1. Tidak aktif sepanjang hari
Jangan hanya duduk di hadapan komputer anda walaupun anda bekerja di dalam pejabat yang sejuk dan selesa. Bangun dan berjalan serta lakukan sedikit senaman untuk membuatkan tubuh lebih aktif. Senaman mudah seperti berjalan, mengangkat kaki semasa duduk, dan naik turun tangga boleh membantu menjadikan jantung lebih aktif.
2. Anda rasa diri masih muda
Penyakit tidak kenal tua atau muda. Secara amnya, orang muda lebih jarang mendapat banyak penyakit berbanding mereka yang lebih berumur. Namun, gaya hidup terkini yang tidak aktif dan pemakanan yang kurang sihat meningkatkan risiko banyak penyakit kronik. Malah, kencing manis jenis 2 juga pada hari ini ditemui dalam kalangan kanak-kanak!
Jangan berlengah lagi. Ubah gaya hidup dan pemakanan anda untuk kesihatan yang lebih baik.
3. Anda tidak mengambil berat soal kesihatan jantung
Berapa bacaan terkini tekanan darah anda? Apakah bacaan normal?
Nombor dan maklumat ini bukan hanya perlu diketahui oleh staf kesihatan, anda juga perlu tahu untuk memastikan diri dalam keadaan sihat. Dapatkan pemeriksaan jantung secara berkala. Tidak banyak pun, setahun sekali sudah memadai jika tiada sebarang masalah kesihatan. Nak lebih mudah, dapatkan pengukur tekanan darah elektronik.
4. Seluar anda saiz berapa?
Jika saiz 35 inci bagi wanita dan 40 inci bagi lelaki, sila ambil langkah proaktif untuk mengurangkan saiz pinggang anda. Bukan semata-mata untuk mendapatkan bentuk badan yang cantik tetapi juga mengurangkan risiko penyakit jantung. Mulakan sedikit demi sedikit asalkan ada perkembangan.