backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Jus Buah-buahan Sihat Tapi Manis, Jadi Boleh Ke Pesakit Diabetes Minum Air Buah?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/08/2021

    Jus Buah-buahan Sihat Tapi Manis, Jadi Boleh Ke Pesakit Diabetes Minum Air Buah?

    Jus buah-buahan adalah antara alternatif jenis minuman yang boleh dikatakan sihat. Ada pelbagai jenis buah untuk jus yang sering kita pesan di restoran seperti jus oren, jus epal dan jus tembikai.

    Namun, adakah pengambilan jus buah-buahan ini boleh memberikan sebarang kesan terhadap individu yang menghidap penyakit diabetes?

    Bagaimana pula sekiranya jus buah-buahan tersebut dibuat di rumah dan tidak terdapat sebarang kandungan gula tambahan?

    Jus buah-buahan tinggi kandungan gula

    Tahukah anda, walaupun jus yang diminum ini diperbuat daripada buah-buahan yang kelihatan sangat semula jadi, namun kandungan gula dalam jus buah adalah sangat tinggi sehingga boleh meningkatkan paras gula darah dengan pantas.

    Peningkatan paras gula darah yang disebabkan oleh jus buah-buahan ini adalah kerana faktor penghadamannya yang lebih cepat dalam tubuh.

    Apabila anda mengambil terlalu banyak jus buah dalam satu hidangan, ia akan meningkatkan paras glukosa dalam darah dengan kadar yang agak pantas sehingga boleh menyebabkan hiperglisemia.

    Kajian ada menyatakan, jika anda mengambil jus buah dengan kerap, ia mungkin akan meningkatkan risiko untuk mendapat diabetes jenis 1.

    Oleh sebab itu, bagi penghidap diabetes khususnya, anda disarankan untuk mengambil potongan buah-buahan dalam hidangan anda berbanding jus buah-buahan atau smoothies.

    Pengambilan potongan buah-buahan adalah lebih sihat berbanding jus buah-buahan. 

    Ini kandungan dalam jus buah-buahan yang perlu anda tahu!

    buah untuk jus

    Selain daripada kandungan vitamin C dan juga kalsium yang sememangnya memberikan banyak manfaat, jus buah juga ada kandungan lain yang boleh beri kesan negatif kepada tubuh anda. Antaranya ialah:

    • Kalori: Buah untuk jus seperti satu gelas jus oren iaitu kira-kira 250 ml tanpa tambahan gula biasanya mengandungi 100 kalori, berbanding hanya 60 kalori dalam sebiji buah oren. Kalori ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya jus tersebut ditambah lagi dengan kandungan gula
    • Fruktosa: Fruktosa adalah sejenis gula. 500 ml jus buah mengandungi kandungan gula yang lebih banyak daripada apa yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi setiap hari iaitu 30 gram untuk lelaki, dan 24 gram untuk perempuan
    • Kurangnya serat: Berbanding buah-buahan sebenar, jus buah biasanya mengandungi lebih sedikit kandungan serat. Bagi jenis jus yang lebih banyak diproses, ia mungkin tidak mengandungi sebarang kandungan serat di dalamnya

    Bagaimana jus buah memberi kesan terhadap paras gula darah?

    Paras gula dalam jus buah sememangnya boleh menyebabkan peningkatan yang amat tinggi terhadap paras gula darah.

    Ia juga boleh menyebabkan hiperglisemia iaitu paras gula darah menjadi terlalu tinggi.

    Indeks glisemik (GI) meletakkan jus oren pada kadar 66 dan 76 pada skala 100. Ini menjadikan jus buah oren ini sebagai minuman yang tinggi kandungan GI.

    Secara umumnya, ya. Kajian yang dijalankan pada tahun 2013 ada menyatakan bahawa, pengambilan 3 bahagian jus buah setiap minggu telah dikaitkan dengan 8% peningkatan risiko untuk mendapat diabetes.

    Namun, ada beberapa jenis buah-buahan yang didapati boleh mengurangkan risiko ini.

    Jika anda menggantikan jus buah dengan beberapa jenis buah-buahan yang lain, ia boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes sebanyak 7%.

    Antara jenis buah-buahan yang dinyatakan dalam hasil kajian tersebut ialah buah anggur, epal, pir, pisang dan beri biru.

    Jus buah-buahan masih ada kebaikannya jika diambil dengan betul

    Jus buah-buahan masih boleh memberikan beberapa manfaat terhadap tubuh anda. Ini termasuklah kandungan seperti vitamin, mineral, kalsium dan antioksidan.

    Namun, kebanyakan daripada manfaat ini hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan kandungan gula yang dimilikinya.

    Jus buah masih mempunyai kandungan vitamin C, namun adalah lebih baik jika anda mendapatkan sumber bekalan vitamin C tubuh badan anda melalui pengambilan buah potong atau pemakanan sayuran berdaun hijau.

    Ini kerana, sayuran hijau mempunyai kandungan gula yang amatlah sedikit yang kurang menjejaskan paras gula darah anda. 

    Buah potong lebih baik daripada buah untuk jus!

    Pengambilan buah potong sememangnya mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding jus buah-buahan.

    Ini kerana, buah potong mempunyai kandungan serat boleh larut di dalamnya. Kehadiran serat boleh larut sememangnya membantu sistem penghadaman agar menjadi lebih lancar di samping mengawal kadar paras gula dalam darah.

    Namun, bagi pesakit diabetes, anda masih perlu berhati-hati dengan pengambilan buah potong ini memandangkan buah potong turut mengandungi banyak sumber karbohidrat.

    Pokok pangkalnya, makanlah secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan. 

    Ambil jenis minuman yang lebih sihat

    Untuk pesakit diabetes, anda disarankan untuk mengambil jenis minuman tanpa gula atau kurang kandungan gula bagi mengawal paras gula darah anda.

    Antara jenis minuman yang disarankan untuk diminum ialah air kosong, teh tanpa gula, kopi tanpa gula, jus tomato dan minuman lain yang tidak mengandungi kandungan gula tambahan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan