pinggul dan lutut anda terpaksa bekerja lebih kuat apabila ketinggian tumit yang anda pakai meningkat.

    Sebab itulah kadangkala mereka yang memakai kasut tumit tinggi berjalan seperti zirafah.

    Keadaan ini boleh berlaku terutamanya jika otot belakang, lutut dan kaki tidak berupaya untuk mengekalkan keseimbangan yang hilang kesan daripada posisi tidak normal kaki.

    Risiko kaki terseliuh meningkat 

    kasut tumit tinggi

    Jika anda pernah terlihat balok imbang yang digunakan oleh ahli gimnastik untuk melatih keseimbangan badan, itulah perumpamaan bagi mereka yang berjalan menggunakan kasut bertumit tinggi.

    Ia memerlukan daya keseimbangan yang tinggi serta kecekapan untuk mengakses permukaan rata dan cerun sebelum berjalan.

    Kalau anda berjalan laju (lambat ke kelas, janji temu), anda akan meletakkan daya yang lebih tinggi pada bahagian depan kaki.

    Bagaikan mereka yang jalan berjengket, penggunaan kasut tumit tinggi boleh menyebabkan kecederaan pada tulang dan tisu penghubung terlibat.

    Kajian yang pernah diterbitkan oleh Universiti Alabama pada tahun 2015 menunjukkan tidak kurang daripada 123,355 kecederaan berkaitan dengan penggunaan kasut tumit tinggi telah direkodkan di Jabatan Kecemasan hospital di seluruh Amerika Syarikat.

    Kebanyakan daripadanya melibatkan masalah terseliuh akibat hilang keseimbangan ketika berjalan laju (atau berlari) menggunakan kasut bertumit tinggi.

    Lebih teruk lagi jika anda menggunakan kasut tumit tinggi stiletto (tumit belakang kurus) yang mempunyai daya sokongan dan keseimbangan yang lebih teruk berbanding dengan jenis kasut tumit tinggi yang lain.

    Ia lebih memudahkan kaki wanita untuk terseliuh dan meningkatkan risiko untuk mereka jatuh.

    Masalah lain pengguna kasut tumit tinggi

    Kesakitan pada bahagian belakang bawah badan lazim dialami oleh pemakai tegar kasut ini.

    Bentuk lengkung C pada bahagian belakang badan sepatutnya bertindak sebagai penyerap tekanan bagi mengurangkan stres pada tulang belakang dan pelvis untuk menyokong daya.

    Tapi, penggunaannya akan menyebabkan lengkungan pada bahagian badan bawah hilang (kesan daripada abdomen condong ke hadapan), manakala badan atas pula membengkok membentuk lengkungan hiper.

    Keadaan ini, ditambah lagi dengan penggunaan otot pinggul boleh menyebabkan masalah sakit pinggang semakin teruk.

    Selain itu, masalah osteoartritis lutut yang lazim dialami wanita juga dikatakan berpunca daripada masalah penggunaan kasut ini.

    Bengkokan lutut boleh menyebabkan tulang tibia berpusing ke dalam bagi menyeimbangi badan seterusnya menyebabkan tekanan pada bahagian dalam lutut.

    Kawasan tersebut merupakan lokasi lazim berlakunya masalah osteoartritis.

    Posisi plantarflex kaki juga boleh menyebabkan masalah sakit kaki dan kecacatan struktur seperti neuroma dan bunion.

    Ligamen dan tendon yang menyokong lengkungan kaki boleh menjadi ketat kesan daripada pemakaian kasut tersebut.

    Ini boleh menyebabkan kesakitan pada tapak kaki, turut dikenali sebagai fasciitis plantar.

    Konklusi

    Sudah terang lagi bersuluh penggunaan kasut bertumit tinggi boleh mendatangkan banyak kesan mudarat seperti sakit kaki, sakit badan dan masalah berkaitan postur. 

    Jadi mengapa mahu terus menggunakannya? Fikir-fikirkanlah.

    Jika anda mengalami sebarang kesakitan pada bahagian kaki, lutut atau belakang selepas menggunakan kasut tumit tinggi, rujuk doktor yang bertauliah untuk tindakan selanjutnya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan