backup og meta

Lebih Rela Dipenjarakan: Epidemik Kesunyian dalam Kalangan Warga Emas

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    Lebih Rela Dipenjarakan: Epidemik Kesunyian dalam Kalangan Warga Emas

    Populasi dunia sedang mengalami penuaan dengan hampir setiap negara mencatatkan peningkatan jumlah dan nisbah warga emas dalam bilangan penduduk. Secara globalnya, populasi kumpulan usia lebih 60 tahun meningkat lebih cepat berbanding semua kumpulan usia yang lebih muda.

    Peningkatan bilangan warga emas ini menyaksikan pelbagai fenomena berkaitan keperluan penjagaan dan pengurusan warga emas. Walaupun sesetengah daripada mereka lebih suka meneruskan pekerjaan sehingga di usia senja, keadaan kesihatan yang kronik akan memaksa ramai bersara awal. Tanpa mekanisme sokongan yang berkesan, pengasingan dan kesunyian kerap berlaku dalam kalangan warga emas.

    Apa itu Kesunyian

    Kesunyian ditakrifkan secara amnya sebagai perasaan subjektif individu tentang kekurangan hubungan bermakna dan hanya dapat dinilai oleh individu yang mengalami perasaan kesunyian tersebut.

    Kesunyian tidak semestinya berpunca daripada pengasingan sosial. Ini bermakna seseorang individu masih boleh mengalami kesunyian walaupun tinggal dalam komuniti dan mempunyai interaksi sosial.

    Kesunyian sebagai Masalah Global

    Ironinya, dalam era perhubungan serba pantas dan mudah ini, kesunyian telah menjadi epidemik yang mencengkam masyarakat umum tanpa mengira usia.

    Di UK, keputusan kajian penghujung tahun 2017 mendedahkan bahawa hampir 9 juta penduduk Britain mengalami kesunyian, dengan kadar yang lebih tinggi dialami oleh warga emas dan orang kurang upaya. Epidemik kesunyian ini menyebabkan seorang menteri dilantik untuk menangani masalah kesunyian yang dilihat sebagai masalah kesihatan awam.

    Negara Jepun yang mempunyai hampir 6 juta warga emas yang tinggal bersendirian pula menyaksikan peningkatan fenomena jenayah yang aneh. Demi mengelakkan kesunyian hidup di luar, ramai yang memilih untuk melakukan jenayah kecil agar dapat menghabiskan sisa hidup dalam penjara. Dilaporkan bahawa 1 daripada 5 wanita yang dipenjarakan di Jepun adalah warga emas, dengan 9 daripada 10 dipenjarakan atas jenayah kecil.

    Kesan Kesunyian dalam Warga Emas

    Kesunyian kini dikenalpasti sebagai pengukur sosial yang penting terhadap risiko kesihatan. Dalam satu kajian di Amsterdam, perasaan kesunyian didapati meningkatkan risiko kematian terutamanya dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

    Disebabkan lelaki telah bergantung seumur hidup kepada isteri mereka untuk pengurusan hal rumah dan interaksi sosial, kematian pasangan mereka boleh memberi kesan psikologi yang menjejaskan kesihatan.

    Kesunyian dalam kalangan warga emas juga didapati meningkatkan risiko kemerosotan kognitif dan demensia. Orang tua yang mengalami kesunyian juga didapati lebih kerap bertemu dengan doktor untuk tujuan kesihatan.

    Kesunyian didapati bertindak ke atas badan dengan cara yang sama seperti tekanan kronik. Ia meningkatkan tahap hormon stres seperti kortisol dalam tubuh, yang menjejaskan tindak balas imun dan menyumbang kepada keradangan, penyakit mental dan keadaan seperti penyakit jantung dan diabetes.

    Kajian daripada ahli psikologi daripada University of Chicago pula mendapati kesunyian boleh merebak. Orang tua yang merasa kesunyian lebih cenderung untuk bertindak dengan cara yang boleh menyebabkan orang lain tidak mahu berada di sekeliling mereka. Mereka mempunyai kecenderungan untuk mengasingkan diri mereka dengan menolak orang lain dan tidak berusaha untuk berhubung. Malah, teman mereka yang berusia juga mungkin akan bertambah sunyi dan mengikut jejak langkah yang sama. Ini mempunyai implikasi yang serius terhadap kesihatan dan kehidupan sosial anggota keluarga yang menguruskan mereka.

    Oleh itu, cegah kesunyian sebelum ia berlaku. Jika anda terlibat dalam penjagaan warga emas, luangkan masa untuk mendengar luahan hati mereka. Kesunyian tetap berlaku dalam kalangan warga emas yang menetap dengan keluarga sendiri. Mereka mungkin mempunyai keluarga dan rumah sendiri, tetapi ini tidak bermakna kewujudan mereka didengari dan dihargai. Pengabaian warga emas bukan sahaja boleh berlaku dalam bentuk fizikal, malah dalam bentuk emosi dan sosial.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan