backup og meta

Rasa Lapar Di Malam Hari? Ada 6 Snek Sihat Buat Anda Kenyang, Kalau Makan Ni Takkan Gemuk

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 05/09/2022

    Rasa Lapar Di Malam Hari? Ada 6 Snek Sihat Buat Anda Kenyang, Kalau Makan Ni Takkan Gemuk

    Demi mendapatkan berat dan bentuk tubuh ideal, ramai individu memaksa diri untuk berlapar ketika waktu malam dengan cara skip makan malam. Akan tetapi, tahukah anda ada makanan diet malam yang boleh diamalkan buat mereka yang ingin turunkan berat badan?

    Jika anda tergolong daripada golongan ini, teruskan membaca kerana artikel ini akan mengupas mengenai makanan yang tidak akan menggemukkan jika dijamah waktu malam!

    6 jenis makanan diet malam sihat yang boleh dijadikan sebagai ‘snacking’

    1. Pisang

    makanan diet malam

    Pisang adalah buah manis yang mengandungi karbohidrat dan membuatkan usus anda mampu untuk mencerna dengan baik dan cepat.

    Sebaiknya, makanan yang dimakan sebelum tidur haruslah dapat dicerna dengan senang dan cepat agar kenaikan berat dapat dielakkan.

    Memilih buah pisang merupakan pilihan yang tepat sekali! Anda tidak perlu susah-susah masak atau panaskan, hanya ambil sebiji dan buang kulitnya!

    2. Kiwi

    Buah kiwi yang mempunyai tekstur yang agak berbulu dan isi buah berwarna hijau yang cantik ini juga sesuai dijadikan makanan diet malam.

    Kiwi pilihan snek sesuai bagi mereka yang ingin menjaga berat badan.

    Bagi 2 biji buah kiwi hanya mengandungi 93 kalori, 5 gram serat dan 190% daripada pengambilan vitamin C harian (RDI) yang disyorkan.

    Selain itu, buah kiwi ini dapat membantu anda tidur dengan lebih lena. Sebuah kajian mengenainya dibuat ke atas 24 individu dewasa yang mempunyai masalah tidur.

    Dalam kajian tersebut, peserta dikehendaki memakan dua biji kiwi satu jam sebelum tidur setiap malam.

    Selepas satu bulan, kajian mendapati penurunan sebanyak 35% dalam masa yang diperlukan untuk mereka tertidur. Mereka juga tidur sekitar 13% lebih lama dan 5% lebih berkualiti.

    Kiwi adalah salah satu daripada beberapa jenis buah yang mengandungi serotonin, yang mempunyai kesan menenangkan dan dapat membantu anda tidur lebih cepat.

    Buah ini juga membantu mengekang keinginan anda untuk makan makanan berkarbohidrat.

    Walaupun diperlukan kajian yang lebih besar untuk mengesahkan manfaat tidur daripada buah kiwi, namun banyak lagi sebab lain untuk anda menikmati buah ini.

    3. Pistachio

    Pistachio menonjol antara kacang yang lain kerana mengandungi tahap melatonin yang menggalakkan tidur.

    Pengambilan kacang pistachio sebanyak 28 gram, mempunyai 160 kalori dan sekitar 6.5 mg melatonin.

    Sebagai perbandingan, jumlah melatonin yang biasanya disyorkan untuk membantu tidur adalah 0.5-5 mg.

    4. Yogurt

    Yogurt adalah sumber kalsium yang sangat baik. Badan anda memerlukan kalsium untuk menghasilkan melatonin daripada asid amino triptofan.

    Yogurt, terutama yogurt Greek, juga kaya dengan protein, jenis kasein.

    Kajian awal menunjukkan bahawa pengambilan protein kasein pada waktu malam dapat membantu mengurangkan rasa lapar pada keesokan harinya.

    Sekiranya yogurt adalah makanan ringan pilihan anda, pilih yang kurang gula ataupun original agar anda dapat memanfaatkannya secara maksimum.

    Jumlah yogurt sebanyak 170 gram bagi yogurt kosong tanpa lemak mempunyai hanya 94 kalori.

    5. Edamame

    makanan diet malam

    Edamame, kacang soya hijau yang belum masak, boleh dibeli sama ada secara segar ataupun yang telah dibekukan.

    Ia sangat sesuai dijadikan makanan diet malam yang ringan ketika lewat malam, hanya makan edamame segar atau dipanaskan dengan sedikit garam dan lada hitam- setiap 113 gram hanya mempunyai 150 kalori.

    Edamame adalah sumber protein yang baik, yang merangkumi sejumlah besar asid amino triptofan.

    Bagi membantu menggerakkan triptofan ke otak anda untuk menghasilkan melatonin, gabungkan kacang ini bersama makanan yang mempunyai karbohidrat.

    Sebagai contoh, gunakan edamame dan bukannya kacang garbanzo dalam resipi hummus kegemaran anda dan sapukan pada roti bakar.

    6. Telur

    Telur sangat versatile dan dapat digunakan dalam berbagai-bagai jenis makanan termasuk makanan diet malam yang ringan.

    Contohnya, anda boleh menyimpan sebilangan telur rebus di dalam peti sejuk anda untuk dijadikan sebagai snacking atau diletakkan dalam salad.

    Sebiji telur besar hanya mempunyai 72 kalori dan membekalkan 6 gram protein yang melegakan kelaparan, termasuk 83 mg triptofan.

    Rumusan

    Mengamalkan makanan diet malam atau snacking yang sihat sebelum tidur boleh membantu anda tidur lebih lena dan menambah rangsangan nutrisi untuk hari-hari anda.

    Makanan-makanan yang disebut di atas amat sesuai bagi mereka yang ingin menjaga berat badan kerana khasiat dan jumlah kalorinya yang sedikit, serta lazat.

    Bagi para pembaca yang sering berlapar pada waktu malam kerana takut menjadi gemuk, semoga artikel ini dapat mengukirkan senyuman pada wajah anda kerana kini anda boleh makan dengan tenang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 05/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan