backup og meta

Ujian Saringan:Diagnosis Awal Kanser Kolorektal

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 17/01/2023

    Ujian Saringan:Diagnosis Awal Kanser Kolorektal

    Ujian saringan adalah cara untuk mendapatkan diagnosis awal yang merupakan aspek paling penting dalam merawat dan menguruskan kanser, khususnya kanser kolorektal yang menjadi perbincangan utama artikel ini. Tidak kira jenis kanser apa sekalipun, usaha harus diberikan untuk mengesannya dengan lebih awal.

    Jika kanser dapat dikesan awal ketika saiznya masih kecil, lebih banyak pilihan rawatan yang boleh diambil dan hasilnya juga sudah tentu lebih baik. Walaupun kanser kolorektal mungkin boleh dicegah melalui perubahan gaya hidup dan pemakanan, ia masih tidak sepenuhnya dapat dielakkan.

    Oleh itu, diagnosis awal adalah cara yang terbaik.

    Tahap lanjut kanser kolorektal memberikan jangka hayat lebih pendek

    Setiap kanser mempunyai tahap yang berbeza-beza dan kanser kolorektal juga tidak terkecuali.

    Bagi kanser kolorektal, ia terbahagi kepada 4 tahap. Setiap tahap ditentukan melalui ujian patologi ke atas sampel tumor yang diambil daripada kawasan yang terbabit.

    Menentukan tahap kanser adalah penting dalam memilih jenis rawatan. Semakin lanjut tahap kanser kolorektal semasa diagnosis dibuat, semakin pendek jangka hayat pesakit tersebut.

    Kanser kolorektal antara pembunuh utama di Malaysia

    Prognosis kanser biasanya diletakkan sebagai peratus pesakit yang hidup lebih 5 tahun selepas diagnosis. Berikut adalah peratus kelangsungan hidup melebihi 5 tahun bagi setiap tahap kanser kolorektal:

    • Tahap 1: 92 peratus pesakit hidup lebih 5 tahun selepas diagnosis.
    • Tahap 2: 63 peratus pesakit hidup lebih 5 tahun selepas diagnosis.
    • Tahap 3: 53 peratus pesakit hidup lebih 5 tahun selepas diagnosis.
    • Tahap 4: 11 peratus pesakit hidup lebih 5 tahun selepas diagnosis.

    Seperti yang dilihat, tahap 4 memberikan peratus paling rendah dari sudut kelangsungan hidup.

    Ujian saringan membantu diagnosis awal

    Malangnya, simptom-simptom kanser kolorektal adalah tidak begitu spesifik dan kadangkala berlaku hanya ketika kanser sudah berada di tahap lanjut. Jadi, diagnosis tidak boleh sepenuhnya bergantung kepada simptom semata-mata.

    Cara terbaik untuk membuat diagnosis awal adalah melalui ujian saringan. Ia mampu mengesan kanser sebelum berlaku apa-apa simptom. Ujian ini dijalankan ke atas mereka yang berisiko dan berumur antara 50 dan 75 tahun.

    1. Ujian najis (FOBT – Fecal Occult Blood Test)

    Ujian ini dijalankan untuk mengesan darah di dalam najis. Ia adalah ujian yang mudah dan boleh dijalankan di klinik kesihatan. Satu set alatan untuk mengumpul najis akan diberikan kepada pesakit. Kemudian, pesakit perlu mengambil sedikit sampel najis menggunakan alatan tersebut untuk dikembalikan kepada makmal.

    Najis tersebut akan diuji untuk melihat kewujudan darah di dalamnya. Jika positif (ada darah), pesakit mungkin akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan lanjut iaitu kolonoskopi.

    2. Ujian sigmoidoskopi

    Satu tiub dengan kamera dimasukkan ke dalam rektum dan penghujung kolon melalui lubang dubur untuk mengesan polip atau kanser di dalamnya.

    3. Ujian kolonoskopi

    Kolonoskopi adalah ujian utama dalam diagnosis kanser kolorektal

    Ujian ini sama seperti sigmoidoskopi tetapi ia boleh melihat keseluruhan rektum dan kolon dengan tiun yang lebih panjang serta fleksibel. Sampel tumor boleh diambil dan polip boleh dibuang semasa menjalankan prosedur ini.

    Kesedaran masyarakat sebelum ujian saringan

    Tanpa kesedaran daripada masyarakat, ujian saringan hanya akan menjadi sia-sia kerana tidak ramai yang mengambil initiatif untuk mengambil ujian saringan. Menurut satu kajian yang membabitkan 900 orang rakyat Malaysia yang berisiko, hanya 38 peratus sahaja melakukan ujian saringan.

    Kesedaran ini perlu dipupuk di semua peringkat dan semua pihak harus memainkan peranan termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan serta pihak media.

    Kanser kolorektal adalah kanser nombor 2 di Malaysia. Tanpa langkah pencegahan yang komprehensif, angka kematian akan terus meningkat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan