backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Apa Itu Diabetes? Semak Tanda, Punca & Rawatan Yang Boleh Dilakukan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 22/11/2022

Apa Itu Diabetes? Semak Tanda, Punca & Rawatan Yang Boleh Dilakukan

Diabetes adalah masalah kesihatan yang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk Malaysia.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat kira-kira 3.6 juta penghidap diabetes mellitus di negara ini. 

Malaysia bukan sahaja menduduki tangga pertama di carta Asia Tenggara malah juga merupakan salah sebuah negara yang memiliki jumlah pesakit diabetes tertinggi di seluruh dunia.

Perkara ini amat membimbangkan kerana anggaran jumlah pesakit pada tahun 2025 boleh mencecah kira-kira 7 juta jika ia tidak dibendung.

Oleh itu, marilah kita mengenali apa itu diabetes mellitus atau kencing manis dengan lebih mendalam menerusi artikel ini.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

#WorldDiabetesDay #DiabetesAwareness4All

Definisi

diabetes adalah

Apa itu diabetes mellitus

Penyakit kencing manis atau diabetes adalah satu masalah kesihatan kronik yang merosakkan keupayaan tubuh untuk memproses glukosa darah atau juga dikenali sebagai gula darah.

Ia berlaku kerana sama ada tubuh kita tidak menghasilkan insulin yang cukup atau tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan dengan berkesan.

Tanpa pengurusan yang berterusan dan terkawal, ia boleh menyebabkan pembentukan gula dalam darah.

Keadaan ini sekali gus boleh meningkatkan risiko mendapat komplikasi berbahaya dan merosakkan pelbagai organ seperti sistem saraf, mata, buah pinggang, termasuk sakit jantung dan strok.

Beberapa jenis diabetes adalah sudah dikenal pasti, tetapi yang lazim menerima rawatan ialah diabetes jenis satu dan jenis dua. 

Kedua-dua keadaan tersebut sangat berbeza dari segi punca, rawatan dan pencegahan.

Apa itu diabetes mellitus jenis satu?

Penyakit kencing manis jenis satu atau diabetes adalah penyakit autoimun.

Ini bermakna sistem imun tubuh berupaya untuk menyerang dan memusnahkan sel-sel di pankreas, sejenis organ yang bertanggungjawab untuk membuat insulin.

Apabila sel-sel tersebut musnah, organ pankreas tidak mampu untuk menghasilkan insulin langsung, ataupun hanya dalam jumlah yang sangat sedikit.

Sehingga kini, tidak ada keterangan jelas mengenai serangan tubuh kita sendiri terhadap sel-sel tersebut. Malahan, kira-kira 10% individu menghidap diabetes jenis ini.

Individu yang menghidap diabetes jenis satu perlu mengambil suntikan insulin seumur hidup bagi membantu proses metabolisme glukosa tubuh.

Apa itu diabetes mellitus jenis dua

Bagi yang didiagnosis dengan kencing manis jenis dua pula, pankreas mereka boleh menghasilkan insulin seperti individu lain namun tahap kerintangan insulin pada sel amat tinggi.

Ini bermakna, individu terlibat memerlukan jumlah insulin yang lebih banyak bagi memastikan kelancaran proses metabolisme gula dalam badan.

Berbeza dengan kencing manis jenis satu, penyakit jenis dua diabetes adalah mempunyai perkaitan di antara faktor genetik dan persekitaran.

Oleh sebab persekitaran dan gaya hidup juga memainkan peranan, jenis 2 diabetes adalah lebih mudah untuk dibendung ataupun dirawat jika mengikut saranan yang betul.

Sekiranya perubahan gaya hidup tidak memadai untuk menurunkan paras gula dalam darah, anda perlu mengambil ubat yang dicadangkan oleh doktor. 

Perbezaan antara diabetes jenis satu dan dua

Setiap jenis diabetes yang sudah dikenal pasti mempunyai simptom, punca dan rawatan yang unik dan berbeza.

Ciri-ciri di bawah merupakan panduan kasar untuk mengenal pasti perbezaan diabetes jenis 1 dan jenis 2.

Apa itu diabetes mellitus jenis 1

  • Biasanya didiagnosis semasa kanak-kanak
  • Tidak semestinya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
  • Biasanya dikaitkan dengan kadar keton yang tinggi, komplikasi dikenali sebagai ketoasidosis diabetik
  • Dirawat dengan suntikan atau pam insulin
  • Sukar dikawal tanpa pengambilan insulin

Apa itu diabetes mellitus jenis 2

  • Biasanya didiagnosis pada umur 30 tahun ke atas
  • Lazimnya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
  • Seringkali berkaitan dengan tekanan darah dan/atau tahap kolesterol yang tinggi
  • Rawatan awal adalah perubahan gaya hidup, tanpa perubatan atau pil
  • Berkemungkinan dirawat tanpa ubat-ubatan diabetes

Tanda dan gejala

Tanda dan gejala diabetes adalah

Jadi, adakah terdapat sebarang tanda awal yang boleh dikenal pasti sebagai simptom kencing manis? Sudah tentu jawapannya ada!

Berikut adalah beberapa tanda awal kencing manis yang boleh berlaku kepada seseorang individu sekiranya dia menghidap penyakit ini. Antara tanda diabetes adalah:

1. Sentiasa berasa lapar

Makanan yang dimakan akan ditukar kepada glukosa dan dibawa masuk ke dalam sel badan untuk dijadikan sebagai sumber tenaga. Walau bagaimanapun, insulin diperlukan untuk mengangkut glukosa untuk kegunaan sel-sel badan.

Jika badan anda tidak menghasilkan insulin yang cukup atau tiada langsung, atau sel badan anda menghalangi insulin tersebut, maka glukosa tidak dapat masuk dan tenaga tidak dapat dihasilkan.

Situasi ini sekali gus akan mengakibatkan anda berasa lapar, seterusnya akan menyebabkan keletihan.

2. Kehilangan berat badan

Penghidap diabetes adalah lebih sensitif dengan berat badan berbanding individu lain. Berat badan yang berlebihan merupakan faktor risiko untuk diabetes. 

Walau bagaimanapun, kehilangan berat badan juga merupakan salah satu tanda awal.

Anda akan kehilangan kalori dalam air kencing dan tidak menyerap semula kalori daripada gula dalam darah.

Bagi individu yang mempunyai diabetes yang mula mengawal kadar glukosa mereka, ia mungkin akan menyebabkan kehilangan berat badan. 

Namun, keadaan ini bermakna tahap glukosa dalam badan menjadi seimbang.

3. Gejala lazim diabetes adalah kerap kencing

diabetes adalah

Secara purata, bagi seseorang individu normal yang sihat akan kencing antara 4 hingga 7 kali sehari. 

Walau bagaimanapun, pesakit kencing manis biasanya akan kencing lebih daripada bilangan tersebut. Ia merupakan salah satu tanda utama diabetes.

Apabila ginjal menapis darah untuk menghasilkan air kencing, gula yang diserap akan balik ke dalam aliran darah.

Gula dalam darah bagi penghidap diabetes adalah lebih daripada paras normal dan tidak semua akan diserap balik ke dalam aliran darah.

Oleh itu, tidak semua gula dapat diserap semula dan sebahagian daripada glukosa berlebihan daripada darah akan dilepaskan dalam air kencing.

Oleh sebab gula menarik air, ia akan mengakibatkan jumlah air kencing lebih banyak daripada biasa.

Keadaan ini sekali gus akan menyebabkan anda lebih kerap berasa dahaga. Ini merupakan tanda awal kencing manis yang boleh dikenal pasti.

4. Kerap berasa haus

Seperti yang dihuraikan di atas, pesakit diabetes terutamanya jenis satu sering kali ke tandas untuk membuang air kecil.

Individu yang banyak kali membuang air akan lebih kerap berasa dahaga. 

5. Penglihatan menjadi kabur

Perubahan paras cecair di dalam badan anda mengakibatkan kanta pada mata anda membengkak.

Keadaan ini sekali gus menyebabkan berlakunya perubahan bentuk pada kanta mata dan membuatkan anda mengalami kesukaran untuk fokus.

6. Senang berasa keletihan yang melampau

Bagi pesakit diabetes, terutama sekali diabetes jenis dua, keletihan yang melampau boleh terjadi disebabkan oleh beberapa faktor seperti:

  • Tahap gula darah yang tinggi, sama ada kerana kekurangan hormon insulin atau kerintangan badan terhadap insulin boleh mempengaruhi kemampuan tubuh untuk memindahkan glukosa daripada darah ke dalam sel bagi keperluan tenaga
  • Individu yang mengambil perubatan diabetes yang lebih kuat juga mungkin mengalami keletihan sebagai tanda tahap gula darah rendah
  • Berat badan yang berlebihan bagi penghidap diabetes jenis dua

7. Luka yang lambat sembuh

Tanda awal lain diabetes adalah luka yang mengambil masa untuk sembuh. Antara sebab luka sukar sembuh adalah kerana kadar gula dalam darah pada badan pesakit terlalu tinggi.

