Mirtazapine

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Nama AM: Mirtazapine Jenama: Nama Am sahaja. Tiada jenama didapati.

Kegunaan

Apa itu Mirtazapine?

Mirtazapine digunakan untuk merawat depresi. Ubat ini meningkatkan mood dan rasa sihat. Mirtazapine adalah antidepressan yang berfungsi dengan mengembalikan semula keseimbangan bahan kimia semula jadi (neurotransmiter) di dalam otak.

Bagaimanakah kegunaan Mirtazapine?

Ambil ubat ini melalui mulut, dengan atau tanpa makanan, biasanya sekali sehari sebelum tidur atau seperti yang diarahkan oleh doktor anda. Dos berdasarkan keadaan kesihatan anda dan kesan terhadap terapi, tetapi tidak boleh melebihi 45 miligram setiap hari.

Guna ubat ini selalu agar anda dapat semua manfaat daripadanya. Sentiasa ingat untuk menggunakan ubat ini pada masa yang sama setiap hari. Ubat ini mengambil masa antara 1-4 minggu untuk melihat simptom anda bertambah baik. Oleh itu, jangan tambah dos anda atau ambil ubat ini lebih kerap daripada yang diarahkan.

Penting untuk anda terus mengambil ubat ini walaupun anda sudah berasa sihat. Jangan berhenti mengambil ubat ini tanpa merujuk doktor anda. Sesetengah keadaan mungkin menjadi bertambah buruk apabila ubat ini dihentikan secara tiba-tiba. Dos anda perlu dikurangkan secara beransur-ansur.

Maklumkan kepada doktor anda jika keadaan anda berlarutan atau bertambah teruk.

Bagaimana saya menyimpan Mirtazapine?

Mirtazapine paling baik disimpan pada suhu bilik, jauh dari cahaya matahari dan kelembapan. Untuk mengelakkan kerosakan ubat, anda tidak boleh menyimpan mirtazapine di bilik mandi atau peti sejuk. Mungkin terdapat jenama mirtazapine yang berbeza dan memerlukan kaedah penyimpanan yang berlainan. Penting untuk sentiasa menyemak bungkusan produk bagi mengetahui arahan tentang kaedah penyimpanan, atau tanya ahli farmasi anda. Untuk keselamatan, anda harus menyimpan semua ubat jauh daripada kanak-kanak dan binatang peliharaan.

Anda tidak boleh membuang mirtazapine ke dalam tandas atau tuang ubat ini ke dalam longkang kecuali diarahkan untuk berbuat demikian. Penting untuk melupuskan produk ini dengan cara yang betul apabila telah tamat tempoh atau tidak lagi diperlukan. Rujuk ahli farmasi untuk maklumat lanjut tentang cara pelupusan produk dengan selamat.

Langkah berjaga-jaga & amaran

Apakah yang perlu saya tahu sebelum menggunakan Mirtazapine?

Sebelum mengambil ubat ini, beritahu doktor anda jika:

  • Anda mengandung atau menyusu badan. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya boleh mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor.
  • Anda mengambil sebarang ubat lain termasuk yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan makanan tambahan.
  • Anda mempunyai alahan dengan bahan aktif atau tidak aktif mirtazapine atau ubat-ubatan lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.

Beritahu doktor anda jika anda mengambil perencat monoamine oxidase (MAO) seperti isocarboxazid (Marplan), linezolid (Zyvox), methylene biru, phenelzine (Nardil), selegiline (Eldepryl, Emsam, Zelapar), dan tranylcypromine (Parnate) atau jika anda telah berhenti mengambil perencat MAO dalam masa 14 hari yang lalu. Doktor anda mungkin akan meminta supaya anda tidak mengambil mirtazapine. Jika anda berhenti mengambil mirtazapine, anda harus tunggu sekurang-kurangnya 14 hari sebelum anda mula mengambil perencat MAO.

Beritahu doktor anda produk herba yang sedang anda ambil, terutamanya wort St. John dan tryptophan.

Beritahu doktor anda jika anda mempunyai atau pernah mengalami serangan jantung, tekanan darah rendah, penyakit jantung, buah pinggang, atau hati atau kolesterol tinggi.

Anda harus tahu bahawa ubat ini akan membuatkan anda mengantuk. Jangan memandu atau menguruskan mesin sehingga anda tahu bagaimana ubat ini boleh mengganggu anda.

Ingat bahawa alkohol boleh menambahkan lagi rasa mengantuk anda disebabkan oleh ubat ini.

Jika anda mempunyai fenilketonuria (PKU, keadaan yang diwarisi di mana diet khusus perlu diikuti bagi mengelakkan daripada terencat akal), anda harus tahu bahawa tablet oral hancur mengandungi aspartame yang menghasilkan fenilalanin.

Anda harus tahu bahawa mirtazapine boleh menyebabkan glaukoma sudut-tertutup (keadaan di mana cecair secara tiba-tiba tersekat dan tidak dapat mengalir keluar daripada mata menyebabkan tekanan mata meningkat dengan cepat dan teruk yang mana boleh mengakibatkan hilang penglihatan). Beritahu doktor anda mengenai pemeriksaan mata sebelum anda mula mengambil ubat ini. Jika anda mengalami mual, sakit mata, perubahan pada penglihatan, seperti melihat lingkaran berwarna di sekeliling cahaya, dan bengkak atau kemerahan dalam atau di sekeliling mata, hubungi doktor anda atau segera dapatkan rawatan kecemasan perubatan.

Adakah selamat untuk mengambil Mirtazapine semasa mengandung atau menyusukan bayi?

Tiada kajian yang lengkap mengenai risiko apabila menggunakan mirtazapine semasa mengandung dan menyusukan bayi. Sila berunding dengan doktor untuk memahami manfaat dan risiko sebelum mengambil mirtazapine. Mirtazapine termasuk dalam risiko hamil kategori C, menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) US.

Rujukan kategori risiko hamil FDA ialah:

  • A=Tiada risiko.
  • B=Tiada risiko berdasarkan beberapa kajian.
  • C=Mungkin terdapat sedikit risiko.
  • D=Terdapat bukti positif terhadap risiko.
  • X=Kontraindikasi.
  • N=Tidak diketahui.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan ubat ini?

Segera dapatkan perhatian perubatan jika anda mengalami sebarang tanda reaksi alahan ini: ruam kulit atau geligata; sukar bernafas; bengkak pada muka, bibir, lidah, atau kerongkong.

Laporkan sebarang simptom terbaru atau semakin teruk kepada doktor anda, seperti: perubahan mood atau tingkah laku, kebimbangan, serangan panik, sukar tidur, atau jika anda berasa impulsif, mudah marah, garang, agresif,, gelisah, hiperaktif (secara mental atau fizikal), bertambah murung, atau mempunyai pemikiran mengenai bunuh diri atau mencederakan diri sendiri.

Segera hubungi doktor anda jika anda mengalami kesan sampingan serius seperti:

  • Agitasi, halusinasi, demam, kadar degupan jantung laju, refleks terlalu aktif, mual, muntah, cirit birit, hilang koordinasi
  • Otot sangat kaku (keras), demam panas, berpeluh, keliru, degupan jantung laju atau tidak sama, tremor
  • Rasa seperti anda mahu pitam
  • Demam, seram sejuk, sakit badan, simptom flu
  • Tompokan atau kudis putih di dalam mulut anda atau pada bibir anda
  • Sakit kepala, sukar untuk memberi tumpuan, masalah ingatan, lemah, atau rasa terhuyung hayang

Kesan sampingan yang kurang serius termasuk:

  • Mengantuk, pening
  • Selera makan meningkatkan
  • Berat badan bertambah

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa doktor atau ahli farmasi anda.

Tindakbalas

Apakah ubat yang mempunyai tindak balas Mirtazapine?

Mirtazapine boleh bertindak balas dengan ubat lain yang sedang anda ambil, di mana ia boleh mengubah fungsi atau meningkatkan risiko kepada kesan sampingan yang lebih serius. Bagi mengelakkan sebarang tindak balas, anda harus menyimpan senarai nama ubat yang anda guna (termasuk ubat yang mendapat preskripsi, tidak berpreskripsi dan produk-produk herba) dan kongsikannya bersama doktor dan ahli farmasi. Untuk keselamatan anda, jangan mula menggunakan, berhenti atau mengubah dos ubat tanpa sebarang kebenaran daripada doktor.

Antara produk yang boleh bertindak balas dengan ubat ini adalah:

  • Cimetidine (Tagamet)
  • Diazepam (Valium)
  • Ketoconazole
  • Wort John
  • Tramadol
  • Tryptophan (kadang-kadang dipanggil sebagai L-tryptophan)
  • Ubat untuk merawat gangguan mood, gangguan pemikiran, atau penyakit mental – seperti litium, antidepressan atau antipsikotik yang lain
  • Ubat sakit kepala migrain – sumatriptan, zolmitriptan, dan lain-lain
  • Ubat sawan – carbamazepine, phenytoin

Adakah makanan atau alkohol bertindak balas Mirtazapine?

Mirtazapine mungkin mempunyai tindak balas dengan makanan atau alkohol dengan mengubah cara ia berfungsi ataupun meningkatkan risiko bagi kesan sampingan yang serius. Sila berbincang dengan doktor atau ahli farmasi tentang makanan dan minuman beralkohol yang berpotensi mengakibatkan tindak balas, sebelum menggunakannya.

Apakah masalah kesihatan yang mungkin bertindak balas dengan Mirtazapine?

Mirtazapine akan bertindak balas dengan keadaan kesihatan anda. Tindak balas ini akan mengakibatkan keadaan anda semakin teruk atau mengubah cara ubat ini berfungsi. Oleh itu, sangat penting untuk anda memberitahu doktor dan ahli farmasi mengenai keadaan kesihatan anda sekarang.

Keadaan kesihatan yang boleh bertindak balas dengan ubat ini termasuk:

  • Angina (sakit dada yang teruk)
  • Penyakit saluran darah atau masalah peredaran darah
  • Dehidrasi
  • Serangan jantung
  • Penyakit jantung
  • Hipotensi (tekanan darah rendah)
  • Hipovolemia (jumlah darah rendah)
  • Strok
  • Gangguan bipolar (gangguan mood dengan mania dan depresi)
  • Glaukoma (jenis sudut-tertutup)
  • Hiperkolesterolemia (kolesterol tinggi dalam darah)
  • Hiponatremia (sodium rendah dalam darah)
  • Mania atau hipomania
  • Sawan
  • Penyakit buah pinggang
  • Penyakit hati
  • Fenilketonuria (gangguan metabolik)

Penggunaan / Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan ubat ini.

Apakah dos yang disyorkan untuk dewasa?

Dos biasa bagi orang dewasa untuk Depresi

Dos awal: 15 mg secara oral sekali sehari sebelum tidur.

Dos pengekal: 15 hingga 45 mg setiap hari.

Apakah dos yang disyorkan untuk kanak-kanak?

Tiada dos dibuat untuk pesakit pediatrik kerana ini mungkin tidak selamat untuk anak anda. Ubat ini mungkin tidak selamat untuk anak anda. Penting untuk memahami keselamatan ubat sebelum menggunakannya. Sila rujuk doktor atau ahli farmasi untuk maklumat lanjut.

Apakah bentuk penyediaan ubat ini?

Mirtazapine boleh didapati dalam bentuk dan kekuatan berikut:

  • Tablet, Oral: 7.5 mg, 15 mg, 30 mg, 45 mg.
  • Tablet, Oral hancur: 15 mg, 30 mg, 45 mg.

Apakah yang perlu saya lakukan jika berlakunya kecemasan atau terlebih dos?

Jika terdapat kecemasan atau berlaku terlebih dos, sila hubungi perkhidmatan kecemasan setempat anda atau pergi ke unit kecemasan di hospital yang berdekatan.

Apakah yang perlu saya lakukan jika terlepas dos?

Jika anda terlepas atau terlupa mengambil dos mirtazapine, sila ambil ubat ini dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, jika sudah menghampiri masa untuk dos seterusnya, abaikan dos yang terlepas itu dan ambil dos yang ditetapkan seperti biasa. Jangan ambil dos dua kali ganda sebagai ganti.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.