Ambien

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Nama AM: Ambien Jenama: Nama Am sahaja. Tiada jenama didapati.

Kegunaan

Apakah kegunaan Ambien® (zolpidem)?

Ambien® adalah sejenis ubat penenang (sedatif), juga dikenali sebagai ubat hipnotik. Zolpidem berupaya memberi kesan kepada bahan kimia dalam otak, yang kadarnya mungkin tidak seimbang pada orang yang menghadapi masalah tidur.

Ambien® digunakan untuk merawat insomnia. Tablet pelepasan segera digunakan untuk membantu anda tidur apabila anda hendak tidur. Bentuk dos pelepasan terlanjut, Ambien CR, mempunyai lapisan pertama yang larut dengan cepat untuk membantu anda mula tidur, dan lapisan kedua yang larut perlahan-lahan untuk mengekalkan jangka waktu tidur anda.

Doktor anda akan menentukan bentuk dos Ambien® yang mana yang paling sesuai buat anda.

Bagaimana saya harus ambil Ambien® (zolpidem)?

Ambil Ambien® betul-betul sebagaimana yang ditetapkan oleh doktor anda. PAtuhi semua arahan pada label preskripsi anda. Jangan ambil ubat ini dalam jumlah yang lebih besar, atau tempoh yang lebih lama daripada yang ditetapkan.

Ambien® berpotensi membentuk tabiat. Jangan sekali-kali berkongsi ubat ini dengan orang lain, terutamanya seseorang yang mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah atau ketagihan. Simpan ubat di tempat yang tidak dapat dicapai oleh orang lain. Tindakan menjual atau membuang ubat ini adalah bertentangan dengan undang-undang.

Dos Ambien® yang disyorkan tidak sama antara lelaki dan wanita, dan ubat ini tidak diluluskan untuk digunakan pada kanak-kanak. Penyalahgunaan ubat ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang berbahaya.

Jangan sekali-kali ambil ubat ini jika anda tidak mempunyai tempoh 7 hingga 8 jam penuh untuk tidur sebelum menjadi aktif semula.

Ambien® adalah untuk kegunaan jangka pendek sahaja. Sila beritahu doktor anda jika simptom insomnia tidak membaik, atau jika ia menjadi lebih teruk selepas menggunakan ubat ini selama 7 hingga 10 malam berturut-turut. Jangan ambil ubat ini selama 4 atau 5 minggu tanpa nasihat doktor anda.

Jangan berhenti menggunakan Ambien® secara tiba-tiba selepas penggunaan dalam jangka masa panjang, atau anda mungkin akan mengalami simptom penarikan yang tidak menyenangkan. Sila rujuk doktor anda tentang bagaimana untuk mengelakkan simptom tarikan apabila anda berhenti menggunakan ubat tersebut.

Simptom insomnia juga boleh kembali selepas anda berhenti menggunakan Ambien®. Ia mungkin lebih buruk daripada sebelum anda mula mengambil ubat. Hubungi doktor anda jika insomnia anda semakin teruk selepas beberapa malam anda berhenti mengambil zolpidem.

Jangan hancurkan, kunyah, atau pecahkan tablet CR Ambien. Telan pil tersebut secara keseluruhan.

Bagaimana kaedah penyimpanan Ambien® (zolpidem)?

Ambien® paling baik disimpan pada suhu bilik dan terlindung dari cahaya matahari dan kelembapan. Bagi mengelakkan kerosakan ubat, anda tidak boleh menyimpan Ambien® di bilik mandi atau peti sejuk. Mungkin ada jenama Ambien® yang berbeza yang mungkin mempunyai keperluan penyimpanan yang berlainan. Adalah penting untuk sentiasa menyemak pakej produk untuk arahan mengenai penyimpanan, atau boleh bertanya kepada ahli farmasi anda. Untuk keselamatan, anda perlu menyimpan semua ubat jauh dari capaian kanak-kanak dan binatang peliharaan.

Anda tidak boleh membuang Ambien® ke tandas atau tuangkannya ke dalam longkang kecuali diarahkan untuk berbuat demikian. Adalah penting untuk membuang produk ini dengan betul apabila ia tamat tempoh atau tidak lagi diperlukan. Rujuk ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut tentang cara membuang produk anda dengan selamat..

Langkah berjaga-jaga & amaran

Apa yang saya perlu tahu sebelum mengambil Ambien® (zolpidem)?

Sebelum mengambil ubat ini, sila beritahu doktor anda sekiranya:

  • Anda mengandung atau menyusu badan. Ini kerana, semasa anda mengandung atau menyusukan bayi, anda hanya perlu mengambil ubat-ubatan atas cadangan doktor.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang anda ambil yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan suplemen.
  • Anda mempunyai alahan dengan bahan aktif atau tidak aktif Ambien® atau ubatan lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.

Sesetengah orang yang menggunakan Ambien® pernah terlibat dalam kegiatan seperti memandu, makan, berjalan, membuat panggilan telefon, atau melakukan hubungan seks dan kemudiannya tidak mengingati aktiviti tersebut. Sekiranya ini berlaku kepada anda, hentikan mengambil Ambien® dan sila berbincang dengan doktor anda mengenai rawatan lain untuk gangguan tidur anda.

Ambien® boleh menjejaskan pemikiran atau tindak balas anda. Anda masih boleh mengantuk pada waktu pagi selepas mengambil ubat ini, terutamanya jika anda mengambil tablet pelepasan terlanjut, ataupun jika anda seorang wanita. Tunggu sekurang-kurangnya 4 jam atau sehingga anda terjaga sepenuhnya sebelum anda berbuat apa-apa yang memerlukan anda fokus dan berjaga-jaga.

Adakah ubat ini selamat digunakan ketika mengandung atau menyusukan bayi?

Tiada maklumat yang mencukupi tentang keselamatan menggunakan ubat ini semasa hamil dan menyusukan bayi. Sila sentiasa berunding dengan doktor anda untuk melihat potensi manfaat dan risiko sebelum mengambil ubat ini. Ambien® adalah pada kategori risiko kehamilan tahap C, menurut badan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA).

Rujukan kategori risiko kehamilan FDA adalah seperti berikut:

  • A=Tiada risiko
  • B=Tiada risiko menurut beberapa kajian
  • C=Mungkin terdapat risiko
  • D=Bukti positif berkenaan risiko
  • X=Kontraindikasi
  • N=Tidak diketahui

Kesan-kesan sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Ambien® (zolpidem)?

Kesan sampingan yang biasa termasuklah:

  • Mengantuk di siang hari
  • Pening
  • Kelemahan
  • Berasa “khayal” atau berpusing-pusing
  • Rasa penat
  • Hilang kesedaran koordinasi
  • Hidung tersumbat
  • Mulut kering
  • Kerengsaan hidung atau kerongkong
  • Loya
  • Sembelit
  • Cirit-birit
  • Sakit perut
  • Sakit kepala
  • Kesakitan otot

Berhenti menggunakan Ambien® dan hubungi doktor anda dengan segera jika anda mengalami:

  • Sakit dada
  • Degupan jantung yang cepat atau tidak teratur
  • Sesak nafas
  • Masalah bernafas atau menelan
  • Rasa seperti anda mungkin pengsan
  • Kemurungan
  • Kebimbangan berlebihan
  • Menjadi agresif
  • Perasaan bergolak
  • Kekeliruan
  • Pemikiran luar biasa
  • Halusinasi
  • Masalah ingatan
  • Perubahan keperibadian
  • Tingkah laku suka mengambil risiko
  • Penurunan kesekatlakuan
  • Tidak takut bahaya
  • Pemikiran ingin bunuh diri atau mencederakan diri sendiri

Ambien® boleh menyebabkan reaksi alergi yang teruk. Berhenti mengambil Ambien® dan dapatkan bantuan perubatan kecemasan jika anda mempunyai tanda-tanda reaksi alergi terhadap zolpidem: bintat urtikaria; kesukaran bernafas; bengkak muka, bibir, lidah, atau tekak anda.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai apa-apa kesan sampingan, sila berjumpa dengan doktor atau ahli farmasi anda.

Tindak balas ubat

Apakah ubat yang mempunyai tindak balas dengan Ambien® (zolpidem)?

Ambien® boleh mempunyai tindak balas dengan ubat lain yang anda ambil, di mana ia boleh mempengaruhi prestasi atau meningkatkan risiko kepada kesan sampingan yang lebih serius. Untuk mengelakkan sebarang tindak balas, anda harus menyimpan senarai nama ubat yang digunakan (termasuk ubat yang mendapat preskripsi, tidak berpreskripsi dan produk-produk herba lain) dan kongsikannya bersama doktor dan ahli farmasi anda. Untuk keselamatan anda, jangan mula menggunakan, berhenti atau mengubah dos ubat anda tanpa sebarang kebenaran daripada doktor.

Ubatan yang boleh bertindak balas terhadap ubat ini adalah:

  • Chlorpromazine
    • Itraconazole atau ketoconazole
  • Rifampin
  • Ubat antidepresan – imipramine, sertraline

Adakah makanan dan minuman beralkohol mempunyai tindak balas dengan Ambien® (zolpidem)?

Ambien® mungkin mempunyai tindak balas dengan makanan dan alkohol, dengan mengubah cara ia berfungsi ataupun meningkatkan kesan sampingan yang serius. Sila bertanya kepada doktor atau ahli farmasi tentang makanan dan minuman beralkohol yang berpotensi mengakibatkan tindak balas sebelum menggunakannya.

Apakah keadaan kesihatan yang menyebabkan tindak balas dengan Ambien® (zolpidem)?

Ambien® boleh bertindak balas dengan keadaan kesihatan anda. Tindak balas ini akan mengakibatkan keadaan anda semakin teruk atau mengubah cara ubat ini berfungsi. Adalah sangat penting untuk anda memberitahu doktor dan ahli farmasi berkenaan keadaan kesihatan anda

Masalah kesihatan yang mungkin berinteraksi dengan ubat ini adalah:

  • Penyakit buah pinggang
  • Penyakit hati
  • Penyakit paru-paru seperti asma, bronkitis, emfisema, atau penyakit penghalang pulmonari kronik (COPD)
  • Apnea tidur (berhenti bernafas semasa tidur)
  • Miastenia gravis
  • Sejarah kemurungan, penyakit mental, atau pemikiran bunuh diri
  • Sejarah ketagihan dadah atau alkohol

Penggunaan / Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan Ambien® (zolpidem).

Apakah dos Ambien® (zolpidem) yang sesuai untuk orang dewasa?

Dos permulaan yang disyorkan adalah 5 mg untuk wanita dan sama ada 5 atau 10 mg untuk lelaki, diambil hanya sekali setiap malam sebaik sebelum tidur dengan sekurang-kurangnya 7-8 jam sebelum masa yang dirancang untuk bangun dari tidur.

Jika dos 5 mg tidak berkesan, dos boleh ditingkatkan hingga 10 mg.

Dalam sesetengah pesakit, paras yang lebih tinggi dalam darah pada waktu pagi berikutan penggunaan dos 10 mg akan meningkatkan risiko gangguan pemanduan dan aktiviti lain yang memerlukan kewaspadaan penuh pada hari seterusnya.

Dos awal yang disyorkan untuk wanita dan lelaki adalah berbeza kerana kadar kelegaan daripada zolpidem lebih rendah pada wanita.

Apakah dos Ambien® (zolpidem) yang sesuai bagi kanak-kanak?

Dos yang sesuai belum pernah ditetapkan bagi pesakit pediatrik. Ia mungkin tidak selamat bagi anak anda. Adalah penting untuk memahami tahap keselamatan ubat ini sebelum menggunakannya. Sila rujuk doktor atau ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimanakah ketersediaan Ambien® (zolpidem)?

Ambien® boleh didapati dalam bentuk dan kekuatan yang berikut:

  • Tablet, bersalut filem: zolpidem tartrate 5mg

Apakah yang perlu saya lakukan jika terdapat kecemasan atau terlebih dos?

Jika terdapat kecemasan atau berlaku terlebih dos, sila hubungi perkhidmatan kecemasan atau pergi terus ke unit kecemasan di hospital yang terdekat.

Bagaimana pula jika saya terlepas dos?

Jika anda terlepas atau terlupa mengambil dos Ambien®, sila ambil ubat ini dengan kadar segera. Walau bagaimanapun, jika ia sudah hampir melebihi separuh masa dos sehingga pengambilan dos yang baru, anda boleh abaikan dos yang terlepas dan sila ambil dos yang ditetapkan seperti biasa. Jangan ambil dos dua kali ganda sebagai ganti.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut