backup og meta

Bolehkah Warga Emas Berpuasa Di Bulan Ramadan?

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 15/11/2019

    Bolehkah Warga Emas Berpuasa Di Bulan Ramadan?

    Warga emas adalah golongan yang istimewa. Di Malaysia, jumlah warga emas (atas 60 tahun) adalah sebanyak 10 peratus daripada seluruh rakyat Malaysia. Golongan ini adalah antara golongan yang perlu diberikan perhatian. Pelbagai masalah kesihatan, kewangan dan kemampuan fizikal menjadikan mereka sering terbiar jika tidak diambil perhatian.

    Atas semua sebab ini, golongan ini sering bimbang dan takut untuk menjalani kehidupan yang aktif dan sihat. Apabila tiba bulan Ramadan, mereka akan berkira-kira untuk berpuasa. Adakah selamat bagi warga emas untuk berpuasa?

    Baca artikel ini sehingga akhir.

    Adakah puasa baik atau buruk bagi warga emas?

    Ada baik dan buruknya.

    Banyak kajian menunjukkan bahawa puasa mempunyai banyak kelebihan. Antaranya adalah melanjutkan usia, mencegah kanser, merendahkan tekanan darah dan kolesterol darah serta menurunkan berat badan.

    Namun, umur yang lanjut akan lebih terjejas dengan kesan puasa, terutamanya bagi mereka yang mengalami penyakit kronik. Lebih-lebih lagi, kebanyakan warga emas mempunyai masalah kesihatan yang mungkin akan mengganggu mereka berpuasa seperti orang normal. Antara kebimbangan utama adalah gula darah rendah dan dehidrasi. Bagi warga emas, ia boleh mengancam nyawa. Oleh itu, sangat penting untuk mendapatkan nasihat doktor sebelum membuat keputusan untuk berpuasa di bulan Ramadan. Kita tidak mahu perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

    Apakah tip puasa Ramadan bagi warga emas?

    Sama ada anda sendiri adalah warga emas atau penjaga kepada warga emas, anda perlu mengambil perhatian terhadap risiko-risiko yang mungkin berlaku apabila berpuasa. Dengan mengambil langkah berjaga-jaga, anda atau ibu bapa anda mampu menjalani bulan Ramadan dengan gembira.

    1. Membuat pemeriksaan doktor

    Seperti yang telah disebutkan, langkah ini adalah sangat penting, terutamanya jika anda memang mempunyai penyakit kronik dan sedang mengambil ubat-ubatan. Dapatkan nasihat doktor jika keadaan kesihatan anda membolehkan anda untuk berpuasa seperti biasa. Ikut semua nasihat doktor.

    1. Amalkan makanan seimbang

    Diet yang seimbang haruslah mengandungi semua nutrisi penting termasuk karbohidrat, protein, lemak, serat dan vitamin. Bagi warga emas, penekanan yang lebih harus diberikan kerana golongan ini sering mengalami kekurangan zat atau disebut sebagai malnutrisi.

    Ambil perhatian terhadap perkara berikut:

    • Kurangkan penggunaan lemak tepu seperti minyak sapi, mentega dan keju. Minimakan penggunaan minyak semasa menggoreng atau menumis agar makanan lebih sihat dan lebih jimat!
    • Banyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Serat dalam sayur penting dalam membantu penghadaman yang sering menjadi masalah bagi warga emas. Makanan berwarna-warni ini turut membekalkan vitamin dan mineral penting.
    • Elakkan makanan mentah atau separuh masak. Ini bagi memudahkan makanan tersebut hadam di dalam perut dan usus serta mudah ditelan.
    • Elakkan makanan tinggi garam. Selain boleh meningkatkan tekanan darah, garam membuatkan diri cepat haus. Jadi, makanan seperti ikan masin, jeruk dan kicap hendaklah dikurangkan.
    • Kurangkan makanan bergula (manis). Semua orang maklum tentang bahaya gula berlebihan yang boleh membawa kepada pelbagai penyakit, antaranya kencing manis. Lebih-lebih lagi bagi warga emas, ia perlu dikurangkan.
    1. Jangan lupa sahur

    Sahur adalah sangat penting. Ia membekalkan tenaga untuk kita kekal segar dan sihat sepanjang hari. Tanpa sahur, badan akan mudah letih dan lesu. Ambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi dan roti. Sebaiknya, lewatkan sahur sehingga kira-kira 30 minit sebelum azan subuh. Selain mengikut sunah nabi, ia dapat memberikan lebih tenaga untuk bertahan.

    1. Segera berbuka puasa

    Jangan tangguhkan waktu berbuka puasa. Mulakan dengan makan yang ringkas bagi mengelakkan ketidakselesaan pada perut. Elakkan makanan berempah dan pedas supaya perut tidak meragam semasa solat tarawih atau keesokan harinya.

    1. Air, air dan air

    Air adalah sangat penting bagi orang berpuasa, terutamanya warga emas yang lebih cenderung mengalami dehidrasi. Minum air sebanyak yang boleh sekurang-kurangnya lapan gelas sehari antara waktu berbuka dan sahur.

    1. Jangan makan terlalu banyak sewaktu moreh

    Tidak salah untuk makan moreh tapi pastikan anda tidak mengambil terlalu banyak makanan. Kita tidak seharusnya mengambil makanan berat sekurang-kurangnya dua jam sebelum tidur atau proses penghadaman akan terganggu menyebabkan pedih ulu hati.

    1. Jangan tinggal berseorangan

    Jangan biarkan warga emas tinggal berseorangan. Macam-macam perkara tidak diduga boleh berlaku. Pastikan sentiasa ada orang yang boleh membantu jika apa-apa berlaku. Di samping itu, tinggal berseorangan akan membuatkan seseorang cenderung mendapat masalah psikologi seperti depresi atau kemurungan.

    Agama Islam adalah agama yang rahmah dan bertimbang rasa terhadap semua golongan. Meskipun puasa Ramadan adalah satu kewajipan, kelonggaran diberikan kepada golongan tertentu termasuk warga emas yang tidak mampu berpuasa.

    Jangan terlalu memaksa diri untuk berpuasa jika tidak mampu, atau ia hanya akan memakan diri anda kelak.

    Dapatkan lebih panduan berpuasa warga emas di sini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 15/11/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan