Levemir

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Nama AM: Levemir Jenama: Nama Am sahaja. Tiada jenama didapati.

Kegunaan

Apa itu Levemir?

Levemir® adalah insulin buatan manusia, iaitu hormon yang dihasilkan dalam badan. Insulin berfungsi dengan menurunkan tahap glukosa (gula) dalam darah. Insulin detemir adalah insulin jangka panjang yang mula bekerja beberapa jam selepas suntikan dan terus berfungsi selama 24 jam.

Levemir® digunakan untuk meningkatkan kawalan gula dalam darah dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak yang menghidap diabetes mellitus.

Levemir® digunakan untuk merawat diabetes jenis 2 dalam kalangan orang dewasa.

Levemir® juga digunakan untuk merawat diabetes jenis 1 dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak yang berumur sekurang-kurangnya 2 tahun.

Bagaimanakah kegunaan Levemir?

Gunakan Levemir® seperti yang ditetapkan oleh doktor anda. Ikuti semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan gunakan ubat ini dalam jumlah yang lebih besar atau lebih kecil atau lebih lama daripada yang disyorkan.

Levemir® disuntik di bawah kulit. Anda akan ditunjukkan cara menggunakan suntikan di rumah. Jangan suntik diri anda dengan ubat ini jika anda tidak faham bagaimana menggunakan suntikan dan  membuang jarum suntikan yang telah digunakan dengan betul.

Jika anda menggunakan Levemir® sekali sehari, ambil suntikan pada waktu makan malam atau pada waktu tidur. Sekiranya anda menggunakan ubat itu dua kali sehari, ambil dos malam anda sekurang-kurangnya 12 jam selepas dos pagi anda.

Pembekal penjagaan anda akan menunjukkan kepada anda tempat terbaik di badan anda untuk menyuntik Levemir®. Gunakan tempat yang berbeza setiap kali anda memberi suntikan. Jangan menyuntik ke tempat yang sama dua kali berturut-turut.

Doktor anda mungkin mahu anda menggunakan insulin tindakan jangka pendek sebagai tambahan kepada Levemir®. Sentiasa suntik insulin anda secara berasingan. Levemir® tidak boleh diberikan dengan pam insulin, atau dicampur dengan insulin lain. Jangan menyuntik Levemir ke dalam salur darah atau otot.

Jika anda menggunakan pen suntikan, gunakan pen suntikan yang disertakan bersama Levemir®. Lampirkan jarum baru sebelum setiap penggunaan. Jangan memindahkan insulin dari pen ke dalam picagari.

Jangan sekali-kali berkongsi pen suntikan atau jarum suntikan dengan orang lain, walaupun jarum telah berubah. Perkongsian peranti ini boleh menyebarkan jangkitan atau penyakit berpindah dari satu orang ke orang lain.

Gunakan jarum dan suntikan sekali sahaja. Ikuti undang-undang negeri atau tempatan tentang membuang jarum suntik yang digunakan. Gunakan bekas pelupusan benda tajam (tanyakan kepada ahli farmasi anda untuk mendapatkannya dan bagaimana untuk membuangnya). Simpan bekas ini daripada jangkauan kanak-kanak dan haiwan kesayangan.

Tahap gula dalam darah yang rendah (hipoglisemia) boleh berlaku kepada semua orang yang menghidap diabetes. Gejalanya termasuk sakit kepala, kelaparan, berpeluh, kerengsaan, pening, mual,  denyutan jantung laju, dan rasa cemas atau goyah. Untuk cepat merawat kandungan gula dalam darah yang rendah, sentiasa simpan sumber gula yang bertindak cepat seperti jus buah, gula-gula, keropok, kismis, atau soda tanpa diet.

Doktor anda boleh memberikan kit suntikan kecemasan glukagon untuk digunakan sekiranya anda mempunyai hipoglisemia teruk dan tidak boleh makan atau minum. Pastikan keluarga dan sahabat anda tahu bagaimana untuk memberi anda suntikan ini sewaktu kecemasan.

Juga lihat tanda-tanda gula dalam darah yang tinggi (hyperglycemia) seperti peningkatan rasa dahaga atau kencing, penglihatan kabur, sakit kepala, dan keletihan.

Tahap gula dalam darah boleh terjejas disebabkan oleh tekanan, penyakit, pembedahan, senaman, penggunaan alkohol, atau melangkau masa makan. Tanya doktor anda sebelum menukar dos insulin atau jadual anda.

Levemir® hanya sebahagian daripada program rawatan lengkap yang mungkin termasuk diet, senaman, kawalan berat badan, ujian gula dalam darah secara berkala, dan penjagaan kesihatan khusus. Ikut arahan doktor anda dengan teliti.

Bagaimana saya menyimpan Levemir?

Simpan Levemir® dalam bekas asalnya yang dilindungi dari haba dan cahaya. Jangan masukkan insulin dari botol ke dalam jarum suntikan sehinggalah anda bersedia untuk memberikan suntikan. Jangan bekukan insulin atau simpan berdekatan dengan elemen penyejuk di dalam peti sejuk. Buang insulin yang telah dibekukan.

Menyimpan Levemir® yang tidak dibuka (tidak digunakan) :

  • Dinginkan dan gunakan sehingga tarikh tamat tempoh.
  • Simpan pada suhu bilik dan gunakan dalam masa 42 hari.

Menyimpan Levemir® yang dibuka (digunakan) :

  • Simpan botol di dalam peti sejuk atau pada suhu bilik dan gunakan dalam masa 42 hari.
  • Simpan pen suntikan pada suhu bilik (jangan simpan dalam peti sejuk) dan gunakan dalam masa 42 hari. Jangan simpan pena suntikan dalam keadaan jarumnya dilampirkan.

Langkah berjaga-jaga & amaran

Apakah yang perlu saya tahu sebelum menggunakan Levemir?

Sebelum mengambil Levemir®, sila beritahu doktor anda:

  • Yang anda mengandung atau menyusu badan. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya perlu mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang anda ambil yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan supplemen.
  • Anda mempunyai alahan dengan bahan aktif atau tidak aktif Levemir® atau ubatan lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.
  • Anda mengalami episod hipoglisemia (tahap gula dalam darah rendah).

Levemir® tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak yang berumur kurang dari 2 tahun. Levemir® tidak boleh digunakan untuk merawat kencing manis jenis 2 pada mana-mana peringkat umur kanak-kanak.

Untuk memastikan Levemir® selamat untuk anda, sila beritahu doktor anda jika anda mempunyai:

  • Penyakit hati atau buah pinggang
  • Tahap potassium rendah  dalam darah anda (hypokalemia)
  • Diabetic ketoacidosis  (hubungi doktor anda untuk rawatan)

Beritahu doktor anda jika anda juga mengambil pioglitazone atau rosiglitazone (kadang-kadang terkandung dalam kombinasi dengan glimepiride atau metformin). Mengambil ubat diabetes oral yang tertentu semasa anda menggunakan Levemir® boleh meningkatkan risiko masalah jantung yang serius.

Adakah selamat untuk mengambil Levemir semasa mengandung atau menyusukan bayi?

Tiada maklumat yang mencukupi tentang keselamatan menggunakan ubat ini semasa hamil dan menyusukan bayi. Sila sentiasa berunding dengan doktor anda untuk melihat potensi manfaat dan risiko sebelum mengambil ubat ini. Ubat ini adalah kategori B dalam risiko kehamilan, menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA).

Rujukan bagi kategori risiko kehamilan oleh FDA seperti di bawah:

  • A = Tiada risiko
  • B = Tiada risiko dalam beberapa kajian
  • C = Mungkin ada risiko
  • D = Bukti positif risiko
  • X = Tidak boleh sama sekali
  • N = Tidak diketahui

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan ubat ini?

Dapatkan bantuan kecemasan jika anda mempunyai tanda-tanda alahan kepada Levemir®: kemerahan atau bengkak di tempat suntikan diberikan, ruam dan kulit gatal ke seluruh badan, masalah bernafas, degupan jantung cepat, berasa seperti anda mungkin pitam, atau bengkak dalam lidah anda atau tekak.

Hubungi doktor anda segera jika anda mengalami:

  • Pengekalan cecair – kenaikan berat badan, bengkak di tangan atau kaki anda, berasa sesak nafas
  • Potassium yang rendah – kekejangan kaki, sembelit, degupan jantung yang tidak teratur, berdebar-debar di dada anda, peningkatan rasa dahaga atau kencing, kebas atau kesemutan, kelemahan otot atau perasaan letih.

Kesan sampingan yang biasa termasuk:

  • Gula dalam darah yang rendah
  • Gatal-gatal, ruam kulit yang ringan
  • Kulit menebal atau menipis  di tempat anda menyuntik ubat itu

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan, sila berjumpa doktor atau ahli farmasi anda.

Tindakbalas

Apakah ubat yang mempunyai tindak balas Levemir?

Levemir® mempunyai tindak balas dengan ubat lain yang anda ambil, yang boleh mempengaruhi prestasi atau meningkatkan risiko kepada kesan sampingan yang lebih serius. Untuk mengelakkan sebarang tindak balas, anda harus menyimpan senarai nama ubat yang anda guna (termasuk ubat yang mendapat preskripsi, tidak berpreskripsi dan produk-produk herba lain) dan kongsikannya bersama doktor dan ahli farmasi. Untuk keselamatan anda, jangan mula menggunakan, berhenti atau mengubah dos ubat anda tanpa sebarang kebenaran daripada doktor anda.

Adakah makanan atau alkohol bertindak balas Levemir?

Levemir® mungkin mempunyai tindak balas dengan makanan dan alkohol dengan mengubah cara ia berfungsi ataupun meningkatkan kesan sampingan yang serius. Sila bertanya kepada doktor atau ahli farmasi tentang makanan dan minuman beralkohol yang berpotensi mengakibatkan tindak balas sebelum menggunakannya.

Apakah masalah kesihatan yang mungkin bertindak balas dengan Levemir?

Levemir® akan bertindak balas dengan keadaan kesihatan anda. Tindak balas ini akan mengakibatkan keadaan anda semakin teruk atau mengubah cara ubat ini berfungsi. Adalah sangat penting untuk anda memberitahu doktor dan ahli farmasi tentang keadaan kesihatan anda.

Penggunaan / Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan ubat ini.

Apakah dos yang disyorkan untuk dewasa?

Dos Dewasa biasa untuk Diabetes Jenis 1:

Dos hendaklah dibuat secara individu berdasarkan tindak balas klinikal; insulin basal ini harus digunakan dalam rejimen dengan insulin tindakan jangka pendek.

Dos permulaan: Satu pertiga jumlah keperluan insulin harian secara subkutaneus sekali sehari atau dalam dos yang dibahagikan dua kali sehari.

Dos sekali sehari perlu diberi dengan makan malam atau pada waktu tidur; dos dua kali sehari hendaklah diberikan pagi dan petang; dos malam boleh diberikan dengan makan malam, pada waktu tidur, atau 12 jam selepas dos pagi.

Dos pengekalan: Laraskan mengikut keperluan metabolik, pengukuran glukosa dalam darah, dan matlamat glisemik.

Dos Dewasa biasa untuk Diabetes Jenis 2:

Dos individu harus disesuaikan berdasarkan tindak balas klinikal .

Insulin-naive: Dos awal: 10 unit (atau 0.1 hingga 0.2 unit / kg) subkutaneus sekali sehari atau dalam dos yang dibahagikan dua kali sehari.

Bagi pesakit yang tidak dikawal dengan sempurna oleh  reseptor agonis GLP-1: Dos permulaan: 10 unit subkutaneus sekali sehari

Dos pengekalan: Laraskan mengikut keperluan metabolik, pengukuran glukosa dalam darah, dan matlamat glisemik

Apakah dos yang disyorkan untuk kanak-kanak?

Dos Pediatrik Biasa untuk Diabetes Jenis 1:

Umur: 2 tahun atau lebih:

Dos hendaklah dibuat secara individu berdasarkan tindak balas klinikal; insulin basal ini harus digunakan dalam rejimen dengan insulin tindakan jangka pendek.
Dos permulaan: Satu pertiga jumlah keperluan insulin harian subkutaneus sekali sehari atau dalam dos yang dibahagikan dua kali sehari.

Dos sekali sehari perlu diberi dengan makan malam atau pada waktu tidur; dos dua kali sehari hendaklah diberikan pagi dan petang; dos malam boleh diberikan dengan makan malam, pada waktu tidur, atau 12 jam selepas dos pagi.

Dos pengekalan: Laraskan mengikut keperluan metabolik, pengukuran glukosa dalam darah, dan matlamat glisemik.

Apakah bentuk penyediaan ubat ini?

Levemir® boleh didapati dalam bentuk dan kekuatan dos berikut:

  • Suntikan, solusi: insulin detemir 100[iu] dalam 1mL

Apakah yang perlu saya lakukan jika berlakunya kecemasan atau terlebih dos?

Jika terdapat kecemasan atau berlaku terlebih dos, sila hubungi perkhidmatan kecemasan atau pergi terus ke unit kecemasan di hospital yang terdekat.

Apakah yang perlu saya lakukan jika terlepas dos?

Jika anda terlepas atau terlupa mengambil dos Levemir®, sila ambil ubat ini dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, jika ia sudah hampir melebihi separuh masa dos sehingga dos yang baru, anda boleh abaikan dos yang terlepas dan sila ambil dos yang ditetapkan seperti biasa. Jangan ambil dos dua kali ganda sebagai ganti.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 31, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Jun 3, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.