Homatropine drops

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Nama AM: Homatropine drops Jenama: Nama Am sahaja. Tiada jenama didapati.

Kegunaan

Apa itu ubat titik Homatropine?

Ubat titik Homatropine adalah agen antikolinergik. Ia berfungsi untuk menyekat bahan kimia asetilkolina, yang mana boleh mengendurkan otot siliari pada mata dan menyebabkan pupil (anak mata)  mengembang.

Ubat titik Homatropine biasanya digunakan untuk membesarkan (mengembang) pupil semasa pemeriksaan mata atau bagi merawat keadaan inflamasi mata.

Ia juga boleh digunakan untuk keadaan lain seperti yang dinyatakan oleh doktor anda.

Bagaimanakah kegunaan ubat ini?

Guna ubat titik Homatropine seperti yang diarahkan oleh doktor anda. Periksa label pada bungkusan ubat bagi mengetahui arahan dos yang sebenar.

Bagi menggunakan ubat titik Homatropine  pada mata, pertama, cuci tangan anda. Sengetkan kepala anda ke belakang. Guna jari telunjuk anda, tarik kelopak bawah mata jauh daripada mata bagi membentuk kantung. Titik ubat ke dalam kantung tersebut dan tutup mata anda perlahan-lahan. Cepat-cepat tekan pada bahagian dalam bucu kelopak untuk 1 hingga 2 minit menggunakan jari anda. Jangan kelip mata. Buang lebihan ubat di sekeliling mata anda dengan tisu kering dan bersih, berhati-hati agar tidak terkena mata anda. Basuh tangan anda untuk membuang sebarang ubat yang mungkin ada pada tangan anda.

Bagi mengelakkan kuman daripada mencemari ubat anda, jangan biarkan bucu botol titik menyentuh mana-mana permukaan, termasuk mata. Pastikan penutup botol ditutup rapat.

Bagaimana saya menyimpan ubat ini?

Ubat titik Homatropine paling baik disimpan pada suhu bilik, jauh dari cahaya matahari dan kelembapan. Untuk mengelakkan kerosakan ubat, anda tidak boleh menyimpan ubat titik Homatropine di bilik mandi atau peti sejuk. Mungkin terdapat jenama ubat titik Homatropine yang berbeza dan memerlukan kaedah penyimpanan yang berlainan. Penting untuk sentiasa menyemak bungkusan produk bagi mengetahui arahan tentang kaedah penyimpanan, atau tanya ahli farmasi anda. Untuk keselamatan, anda harus menyimpan semua ubat jauh daripada kanak-kanak dan binatang peliharaan.

Anda tidak boleh membuang ubat titik Homatropine ke dalam tandas atau tuang ubat ini ke dalam longkang kecuali diarahkan untuk berbuat demikian. Penting untuk melupuskan produk ini dengan cara yang betul apabila telah tamat tempoh atau tidak lagi diperlukan. Rujuk ahli farmasi untuk maklumat lanjut tentang cara pelupusan produk dengan selamat.

Langkah berjaga-jaga dan amaran

Apakah yang perlu saya tahu sebelum menggunakan ubat ini?

Sebelum mengambil ubat titik Homatropine, beritahu doktor anda jika:

  • Anda mempunyai alahan terhadap mana-mana kandungan di dalam ubat titik Homatropine.
  • Anda menghidapi glaukoma atau berisiko untuk mendapat glaukoma.
  • Anda sedang hamil, merancang untuk hamil, atau sedang menyusu badan.
  • Anda mengambil sebarang ubat yang dipreskripsi atau tanpa dipreskripsi, penyediaan herba, atau makanan tambahan diet.
  • Anda mempunyai alahan terhadap ubat-ubatan, makanan, atau bahan-bahan yang lain.

Ubat titik Homatropine boleh menjadi berbahaya sekiranya ditelan. Jika anda telah mengambil ubat ini melalui mulut. Segera hubungi pusat kawalan racun atau pusat kecemasan.

Ubat titik Homatropine boleh menyebabkan penglihatan kabur. Guna ubat titik Homatropine dengan berhati-hati. Jangan memandu atau melakukan sebarang tugasan yang tidak selamat sehingga anda boleh melihat dengan jelas semula.

Ubat titik Homatropine boleh membuatkan mata anda lebih sensitif terhadap matahari. Pakai cermin mata hitam mungkin boleh membantu.

Ujian makmal, termasuk pemeriksaan mata, boleh dilakukan semasa anda sedang menggunakan ubat titik Homatropine. Ujian-ujian ini boleh digunakan untuk memantau keadaan anda atau memeriksa kesan sampingan. Pastikan anda menghadiri semua temu janji doktor dan makmal.

Ubat titik Homatropine harus digunakan dengan berhati-hati pada golongan tua: mereka lebih sensitif terhadap kesan-kesan Homatropine.

Ubat titik Homatropine juga harus digunakan dengan lebih berhati-hati pada kanak-kanak: keselamatan dan keberkesanan ubat ini terhadap kanak-kanak masih belum dipastikan lagi.

Adakah selamat untuk mengambil ubat ini semasa mengandung atau menyusukan bayi?

Tiada kajian yang lengkap mengenai risiko apabila menggunakan ubat titik Homatropine semasa mengandung dan menyusukan bayi. Sila berunding dengan doktor untuk memahami manfaat dan risiko sebelum mengambil ubat titik Homatropine. Ubat titik Homatropine termasuk dalam risiko hamil kategori C, menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) US.

Rujukan kategori risiko hamil FDA ialah:

  • A=Tiada risiko.
  • B=Tiada risiko berdasarkan beberapa kajian.
  • C=Mungkin terdapat sedikit risiko.
  • D=Terdapat bukti positif terhadap risiko.
  • X=Kontraindikasi.
  • N=Tidak diketahui.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan ubat ini?

Semua ubat akan menyebabkan kesan sampingan, tetapi kebanyakan orang tidak mengalami, atau hanya mengalami kesan sampingan kecil sahaja. Periksa dengan doktor anda jika mana-mana kesan sampingan yang biasa berlaku ini berterusan atau menganggu anda:

  • Penglihatan kabur.
  • Mata gatal-gatal, rasa seperti terbakar atau disengat.
  • Iritasi pada kawasan yang dimasukkan ubat.

Dapatkan perhatian perubatan segera jika sebarang kesan sampingan yang teruk ini berlaku:

  • Ruam.
  • Geligata.
  • Gatal-gatal.
  • Sukar bernafas.
  • Rasa dada ketat.
  • Bengkak pada mulut, muka, bibir, atau lidah.
  • Sukar untuk kencing.
  • Mulut kering.
  • Mata sakit.
  • Demam.
  • Kulit panas kemerahan atau kering.
  • Degupan jantung tidak sekata atau laju.
  • Rasa kaki anda tidak stabil.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa doktor atau ahli farmasi anda.

Tindak Balas

Apakah ubat yang mempunyai tindak balas ubat ini?

Ubat titik Homatropine boleh bertindak balas dengan ubat lain yang sedang anda ambil, di mana ia boleh mengubah fungsi atau meningkatkan risiko kepada kesan sampingan yang lebih serius. Bagi mengelakkan sebarang tindak balas, anda harus menyimpan senarai nama ubat yang anda guna (termasuk ubat yang mendapat preskripsi, tidak berpreskripsi dan produk-produk herba) dan kongsikannya bersama doktor dan ahli farmasi. Untuk keselamatan anda, jangan mula menggunakan, berhenti atau mengubah dos ubat tanpa sebarang kebenaran daripada doktor.

Terutamanya jika anda sedang mengambil antihistamin (contoh, diphenhydramine), ubat untuk penyakit Parkinson (contoh, benztropine), atau antidepresan trisislik (contoh, amitriptyline), kerana ubat-ubat ini boleh meningkatkan risiko kesan sampingan ubat titik Homatropine.

Adakah makanan atau alkohol bertindak balas dengan ubat ini?

Ubat titik Homatropine mungkin mempunyai tindak balas dengan makanan atau alkohol dengan mengubah cara ia berfungsi ataupun meningkatkan risiko bagi kesan sampingan yang serius. Sila berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang makanan dan minuman beralkohol yang berpotensi mengakibatkan tindak balas, sebelum menggunakannya.

Apakah masalah kesihatan yang mungkin bertindak balas dengan ubat ini?

Ubat titik Homatropine akan bertindak balas dengan keadaan kesihatan anda. Tindak balas ini akan mengakibatkan keadaan anda semakin teruk atau mengubah cara ubat ini berfungsi. Oleh itu, sangat penting untuk anda memberitahu doktor dan ahli farmasi mengenai keadaan kesihatan anda sekarang.

Keadaan kesihatan ini termasuk:

  • Rasa kebas akibat saraf rosak.
  • Sekatan pada pundi kencing.
  • Masalah kelenjar prostat..
  • Sukar kencing.
  • Masalah kornea.
  • Sindrom down

Penggunaan / Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan ubat ini.

Apakah dos yang disyorkan untuk dewasa?

Midriasis dan sikloplegia untuk refraksi

Guna 1 atau 2 titik larutan 2% atau 5% pada mata yang terlibat. Boleh diulang semula selepas 5 atau 10 minit sekiranya perlu.

Uveitis

Guna 1 atau 2 titik larutan 2% atau 5% pada mata yang terlibat sehingga setiap 3 atau 4 jam.

Apakah dos yang disyorkan untuk kanak-kanak?

Midriasis dan sikloplegia untuk refraksi

Guna 1 atau 2 titik larutan 2% sahaja pada mata yang terlibat. Boleh diulang semula selepas 5 atau 10 minit sekiranya perlu.

Uveitis

Guna 1 atau 2 titik larutan 2% sahaja pada mata yang terlibat sehingga setiap 3 atau 4 jam.

Guna ubat ini dengan berhati-hati kepada bayi dan kanak-kanak kecil. Keberkesanan dan keselamatan larutan 5% belum lagi diketahui.

Apakah bentuk penyediaan ubat ini?

Ubat titik Homatropine boleh didapati dalam bentuk dan kekuatan berikut:

  • Larutan, optalmik 2%.
  • Larutan, optalmik 5%.

Apakah yang perlu saya lakukan jika berlakunya kecemasan atau terlebih dos?

Jika terdapat kecemasan atau berlaku terlebih dos, sila hubungi doktor atau pergi ke unit kecemasan di hospital yang berdekatan.

Apakah yang perlu saya lakukan jika terlepas dos?

Jika anda terlepas atau terlupa mengambil dos ubat titik Homatropine, sila ambil ubat ini dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, jika sudah menghampiri masa untuk dos seterusnya, abaikan dos yang terlepas itu dan ambil dos yang ditetapkan seperti biasa. Jangan ambil dos dua kali ganda sebagai ganti.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 23, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 25, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.