Keadaan ini cenderung merosakkan dan mengganggu fungsi saraf, mengurangkan sistem imunisasi badan dan mengakibatkan proses aliran darah menjadi kronik.

Kesan daripada gangguan yang berlaku, ia akan melambatkan proses penyembuhan jaringan sel dan tisu badan yang terluka serta mengalami kerosakan.

Punca

Penyebab lazim penyakit diabetes adalah

Diabetes jenis satu dan dua mempunyai punca yang berlainan sama ada masalah genetik, autoimun, persekitaran dan gaya hidup. 

Ini punca lazim mengikut jenis diabetes yang ada.

Diabetes jenis satu

Lazimnya, diabetes jenis satu berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa, apabila sistem imun tubuh terlebih aktif dan berupaya untuk merosakkan sel-sel di pankreas.

Terdapat dua jenis sel utama di pankreas iaitu sel alfa dan sel beta. Sel beta bertanggungjawab untuk menghasilkan insulin bagi kegunaan tubuh kita. Oleh sebab sistem imun kita menyerang sel-sel sendiri, penyakit ini dianggap sebagai autoimun.

Punca di sebalik kegiatan tubuh luar biasa ini masih belum diketahui dengan jelas bagi para penyelidik, tetapi ada tiga penyebab yang boleh menjadi punca iaitu:

  • Genetik: Sejarah penyakit kencing manis dalam keluarga
  • Virus: Terdapat beberapa bukti mendedahkan sesetengah virus tertentu boleh mencetuskan tindak balas dalam sistem imun yang boleh memusnahkan sel badan. Secara tidak langsung, ia boleh menyebabkan pengeluaran insulin daripada pankreas dihentikan
  • Persekitaran: Sebilangan penyelidik mengesyaki gabungan sesetengah persekitaran dan genetik boleh meningkatkan risiko diabetes jenis satu
  • Diabetes jenis dua

    Bertentangan dengan diabetes jenis satu, kencing manis jenis dua berlaku apabila badan mengalami kerintangan terhadap insulin, atau ketika pankreas tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi.

    Sama seperti diabetes jenis satu, punca utama keadaan ini berlaku masih belum dikenal pasti. Akan tetapi, faktor genetik, gaya hidup dan persekitaran, seperti berat badan berlebihan dan kurang aktif merupakan faktor penyumbang penyakit ini.

    Faktor-faktor lain yang boleh meningkatkan risiko jenis 2 diabetes adalah:

    • Berat badan: Berat badan berlebihan adalah faktor risiko utama bagi penyakit kencing manis jenis dua. Namun, anda tidak semestinya mempunyai berat badan berlebihan untuk menghidap penyakit ini
    • Gaya hidup tidak aktif: Semakin kurang aktif seseorang individu, semakin besar risiko menghidap diabetes jenis dua. Aktiviti fizikal membantu anda mengawal berat badan dengan menggunakan glukosa berlebihan dalam badan sebagai tenaga dan menjadikan sel lebih sensitif terhadap insulin
    • Umur: Risiko meningkat seiring bertambahnya usia, terutama sekali 45 tahun ke atas. Namun, kini ia meningkat secara mendadak dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan orang muda

    Rawatan

    Rawatan dan pengurusan bagi penyakit diabetes adalah

    1. Perubahan diet

    diabetes adalah

    Tahap gula dalam darah anda naik atau turun bergantung pada jenis makanan yang diambil. Makanan berkanji atau bergula boleh menjadikan kadar gula dalam darah meningkat dengan cepat.

    Protein dan lemak juga boleh menyebabkan kenaikan paras gula tetapi secara beransur-ansur. Mengambil jenis makanan yang betul boleh mengawal gula dalam darah dan membantu menurunkan berat badan berlebihan.

    Tukar diet anda kepada makanan yang lebih sihat seperti:

    • Buah-buahan dan sayur-sayuran
    • Bijirin penuh
    • Protein tanpa lemak seperti ikan
    • Lemak sihat seperti minyak zaitun dan kekacang

    2. Aktiviti fizikal

    Secara amnya, senaman ringan dan berintensiti sederhana seperti berbasikal dan berjoging selamat untuk mereka yang menghidap diabetes.

    Namun, bagi yang ingin menceburi sukan lasak seperti bola sepak, ragbi, berkayak dan sebagainya, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor.

    Saranan terkini adalah supaya seseorang individu itu bersenam sekurang-kurangnya 5 kali sehari. Aktiviti tersebut perlu dilakukan sekurang-kurangnya 150 minit bagi aktiviti bertahap sederhana.

    Anda juga disarankan untuk melakukan aktiviti lasak sekurang-kurangnya 90 minit sehari.

    Ia telah terbukti berkesan dalam mengawal simptom kencing manis seterusnya menyebabkan tahap pengawalan gula yang lebih baik dan juga mengurangkan berat badan.

    3. Pantau tahap gula dalam darah

    diabetes adalah

    Pemantauan gula dalam darah secara berkala adalah perkara terpenting yang boleh dilakukan untuk menguruskan diabetes jenis satu atau dua.

    Anda akan dapat melihat perubahan paras gula mengikut diet yang berbeza, pengambilan ubat atau aktif secara fizikal.

    Dengan maklumat ini, doktor boleh membuat keputusan mengenai rancangan penjagaan diabetes yang terbaik untuk anda.

    Jika dipantau dengan kerap, individu boleh menjadi lebih berjaga-jaga terhadap kesihatan mereka. Ia dapat membantu untuk melambatkan atau mencegah komplikasi diabetes seperti serangan jantung, strok, penyakit buah pinggang, kebutaan dan amputasi.

    4. Penggunaan insulin

    Insulin adalah rawatan utama untuk diabetes jenis satu. Ia bertindak sebagai pengganti hormon yang tidak dapat dihasilkan oleh badan anda.

    Terdapat empat jenis insulin yang paling biasa digunakan, berbeza dari segi kepantasan untuk bertindak dan tempoh keberkesanannya:

    • Insulin bertindak pantas mula berfungsi dalam masa 15 minit dan kesannya berlangsung selama tiga hingga empat jam
    • Insulin bertindak pendek mula berfungsi dalam masa 30 minit dan berlangsung selama enam hingga lapan jam
    • Insulin bertindak sederhana mula berfungsi dalam sejam hingga dua jam dan berlangsung 12 hingga 18 jam
    • Insulin bertindak panjang berfungsi beberapa jam selepas suntikan dan berlangsung selama 24 jam atau lebih lama

    Pencegahan

    Pencegahan prediabetes dan diabetes jenis dua

    Prediabetes bukanlah satu keadaan penyakit tetapi ia adalah tanda amaran bahawa anda mungkin mempunyai diabetes jenis 2 dalam waktu terdekat.

    Ia melibatkan tahap gula dalam darah yang tinggi, namun tidak cukup tinggi untuk dikategorikan sebagai diabetes jenis 2. 

    Walaupun penghidap prediabetes berisiko mendapat diabetes jenis 2 dalam tempoh 10 tahun akan datang, namun ia masih boleh dicegah.

    1. Pilihlah makanan yang lebih sihat

    Pilihlah makanan yang disediakan dengan cara yang lebih sihat seperti rebus, stim atau dibakar. Selain itu, berbincanglah dengan doktor ataupun pakar dietetik untuk mengetahui jenis makanan yang sesuai bagi anda.

    Berhati-hati dan hadkan pengambilan makanan luar kerana anda tidak tahu ramuan dan jumlah gula yang digunakan.

    2. Usaha ke arah lebih aktif

    Hidup yang lebih aktif berbeza bagi pesakit diabetes kerana mereka memerlukan jenis senaman yang sesuai bagi jenis diabetes dan paras gula darah.

    Senaman yang dilakukan secara konsisten boleh membantu meningkatkan tahap kesihatan pesakit diabetes sekali gus mengurangkan rasa letih dan tekanan.

    Berbincanglah dengan doktor mengenai jenis senaman yang sesuai kerana bersenam tanpa pengawasan doktor akan menyebabkan keadaan pesakit lebih teruk seperti pengsan atau pitam.

    Jika anda mengalami luka semasa bersenam, jalani rawatan dengan segera sebelum ia bertambah teruk.

    3. Kekalkan berat badan yang sesuai

    Prediabetes dan jenis 2 diabetes adalah sebahagiannya boleh dicegah dengan cara mengurangkan berat badan. 

    Berundinglah dengan doktor untuk mengetahui berat badan yang ideal buat anda, dan berusaha untuk mengurangkannya dengan menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

    Kesimpulannya, bincangkan potensi risiko diabetes dengan doktor anda.

    Sekiranya anda berisiko, jangan takut untuk melakukan ujian gula darah dan ikuti nasihat doktor untuk menguruskan paras gula darah anda. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada merawat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 22/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan