backup og meta

Susu Soya Kurangkan Risiko Kanser Payudara

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 21/08/2021

    Susu Soya Kurangkan Risiko Kanser Payudara

    Ramai yang anggap susu soya penyebab kanser, namun tahukah anda kacang ini sebenarnya boleh cegah kanser payudara?

    Kanser payudara merupakan kanser utama dalam kalangan wanita di Malaysia dan menyumbang kepada 31% daripada jumlah kes kanser dalam kalangan wanita. Berdasarkan perbezaan etnik, kaum Cina didapati mengalami kes kanser payudara paling tinggi dengan nisbah 59.9 daripada 100,000 diikuti India dan seterusnya Melayu dengan nisbah 34.9 daripada 100,000 orang.

    Faktor risiko kanser

    soya penyebab kanser

    Terdapat pelbagai faktor risiko yang meningkatkan kemungkinan seseorang mengalami kanser payudara. Ini termasuklah:

  • usia datang haid awal
  • menopaus lewat
  • tempoh menyusukan anak singkat
  • kehamilan pertama di usia yang lewat
  • tidak pernah melahirkan
  • bilangan kelahiran rendah
  • sejarah keluarga dengan kanser payudara
  • Kebanyakan faktor risiko yang dikaitkan dengan kanser payudara dikaji dalam populasi wanita barat dan negara Asia yang maju. Oleh itu, satu kajian terbesar berkaitan kanser payudara di Malaysia dijalankan selama 14 tahun (2002-2016) melibatkan seramai 7663 wanita untuk mengkaji kesan gaya hidup kepada risiko kanser payudara.

    Kajian tersebut mendapati bahawa penyusuan badan merupakan faktor pelindung utama daripada kanser payudara. Dalam kalangan wanita yang mempunyai anak, mereka yang menyusukan anak mengurangkan risiko mendapat kanser payudara sebanyak 35% berbanding ibu yang tidak menyusukan anak. Sementara penyusuan lebih daripada 12 bulan mengurangkan risiko sebanyak 70%.

    Kajian tersebut juga melaporkan kaum Cina di Malaysia dipercayai lebih berisiko mengalami kanser payudara disebabkan kadar penyusuan badan yang rendah dan singkat, kadar kelahiran rendah dan usia kehamilan pertama yang lewat.

    Susu soya penyebab kanser payudara, betul ke?

    soya penyebab kanser

    Antara faktor gaya hidup lain yang didapati mempunyai kaitan dengan risiko kanser payudara ialah pengambilan susu soya atau produk buatan soya. Kajian tersebut menunjukkan dengan meminum secawan susu soya setiap minggu, wanita boleh mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 75%.

    Kesan yang sama juga boleh diperoleh melalui pengambilan produk daripada soya seperti tofu, tempeh, Miso dan lain lain. Pengambilan produk daripada kacang soya didapati mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 60%. Penemuan ini berbeza dengan tanggapan umum bahawa susu soya penyebab kanser payudara disebabkan kandungan estrogennya.

    Pengurangan risiko kanser payudara dengan pengambilan susu soya atau produk soya juga dilaporkan dalam beberapa kajian di China, Jepun dan Singapura. Wanita di Asia juga dilaporkan mempunyai kadar kanser payudara 5 kali lebih rendah berbanding wanita di Amerika Syarikat.

    Memandangkan kacang soya merupakan makanan yang mudah didapati di negara-negara Asia, pengambilan susu soya atau produk berasaskan kacang soya merupakan langkah mudah untuk cegah kanser payudara dalam kalangan wanita Asia. Anda juga boleh melakukan inisiatif sendiri bermula di meja makan rumah anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 21/08/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan