Levothyroxine

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Nama AM: Levothyroxine Jenama: Nama Am sahaja. Tiada jenama didapati.

Kegunaan

Apa itu Levothyroxine?

Levothyroxine digunakan untuk mengubati tiroid yang tidak aktif (hypothyroidism). Ia menggantikan atau menyediakan lebih banyak hormon tiroid, yang biasanya dihasilkan oleh kelenjar tiroid. Tahap hormon tiroid yang rendah boleh berlaku secara semula jadi atau apabila kelenjar tiroid tercedera disebabkan oleh radiasi / ubat-ubatan atau dikeluarkan melalui pembedahan. Kandungan hormon tiroid yang mencukupi adalah penting untuk mengekalkan aktiviti mental dan fizikal yang normal. Untuk kanak-kanak, mempunyai hormon tiroid yang mencukupi adalah penting untuk perkembangan mental dan fizikal yang normal.

Ubat ini juga digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit tiroid (seperti jenis-jenis goiter tertentu dan kanser tiroid).

Ubat ini tidak boleh digunakan untuk merawat kemandulan kecuali jika anda mandul disebabkan oleh tahap hormon tiroid yang rendah.

Bagaimanakah kegunaan Levothyroxine?

Ambil ubat ini melalui mulut seperti yang diarahkan oleh doktor anda, biasanya sekali sehari dengan perut kosong, 30 minit hingga 1 jam sebelum sarapan pagi. Ambil ubat ini dengan segelas air penuh kecuali jika doktor anda mengarahkan sebaliknya.

Jika anda mengambil  ubat ini dalam bentuk kapsul, telan keseluruhannya. Jangan pecahkan, hancurkan, atau kunyahnya. Mereka yang tidak dapat menelan keseluruhan kapsul (seperti bayi atau kanak-kanak kecil) harus menggunakan ubat tablet.

Untuk bayi atau kanak-kanak yang tidak boleh menelan keseluruhan tablet, hancurkan tablet dan campurkan 1 hingga 2 sudu teh (5 hingga 10 mililiter) air, dan berikan dengan menggunakan sudu atau penitis dengan segera. Jangan sediakan campuran ubat terlalu awal atau mencampurkan tablet ke dalam susu soya formula bayi. Rujuk ahli farmasi anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Dos adalah berdasarkan umur, berat badan, keadaan kesihatan, keputusan ujian makmal, dan tindak balas terhadap rawatan.

Gunakan ubat ini dengan kerap untuk mendapatkan manfaat yang paling banyak darinya. Untuk membantu anda mengingat, makan ubat ini pada masa yang sama setiap hari.

Jangan berhenti mengambil ubat ini tanpa terlebih dahulu berunding dengan doktor anda. Rawatan untuk penggantian hormon tiroid biasanya diambil seumur hidup.

Terdapat banyak jenama levothyroxine yang berbeza. Jangan berubah jenama tanpa terlebih dahulu berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda.

Ubat-ubatan tertentu (cholestyramine, colestipol, colesevelam, antacid, sucralfate, simethicone, zat besi, sodium polystyrene sulfonate, suplemen kalsium, orlistat) boleh mengurangkan jumlah hormon tiroid yang diserap oleh tubuh anda. Jika anda mengambil ubat-ubatan ini, jarakkan pengambilan levothyroxine selama sekurang-kurangnya 4 jam.

Gejala untuk tahap hormon tiroid yang rendah termasuklah keletihan, sakit otot, sembelit, kulit kering, penambahan berat badan, degupan jantung yang perlahan, atau sensitiviti terhadap cuaca sejuk. Beritahu doktor anda jika keadaan anda bertambah buruk atau berterusan selepas beberapa minggu mengambil ubat ini.

Bagaimana saya menyimpan Levothyroxine?

Levothyroxine  paling baik disimpan pada suhu bilik dari cahaya langsung dan kelembapan. Untuk mengelakkan kerosakan ubat, anda tidak boleh menyimpan levothyroxine di bilik mandi atau peti sejuk. Mungkin ada jenama levothyroxine yang berbeza yang mungkin mempunyai keperluan penyimpanan yang berlainan. Adalah penting untuk sentiasa menyemak pakej produk untuk arahan mengenai penyimpanan, atau boleh bertanya kepada ahli farmasi anda. Untuk keselamatan, anda perlu menyimpan semua ubat dari kanak-kanak dan binatang peliharaan.

Anda tidak boleh membuang levothyroxine ke tandas atau tuangkannya ke dalam longkang kecuali diarahkan untuk berbuat demikian. Adalah penting untuk membuang produk ini dengan betul apabila ia tamat tempoh atau tidak lagi diperlukan. Rujuk ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut tentang cara membuang produk anda dengan selamat.

Langkah berjaga-jaga & amaran

Apakah yang perlu saya tahu sebelum menggunakan Levothyroxine?

Sebelum mengambil levothyroxine, sila beritahu doktor anda:

  • Yang anda mengandung atau menyusu badan. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya perlu mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang anda ambil yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan supplemen.
  • Anda mempunyai alahan dengan bahan aktif atau tidak aktif levothyroxine atau ubatan lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.

Jika anda mengambil antacid, kalsium karbonat (Tums), cholestyramine (Questran), colesevelam (Welchol), kolestipol (Colestid), zat besi, orlistat (Alli, Xenical), simethicone (Phazyme, Gas X) , sodium polystyrene sulfonate (Kayexalate), atau sucralfate (Carafate), ambilnya sekurang-kurangnya 4 jam sebelum atau 4 jam selepas mengambil levothyroxine.

Beritahu doktor anda jika anda mengalami atau pernah mengalami diabetes; pengerasan arteri (atherosclerosis); penyakit buah pinggang; penyakit hati atau hepatitis; masalah pendarahan; porphyria (keadaan di mana bahan-bahan yang tidak normal berkumpul di dalam darah dan menyebabkan masalah kulit atau sistem saraf); penyakit kardiovaskular seperti tekanan darah tinggi, sakit dada (angina), aritmia, atau serangan jantung; kelenjar adrenal atau pituitari yang tidak aktif, atau sebarang keadaan yang membuat anda sukar menelan.

Beritahu doktor anda jika anda sedang hamil, merancang untuk hamil atau menyusu badan. Jika anda hamil semasa mengambil levothyroxine, sila hubungi doktor anda.

Sekiranya anda menjalani pembedahan, termasuklah pembedahan pergigian, beritahu doktor atau doktor gigi bahawa anda sedang mengambil levothyroxine.

Adakah selamat untuk mengambil Levothyroxine semasa mengandung atau menyusukan bayi?

Tiada maklumat yang mencukupi tentang keselamatan menggunakan ubat ini semasa hamil dan menyusukan bayi. Sila sentiasa berunding dengan doktor anda untuk melihat potensi manfaat dan risiko sebelum mengambil ubat ini. Ubat ini adalah kategori A dalam risiko kehamilan , menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA).

Rujukan bagi kategori risiko kehamilan oleh FDA seperti di bawah:

  • A = Tiada risiko
  • B = Tiada risiko dalam beberapa kajian
  • C = Mungkin ada risiko
  • D = Bukti positif risiko
  • X = Tidak boleh sama sekali
  • N = Tidak diketahui

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan ubat ini?

Dapatkan bantuan perubatan kecemasan jika anda mempunyai tanda-tanda reaksi alahan terhadap levothyroxine: gatal-gatal; sukar bernafas; bengkak pada muka, bibir, lidah, atau tekak anda.

Hubungi doktor anda dengan segera jika anda mempunyai kesan sampingan yang serius seperti:

  • Kadar denyutan jantung yang cepat atau tidak teratur
  • Demam, kulit kemerah-merahan, berpeluh
  • Masalah tidur (insomnia)
  • Perubahan dalam kitaran haid anda
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Perubahan selera makan
  • Perubahan berat badan

Kesan sampingan yang biasa termasuk:

  • Kaki kejang
  • Kelemahan otot
  • Sakit kepala
  • Berasa resah atau mudah marah
  • Cirit-birit
  • Ruam
  • Keguguran rambut

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan, sila berjumpa doktor atau ahli farmasi anda.

Tindakbalas

Apakah ubat yang mempunyai tindak balas Levothyroxine?

Levothyroxine mempunyai tindak balas dengan ubat lain yang anda ambil, yang boleh mempengaruhi prestasi atau meningkatkan risiko kepada kesan sampingan yang lebih serius. Untuk mengelakkan sebarang tindak balas, anda harus menyimpan senarai nama ubat yang anda guna (termasuk ubat yang mendapat preskripsi, tidak berpreskripsi dan produk-produk herba lain) dan kongsikannya bersama doktor dan ahli farmasi. Untuk keselamatan anda, jangan mula menggunakan, berhenti atau mengubah dos ubat anda tanpa sebarang kebenaran daripada doktor anda.

Produk yang boleh bertindak balas dengan ubat ini adalah:

  • Kalsium karbonat (Alka-Mints, Calcium Oyster Shell, Caltrate, Os-Cal, Oyster Shell Calcium, Rolaids Soft Chew, Tums dan lain-lain)
  • Cholestyramine, colestipol
  • Tambahan zat besi ferrous sulfate
  • Sucralfate
  • Sodium polystyrene sulfonate (Kalexate, Kayexalate, Kionex)
  • Antacids yang mengandungi aluminium atau magnesium – Acid Gone, Gaviscon, Maalox, Susu Magnesia, Mintox, Mylanta, Pepcid Complete, dan lain-lain)

Adakah makanan atau alkohol bertindak balas Levothyroxine?

Levothyroxine mungkin mempunyai tindak balas dengan makanan dan alkohol dengan mengubah cara ia berfungsi ataupun meningkatkan kesan sampingan yang serius. Sila bertanya kepada doktor atau ahli farmasi tentang makanan dan minuman beralkohol yang berpotensi mengakibatkan tindak balas sebelum menggunakannya.

Apakah masalah kesihatan yang mungkin bertindak balas dengan Levothyroxine?

Levothyroxine akan bertindak balas dengan keadaan kesihatan anda. Tindak balas ini akan mengakibatkan keadaan anda semakin teruk atau mengubah cara ubat ini berfungsi. Adalah sangat penting untuk anda memberitahu doktor dan ahli farmasi tentang keadaan kesihatan anda.

Keadaan kesihatan yang mungkin bertindak balas dengan ubat ini adalah:

  • Kekurangan fungsi kelenjar adrenal (kelenjar adrenal yang tidak aktif)
  • Serangan jantung, yang akut atau baru berlaku
  • Thyrotoxicosis (tiroid terlalu aktif)
  • Masalah adrenal
  • Pernicious Anemia
  • Angina (sakit dada yang teruk)
  • Masalah pembekuan darah
  • Diabetes
  • Penyakit jantung atau saluran darah (cth, Penyakit arteri koronari)
  • Masalah irama jantung (cth, Aritmia, fibrilasi atrium)
  • Osteoporosis
  • Masalah kelenjar pituitari
  • Pesakit yang mempunyai masalah untuk menelan kapsul

Penggunaan / Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan ubat ini.

Apakah dos yang disyorkan untuk dewasa?

Dos Dewasa Biasa untuk Hypothyroidism -Oral

Dos permulaan adalah 12.5 hingga 50 mcg secara oral sekali sehari. Dos dapat ditingkatkan kepada 12.5 hingga 25 mcg / hari setiap 2 hingga 4 minggu.

Untuk pesakit yang lebih tua atau pesakit yang lebih muda dengan sejarah penyakit kardiovaskular, dos perlu ditingkatkan kepada 12.5 hingga 25 mcg setiap 3 hingga 6 minggu.

Dos Dewasa Biasa untuk Supresi TSH – Oral:

Dos awal adalah 50 mcg secara lisan sekali sehari. Dos boleh dinaikkan kepada 25 hingga 50 mcg setiap 2 hingga 4 minggu. Dos pengekalan biasanya adalah 100 hingga 200 mcg secara oral sekali sehari.

Dos Dewasa Biasa untuk Ujian Supresi Tiroid – Oral:

2.6 mcg / kg / hari selama 7 hingga 10 hari.

Dos Dewasa biasa untuk Myxedema Coma:

Dos permulaan: 300 hingga 500 mcg bolus IV diberikan sekali.

Apakah dos yang disyorkan untuk kanak-kanak?

Dos Pediatrik Biasa untuk Hipothiroidisme

Hipotiroidisme kongenital:

Neonatal:

Oral: 10 hingga 15 mcg / kg / hari; jika pesakit berisiko untuk mengalami kegagalan jantung, mulakan dengan dos yang lebih rendah. Dalam kes-kes hipotiroidisme yang teruk  (T4 kurang daripada 5 mcg / dL), dos awal yang lebih tinggi 12 hingga 17 mcg / kg / hari boleh diberikan.

IV atau IM: 50% hingga 75% daripada dos oral.

0 hingga 3 bulan:

  • 10 hingga 15 mcg / kg secara oral sekali sehari; jika bayi berisiko untuk mengalami kegagalan jantung maka gunakan dos permulaan yang lebih rendah kira-kira 25 mcg / hari; jika serum awal T4 adalah sangat rendah (kurang daripada 5 mcg / dL) mulakan rawatan pada dos yang lebih tinggi kira-kira 50 mcg / hari.

3 hingga 6 bulan:

  • 8 hingga 10 mcg / kg atau 25 hingga 50 mcg secara oral sekali sehari.

6 hingga 12 bulan:

  • 6 hingga 8 mcg / kg atau 50 hingga 75 mcg secara oral sekali sehari.

1 hingga 5 tahun:

  • 5 hingga 6 mcg / kg atau 75 hingga 100 mcg secara oral sekali sehari.

6 hingga 12 tahun:

  • 4 hingga 5 mcg / kg atau 100 hingga 125 mcg secara oral sekali sehari.

12 tahun:

  • 2 hingga 3 mcg / kg atau lebih tinggi, atau sama dengan 150 mcg secara oral sekali sehari.

Pesakit yang mana proses pertumbuhan dan akil baligh sudah selesai: 1.7 mcg / kg secara oral sekali sehari.

Untuk hipothiroidisme kronik atau teruk: 25 mcg secara oral sekali sehari dan tingkatkan dos apabila perlu dengan kenaikan 25 mcg setiap 2 hingga 4 minggu sehingga hasil yang diinginkan tercapai.

Apakah bentuk penyediaan ubat ini?

Levothyroxine boleh didapati dalam bentuk dan kekuatan dos berikut:

  • Suntikan
  • Tablet

Apakah yang perlu saya lakukan jika berlakunya kecemasan atau terlebih dos?

Jika terdapat kecemasan atau berlaku terlebih dos, sila hubungi perkhidmatan kecemasan atau pergi terus ke unit kecemasan di hospital yang terdekat.

Apakah yang perlu saya lakukan jika terlepas dos?

Jika anda terlepas atau terlupa mengambil dos levothyroxine, sila ambil ubat ini dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, jika ia sudah hampir melebihi separuh masa dos sehingga dos yang baru, anda boleh abaikan dos yang terlepas dan sila ambil dos yang ditetapkan seperti biasa. Jangan ambil dos dua kali ganda sebagai ganti.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 31, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Jun 3, 2018