backup og meta

Awasi 6 Simptom Ini Jika Berlaku Pada Anda, Ia Mungkin Tanda BAHAYA Kanser Kolerektal

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 20/06/2023

    Awasi 6 Simptom Ini Jika Berlaku Pada Anda, Ia Mungkin Tanda BAHAYA Kanser Kolerektal

    Kira-kira 100 000 rakyat Malaysia menghidap kanser setiap tahun. Dalam keseluruhan angka itu, kanser kolorektal mengungguli tangga kedua selepas kanser payudara. Oleh itu, tahukah anda tentang bahaya kanser kolorektal ini? 

    Bukan sekadar angka yang tinggi, prognosis kanser ini juga adalah tidak berapa baik, terutamanya jika dikesan pada tahap yang sudah lanjut.

    Seperti kanser lain, diagnosis awal adalah sangat penting untuk memastikan kelangsungan hidup yang lebih baik.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkannya di sini.

    Apakah bahaya kanser kolorektal yang anda perlu tahu?

    Kanser kolorektal adalah kanser yang melibatkan kolon dan rektum. Kolon adalah usus besar manakala rektum adalah bahagian yang menghubungkan antara usus besar dan dubur.

    Bahaya kanser kolorektal boleh berlaku dalam beberapa bentuk:

  • Polip. Satu ketumbuhan pada bahagian dalam dinding kolon atau rektum. Jika saiznya besar, ia boleh menyebabkan usus besar tersumbat.
  • Ulser. Sel-sel kanser dari dinding kolon atau rektum membentuk ulser. Ia boleh menyebabkan pendarahan berlaku.
  • Ketumbuhan melingkari usus besar sehingga membuatkan saluran usus menjadi sempit dan mungkin boleh tersumbat.
  • Awasi tanda-tanda kanser kolorektal

    Untuk memastikan diagnosis boleh dibuat awal, anda perlu kenali tanda-tanda awal kanser kolorektal.

    1. Perubahan pada tabiat buang air besar

    Hampir semua pesakit kanser kolorektal akan mengalami perubahan pada tabiat buang air besar. Ia boleh jadi sama ada sembelit atau cirit birit.

    Kanser yang membuatkan simptom sembelit kebiasaannya melibatkan usus besar bahagian kiri atau rektum dan jenis ini adalah lebih bahaya.

    Manakala kanser usus di bahagian kanan biasanya menyebabkan cirit birit atau tiada simptom dan jenis ini adalah lebih ringan.

    Malangnya, ramai orang yang tidak mengendahkan isyarat badan ini.

    Walaupun perubahan tabiat buang air besar ini kebanyakannya adalah disebabkan oleh punca yang tidak berbahaya seperti pemakanan, bagi orang yang sudah berumur, sebarang perubahan adalah mungkin disebabkan perkara yang serius seperti kanser kolorektal.

    2. Pendarahan dari dubur atau najis berdarah

    Meskipun berdarah, pesakit kebiasaannya tidak mengadu rasa sakit. Ia adalah berbeza dengan kes buasir atau anal fissure yang menyebabkan rasa sakit.

    Jika seseorang itu berumur 60 tahun ke atas, pendarahan dari dubur adalah dikira sebagai kanser kolorektal sehingga dibuktikan sebaliknya.

    Dapatkan nasihat perubatan segera untuk mengelakkan keadaan yang tidak diingini berlaku. Kadangkala, seseorang itu mungkin malu untuk berjumpa doktor kerana ia melibatkan bahagian sulit.

    3. Hilang berat badan yang tidak dapat dijelaskan

    sakit sendi obes

    Antara petanda umum bagi mana-mana kanser adalah hilang berat badan yang tidak dapat dijelaskan.

    Ia berbeza jika seseorang itu memang sedang dalam program diet atau mempunyai penyakit yang dimaklumi menyebabkan keadaan tersebut seperti hipertiroid.

    Jika mengalami penurunan berat badan yang signifikan, iaitu 5 peratus daripada keseluruhan berat badan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan, segera dapatkan pemeriksaan perubatan.

    4. Ketidakselesaan pada abdomen

    Tidak kurang juga pesakit kanser kolorektal yang mengalami simptom ini. Mereka mengadu sakit perut, kembung dan perut penuh hampir setiap hari walaupun kadang-kadang berlaku tanpa pengambilan sebarang makanan.

    Mereka juga mungkin mengalami kekejangan perut atau sakit pada pinggul.

    Malangnya, simptom-simptom ini seakan-akan menyerupai penyakit asid refluks, penyakit radang usus atau rengsa usus. Oleh sebab itu, ia selalu di salah diagnosis.

    5. Hilang selera dan mudah penat

    Simptom ini juga adalah tidak spesifik untuk kanser kolorektal. Kebiasaannya mana-mana kanser boleh menyebabkan dua simptom ini.

    Mudah penat itu mungkin disebabkan oleh kurang pengambilan makanan atau kurang darah merah (anemia) disebabkan pendarahan dari usus besar.

    6. Sesak nafas atau ketidakselesaan dada

    bahaya kanser kolorektal

    Banyak sebab boleh menyebabkan simptom ini. Dalam kes kanser kolorektal, anemia mungkin menjadi penyebabnya.

    Selain itu, dalam kes yang lebih parah, sesak nafas mungkin disebabkan oleh kanser yang telah merebak sehingga ke paru-paru. Dalam kes seperti ini, prognosisnya adalah sangat rendah.

    Apa yang saya harus lakukan untuk melawan bahaya kanser kolorektal?

    Usaha melawan kanser adalah usaha bersama, bukan hanya tertumpu pada sektor kesihatan semata-mata.

    Lebih-lebih lagi yang melibatkan kanser, diagnosis awal perlu dibuat untuk mendapatkan hasil yang lebih positif dari rawatan yang dijalankan.

    Di Malaysia, pihak hospital ada menyediakan khidmat saringan kanser kolorektal. Ia kebiasaannya dijalankan bermula umur 50 hingga 75 tahun.

    Namun bagi yang berisiko tinggi, ujian mungkin perlu dilakukan lebih awal.

    Antara golongan yang berisiko tinggi adalah:

    • Ada keluarga terdekat mengalami polip atau kanser kolorektal.
    • Menghidapi penyakit ulseratif kolitis atau penyakit Crohn.
    • Mempunyai sindrom genetik yang berkaitan seperti familial adenomatous polyposis (FAP) atau hereditary non-polyposis colorectal cancer.

    Jika anda berisiko mendapat kanser kolorektal atau berumur antara 50 hingga 75 tahun, sila berbincang dengan doktor untuk mendapatkan ujian saringan.

    Jangan tunggu sehingga simptom datang, kerana pada waktu itu, mungkin anda sudah terlambat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 20/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan