backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Cendawan Ulat / Kulat Beluncas Cina (Caterpillar Fungus)

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 12/09/2019

Kegunaan

Apakah kegunaan Cendawan Ulat / Kulat Beluncas Cina (Caterpillar Fungus)?

Cendawan Ulat, Kulat Beluncas Cina atau Kulat Ulat Beluncas adalah sejenis kulat yang hidup di atas ulat-ulat tertentu di kawasan pergunungan tinggi di China.

Kulat ini biasa digunakan untuk merawat batuk, bronkitis kronik, gangguan pernafasan, penyakit buah pinggang, kencing malam, masalah seksual lelaki, anemia, degupan jantung yang tidak teratur, kolesterol tinggi, penyakit hati, pening kepala, kelemahan, deringan di telinga, dan kehilangan berat badan yang tidak diingini.

Ia juga digunakan untuk menguatkan sistem imun, meningkatkan prestasi sukan, mengurangkan kesan penuaan, menggalakkan jangka hayat yang lebih lama, serta meningkatkan fungsi hati pada pesakit hepatitis B.

Sesetengah orang menggunakan kulat ini sebagai perangsang, tonik, dan “adaptogen,’ yang digunakan untuk meningkatkan tenaga, meningkatkan stamina, dan mengurangkan keletihan.

Bagaimana ia berfungsi?

Tiada kajian yang mencukupi tentang bagaimana suplemen herba ini berfungsi. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, adalah diketahui bahawa Kulat Beluncas Cina mungkin meningkatkan kekebalan dengan merangsang sel dan bahan kimia tertentu dalam sistem kekebalan tubuh. Ia juga mungkin mempunyai aktiviti terhadap sel-sel kanser dan mungkin mengecilkan saiz tumor, terutamanya dengan paru-paru atau kanser kulit.

Langkah berjaga-jaga & Amaran

Apa yang perlu saya tahu sebelum mengambil Cendawan Ulat / Kulat Beluncas Cina (Caterpillar Fungus)?

Sebelum menggunakan ubat ini, sila maklumkan kepada doktor anda jika:

  • Anda mengandung, merancang untuk hamil atau menyusu badan.
  • Anda mengambil apa-apa ubat lain. Ini termasuk ubatan yang boleh didapati tanpa preskripsi, seperti ubat-ubatan herba dan suplemen.
  • Anda mempunyai alahan dengan mana-mana bahan daripada Kulat Beluncas Cina atau ubatan farmasi mahupun herba yang lain.
  • Anda mempunyai sebarang penyakit, gangguan, atau keadaan perubatan yang lain.
  • Anda mempunyai alahan dengan apa-apa makanan, pewarna, pengawet atau mana-mana haiwan.

Peraturan bagi pengambilan suplemen herba kurang ketat berbanding peraturan bagi pengambilan ubat. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan tahap keselamatannya. Manfaat dalam mengambil suplemen herba ini mestilah dipastikan melebihi risiko pengambilannya sebelum ia digunakan. Sila berunding dengan pakar herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut.

Adakah Cendawan Ulat / Kulat Beluncas Cina (Caterpillar Fungus) selamat digunakan?

Kulat Beluncas Cina mungkin selamat bagi kebanyakan orang apabila diambil dengan tepat melalui mulut, untuk jangka masa yang pendek.

Langkah berjaga-jaga & amaran khusus

Kehamilan dan penyusuan bayi: Tiada maklumat yang mencukupi bagi menyatakan bahawa Kulat Beluncas Cina adalah selamat untuk semua pesakit, wanita hamil dan ibu yang sedang menyusu. Ambillah jalan selamat dan elakkan dari penggunaannya tanpa nasihat daripada doktor atau pakar herba anda.

“Penyakit auto-imun’ seperti Sklerosis berbilang (Multiple Sclerosis – MS), lupus (Systemic Lupus Erythematosus – SLE), Artritis Reumatoid (RA), atau keadaan-keadaan lain: Kulat ini juga mungkin akan menyebabkan sistem imun menjadi lebih aktif. Ini boleh meningkatkan simptom-simptom bagi penyakit auto-imun. Jika anda mempunyai salah satu daripada syarat-syarat ini, sebaiknya elakkan penggunaan kulat beluncas cina ini.

Masalah pendarahan: Kulat ini mungkin akan melambatkan pembekuan darah. Mengambil kulat ini juga mungkin meningkatkan risiko pendarahan pada orang yang mengalami masalah pendarahan.

Pembedahan: Menggunakan Kulat Beluncas Cina boleh meningkatkan risiko pendarahan semasa pembedahan. Berhenti mengambilnya dua (2) minggu sebelum menjalani sebarangpembedahan.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Cendawan Ulat / Kulat Beluncas Cina (Caterpillar Fungus)?

Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai apa-apa kesan sampingan, sila rujuk pakar herba atau doktor anda.

Tindak balas

Apakah tindakbalas yang boleh saya alami dengan Cendawan Ulat / Kulat Beluncas Cina (Caterpillar Fungus)?

Suplemen herba ini boleh bertindak balas dengan ubat-ubatan semasa atau keadaan kesihatan semasa anda. Dapatkan nasihat pakar herba atau doktor anda sebelum menggunakannya.

Produk yang boleh bertindak balas dengan Kulat Beluncas Cina termasuklah:

  • Cyclophosphamide

Cyclophosphamide (Cytoxan, Neosar) digunakan untuk merencatkan sistem imun. Kulat ini pula didapati boleh meningkatkan sistem imun. Mengambilnya bersama-sama dengan cyclophosphamide (Cytoxan, Neosar) mungkin akan mengurangkan keberkesanan cyclophosphamide (Cytoxan, Neosar).

  • Imunosupresan

Kulat Beluncas Cina mungkin boleh meningkatkan sistem imun. Dengan meningkatkan sistem imun, ia boleh mengurangkan keberkesanan ubat-ubatan yang merencatkan sistem imun.

Beberapa ubat yang mengurangkan sistem imun termasuklah azathioprine (Imuran), basiliximab (Simulect), siklosporin (Neoral, Sandimun), daclizumab (Zenapax), muromonab-CD3 (OKT3, Orthoclone OKT3), mycophenolate (CellCept), tacrolimus (FK506, Prograf ), sirolimus (Rapamune), prednisone (Deltasone, Orasone), kortikosteroid (glucocorticoids), dan lain-lain.

  • Prednisolone

Prednisolone kadang-kadang digunakan untuk mengurangkan sistem imun. Mengambil kulat ini mungkin membuatkan prednisolone kurang berkesan bagi mengurangkan sistem imun.

Penggunaan /Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau pakar herba anda sebelum menggunakan ubat ini

Apakah dos Cendawan Ulat / Kulat Beluncas Cina (Caterpillar Fungus) yang biasa digunakan?

Dos untuk produk herba ini mungkin berbeza bagi setiap pesakit. Dos yang anda wajar ambil bergantung pada usia anda, tahap kesihatan, dan beberapa syarat lain. Suplemen herba tidak selalunya selamat. Sila berbincang dengan pakar herba anda atau doktor untuk dos yang sesuai.

Apakah bentuk penyediaan Cendawan Ulat / Kulat Beluncas Cina (Caterpillar Fungus)?

Produk herba ini boleh didapati dalam bentuk dos penggunaan berikut:

  • Kulat Beluncas Cina mentah.
  • Kapsul Kulat Beluncas Cina.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 12/09/2019

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan