backup og meta

Kenapa Anda Tidak Patut Meninggalkan Sahur?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 23/11/2021

    Kenapa Anda Tidak Patut Meninggalkan Sahur?

    Tidak dinafikan bahawa bangun sahur bukanlah sesuatu yang mudah bagi semua orang. Bagi yang sudah biasa bangun awal pagi, ia mungkin tidak menjadi masalah yang besar. Namun, ia adalah sebaliknya bagi mereka yang tidak biasa.

    Di sebalik kepayahan tersebut, anda perlu tahu bahawa sahur adalah sangat penting. Sebab itu, ia adalah amalan yang sangat dituntut oleh Nabi Muhammad s.a.w., meskipun tidak diwajibkan.

    Persoalannya, kenapa anda tidak patut meninggalkan sahur?

    Membekalkan anda tenaga

    Makanan ketika sahur adalah sumber tenaga utama bagi anda dalam menjalani sepanjang hari puasa. Dengan jenis dan jumlah makanan yang betul, ia membantu anda menjalani ibadah puasa dengan lebih mudah dan lancar.

    Dari sudut kesihatan, sahur sebenarnya lebih penting berbanding berbuka puasa kerana ia memberikan anda tenaga untuk bertahan di siang hari.

    Pemilihan makanan sewaktu sahur adalah sangat penting. Berikan fokus pada makanan mengandungi karbohidrat kompleks seperti nasi, pasta atau oat untuk mengekalkan rasa kenyang lebih lama.

    Jangan lupa masukkan buah-buahan dan sayur-sayuran ke dalam diet anda. Buah kurma dan susu adalah pilihan yang baik, selari dengan gaya pemakanan Nabi Muhammad s.a.w..

    Elakkan makanan tinggi gula kerana ia hanya akan memberikan kekenyangan sementara yang akhirnya akan menyebabkan rasa lapar datang lebih awal. Elakkan juga minuman berkafein dan berkarbonat.

    Kegagalan untuk bersahur akan menyebabkan kadar gula darah menjadi rendah. Keadaan ini boleh membawa kepada pening kepala dan mual. Dalam keadaan yang lebih teruk, mungkin boleh menyebabkan pitam.

    Di samping itu, anda sudah tentu tidak mahu hanya duduk berehat di rumah selama berpuasa. Ramadan harus menjadi satu bulan yang produktif. Tanpa tenaga dari makan sahur, hari-hari anda akan banyak dihabiskan dengan berehat di rumah.

    Menunjukkan kesungguhan anda untuk berpuasa

    Bangun sahur adalah salah satu petanda bahawa anda benar-benar bersungguh-sungguh dalam menjalani ibadah puasa. Bermula dari awal pagi lagi, anda telah menetapkan niat untuk berpuasa.

    Kesungguhan ini tentunya akan membantu anda menghadapi baki hari dengan lebih bersemangat kerana hari yang baik bermula dengan baik dan awal.

    Bak kata pepatah, “burung awal menangkap cacing.”

    Sejenis hormon yang digelar kortisol sangat tinggi pada awal pagi. Hormon ini membantu merangsang otak serta melawan stres. Jika anda tidur pada saat ini, manfaat hormon ini tidak akan dapat dikecapi.

    Latih diri untuk bangun sahur. Antara tip yang boleh dikongsikan untuk mudah bangun sahur ialah:

    • Tidur awal sebaiknya sebelum jam 11 malam.
    • Elakkan makan berat sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur.
    • Gunakan jam loceng.
    • Tidur di ruang tamu supaya mudah dikejut oleh ahli rumah.
    • Beransur-ansur dan jangan putus asa.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 23/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan