Cyclobenzaprine

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Nama AM: Cyclobenzaprine Jenama: Nama Am sahaja. Tiada jenama didapati.

Kegunaan

Apa itu Cyclobenzaprine?

Cyclobenzaprine biasanya digunakan untuk jangka masa pendek bagi merawat kekejangan otot. Ia biasa digunakan bersama rehat dan terapi fizikal. Ia berfungsi dengan membantu otot untuk relaks.

Bagaimanakah kegunaan Cyclobenzaprine?

Ambil ubat ini melalui mulut dengan atau tanpa makanan seperti yang diarahkan oleh doktor anda, biasanya tiga (3) kali sehari.

Dos ini berdasarkan keadaan perubatan dan kesan terhadap rawatan. Ubat ini hanya boleh digunakan untuk jangka masa pendek (untuk tiga minggu atau kurang) melainkan dengan arahan doktor. Jangan tambah dos anda atau menggunakan ubat ini lebih kerap atau lebih lama daripada yang dipreskripsi. Keadaan anda tidak akan bertambah baik dengan cepat, dan risiko kesan sampingan akan meningkat.

Beritahu doktor anda jika keadaan anda tidak bertambah baik selepas dua hingga tiga minggu atau jika ia bertambah buruk.

Bagaimana saya menyimpan Cyclobenzaprine?

Cyclobenzaprine paling baik disimpan pada suhu bilik, jauh dari cahaya matahari dan kelembapan. Untuk mengelakkan kerosakan ubat, anda tidak boleh menyimpan Cyclobenzaprine di bilik mandi atau peti sejuk. Mungkin terdapat jenama Cyclobenzaprine yang berbeza dan memerlukan kaedah penyimpanan yang berlainan. Penting untuk sentiasa menyemak bungkusan produk bagi mengetahui arahan tentang kaedah penyimpanan, atau tanya ahli farmasi anda. Untuk keselamatan, anda harus menyimpan semua ubat jauh daripada kanak-kanak dan binatang peliharaan.

Anda tidak boleh membuang Cyclobenzaprine ke dalam tandas atau tuang ubat ini ke dalam longkang kecuali diarahkan untuk berbuat demikian. Penting untuk melupuskan produk ini dengan cara yang betul apabila telah tamat tempoh atau tidak lagi diperlukan. Rujuk ahli farmasi untuk maklumat lanjut tentang cara pelupusan produk dengan selamat.

Langkah berjaga-jaga & amaran

Apakah yang perlu saya tahu sebelum menggunakan Cyclobenzaprine?

Sebelum mengambil ubat ini, beritahu doktor anda jika:

  • Anda mengandung atau menyusu badan. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya boleh mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor.
  • Anda mengambil sebarang ubat lain termasuk yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan makanan tambahan.
  • Anda mempunyai alahan dengan bahan aktif atau tidak aktif Cyclobenzaprine atau ubat-ubatan lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.

Jangan guna Cyclobenzaprine jika anda telah mengambil perencat MAO dalam masa 14 hari yang lalu. Tindak balas ubat yang berbahaya boleh berlaku. Perencat MAO termasuk isocarboxazid, linezolid, phenelzine, rasagiline, selegiline, and tranylcypromine.

Anda tidak seharusnya menggunakan Cyclobenzaprine jika anda alah terhadapnya, atau jika anda mempunyai:

  • Gangguan ritma jantung atau anda mengalami serangan jantung baru-baru ini.
  • Kegagalan jantung kongestif.
  • Sekatan jantung.
  • Gangguan tiroid.

Adakah selamat untuk mengambil Cyclobenzaprine semasa mengandung atau menyusukan bayi?

Tiada kajian yang lengkap mengenai risiko apabila menggunakan Cyclobenzaprine semasa mengandung dan menyusukan bayi. Sila berunding dengan doktor untuk memahami manfaat dan risiko sebelum mengambil Cyclobenzaprine. Cyclobenzaprine termasuk dalam risiko hamil kategori B, menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) US.

Rujukan kategori risiko hamil FDA ialah:

  • A=Tiada risiko.
  • B=Tiada risiko berdasarkan beberapa kajian.
  • C=Mungkin terdapat sedikit risiko.
  • D=Terdapat bukti positif terhadap risiko.
  • X=Kontraindikasi.
  • N=Tidak diketahui.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan ubat ini?

Kesan sampingan yang kurang serius termasuk:

  • Mulut atau kerongkong kering.
  • Penglihatan kabur.
  • Mengantuk, pening, berasa letih.
  • Hilang selera makan, sakit perut, mual.
  • Cirit birit, sembelit, angin.
  • Kelemahan otot.

Berhenti menggunakan Cyclobenzaprine dan terus hubungi doktor anda sekiranya anda mengalami mana-mana kesan sampingan yang serius ini:

  • Degupan jantung laju, berdebar, atau tidak sekata
  • Sakit dada atau rasa berat, kesakitan merebak ke lengan atau bahu, mual, berpeluh, rasa sakit seluruh badan.
  • Rasa kebas atau lemah secara tiba-tiba, terutamanya pada sebelah bahagian badan.
  • Sakit kepala, keliru, masalah penglihatan, percakapan, atau keseimbangan secara tiba-tiba.
  • Rasa kepala ringan, pengsan.
  • Keliru, lemah, kurang koordinasi.
  • Mual, sakit perut, demam yang bersuhu rendah, hilang selera makan, urin berwarna gelap, najis berwarna pucat, jaundis (kulit atau mata kekuningan).
  • Sawan (konvulsi).
  • Pemikiran atau kelakuan yang luar biasa, halusinasi (melihat benda).
  • Mudah lebam atau berdarah, rasa lemah luar biasa.

Dapatkan bantuan kecemasan perubatan jika anda mengalami sebarang tanda reaksi alahan ini: geligata; sukar bernafas; bengkak pada muka, bibir, lidah, atau kerongkong.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa doktor atau ahli farmasi anda.

Tindakbalas

Apakah ubat yang mempunyai tindak balas Cyclobenzaprine?

Cyclobenzaprine boleh bertindak balas dengan ubat lain yang sedang anda ambil, di mana ia boleh mengubah fungsi atau meningkatkan risiko kepada kesan sampingan yang lebih serius. Bagi mengelakkan sebarang tindak balas, anda harus menyimpan senarai nama ubat yang anda guna (termasuk ubat yang mendapat preskripsi, tidak berpreskripsi dan produk-produk herba) dan kongsikannya bersama doktor dan ahli farmasi. Untuk keselamatan anda, jangan mula menggunakan, berhenti atau mengubah dos ubat tanpa sebarang kebenaran daripada doktor.

Adakah makanan atau alkohol bertindak balas Cyclobenzaprine?

Cyclobenzaprine mungkin mempunyai tindak balas dengan makanan atau alkohol dengan mengubah cara ia berfungsi ataupun meningkatkan risiko bagi kesan sampingan yang serius. Sila berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang makanan dan minuman beralkohol yang berpotensi mengakibatkan tindak balas, sebelum menggunakannya.

Apakah masalah kesihatan yang mungkin bertindak balas dengan Cyclobenzaprine?

Cyclobenzaprine akan bertindak balas dengan keadaan kesihatan anda. Tindak balas ini akan mengakibatkan keadaan anda semakin teruk atau mengubah cara ubat ini berfungsi. Oleh itu, sangat penting untuk anda memberitahu doktor dan ahli farmasi mengenai keadaan kesihatan anda sekarang.

Keadaan kesihatan ini termasuk:

  • Glaukoma.
  • Masalah dengan kencing.
  • Tiroid terlebih aktiviti.
  • Penyakit hati.

Penggunaan / Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan ubat ini.

Apakah dos yang disyorkan untuk dewasa?

Dos biasa bagi orang dewasa untuk kekejangan otot:

Dos awal: 5 mg secara oral 3 kali sehari.

Bergantung kepada kesan terhadap pesakit secara individu, dos boleh ditambah kepada sama ada 7.5 mg atau 10 mg 3 kali sehari.

Dos berselang termasuk 15 mg kapsul lepasan lanjut atau 30 mg kapsul lepasan lanjut secara oral sekali sehari.

Dos biasa bagi orang tua untuk kekejangan otot:

Oleh sebab kebanyakan relaksan otot dan ubat antispasmodik boleh menyebabkan keadaan buruk antikolinergik, sedasi, dan lemah, serta keberkesanan ubat ini pada dos yang boleh ditoleransi oleh golongan tua masih menjadi tanda tanya, Cyclobenzaprine telah memenuhi kriteria Beer sebagai ubat yang mungkin tidak boleh digunakan oleh golongan tua.

Pengeluar mencadangkan dos awal bagi golongan tua adalah 5 mg, ditambah secara perlahan-lahan berdasarkan kesan terhadap pesakit secara individu.

Formulasi lepasan lanjut tidak disarankan kepada pesakit yang tua.

Apakah dos yang disyorkan untuk kanak-kanak?

Pesakit pediatrik berumur 15 tahun atau lebih:

Dos awal: 5 mg secara oral 3 kali sehari.

Berdasarkan kesan terhadap pesakit secara individu, dos boleh ditambah sehingga sama ada 7.5 mg atau 10 mg 3 kali sehari.

Apakah bentuk penyediaan ubat ini?

Cyclobenzaprine boleh didapati dalam bentuk dan kekuatan berikut:

  • Tablet 10 mg.

Apakah yang perlu saya lakukan jika berlakunya kecemasan atau terlebih dos?

Jika terdapat kecemasan atau berlaku terlebih dos, sila hubungi perkhidmatan kecemasan atau pergi ke unit kecemasan di hospital yang berdekatan.

Apakah yang perlu saya lakukan jika terlepas dos?

Jika anda terlepas atau terlupa mengambil dos Cyclobenzaprine, sila ambil ubat ini dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, jika sudah menghampiri masa untuk dos seterusnya, abaikan dos yang terlepas itu dan ambil dos yang ditetapkan seperti biasa. Jangan ambil dos dua kali ganda sebagai ganti.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 31, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 31, 2018

Rujukan