backup og meta

Nyamuk Aedes: Tak Kenal Maka Tak Cinta

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 12/10/2022

    Nyamuk Aedes: Tak Kenal Maka Tak Cinta

    Sebut sahaja demam denggi, pastinya kita tidak boleh mengelakkan diri daripada bercakap tentang nyamuk aedes. Ingin mengenalinya aedes dengan lebih lanjut? Sila baca artikel ini untuk ketahui beza nyamuk aedes dan nyamuk biasa.

    Apakah itu nyamuk aedes?

    Ia adalah sejenis nyamuk yang bertanggungjawab membawa virus denggi ke dalam darah manusia, seterusnya menyebabkan demam denggi. Terdapat beberapa jenis aedes:

  • Aedes aegypti – ini adalah jenis utama.
  • Aedes albopictus.
  • Aedes polynesiensis.
  • Aedes scutellaris.
  • Selain denggi, Aedes aegypti juga merupakan nyamuk yang bertanggungjawab membawa penyakit lain seperti demam kuning dewasa (yellow fever), chikungunya dan Zika.

    Bagaimana ia membesar?

    Ramai sudah maklum bahawa air bertakung adalah tempat pembiakan nyamuk. Telur akan dilepaskan oleh nyamuk betina pada sudut bekas air bertakung tersebut sebelum ia menetas menjadi jentik-jentik dalam tempoh 2 hingga 7 hari. Dalam tempoh seminggu, jentik-jentik berubah menjadi kepompong, seterusnya menjadi nyamuk selepas 2 hari.

    Keseluruhannya, nyamuk hanya memerlukan masa antara 11 hingga 16 hari sahaja untuk menjadi seekor nyamuk dewasa. Jika air yang bertakung tidak dibuang atau ditutup lebih daripada 3 minggu, sudah tentu nyamuk akan sempat membesar. Sebab itu, periksa rumah anda setiap minggu atau dua minggu.

    Nyamuk dewasa pula boleh hidup antara 2 minggu hingga sebulan, bergantung kepada keadaan cuaca. Nyamuk yang berada di dalam rumah secara amnya mempunyai jangka hayat lebih lama kerana tidak terlalu terkesan dengan perubahan cuaca di luar.

    Bagaimana nyamuk aedes menyebabkan demam denggi?

    nyamuk aedes

    Demam denggi disebabkan oleh virus denggi. Nyamuk aedes pula menjadi orang tengah yang membawa virus ini ke dalam darah manusia. Menariknya, virus yang dibawa oleh nyamuk ini diambil daripada darah manusia lain.

    Bagaimana ia berlaku?

    Apabila ada manusia yang dijangkiti virus dan menghidap demam denggi, darahnya mengandungi virus denggi.

    Jika nyamuk aedes betina (bukan jantan) menghisap darah orang tersebut, virus akan masuk ke dalam saluran permakanan nyamuk terbabit, seterusnya ke kelenjar air liur dalam tempoh 8 hingga 12 hari.

    Selepas daripada tempoh ini, nyamuk betina tersebut boleh menjangkiti orang lain semasa menghisap darah.

    Oleh sebab itu, setiap kali ada kes demam denggi, notifikasi akan diberikan kepada Pejabat Kesihatan Daerah agar tindakan boleh diambil untuk menghapuskan nyamuk di kawasan terbabit yang mungkin mengandungi virus di dalam badannya. Langkah ini bertujuan mengelakkan orang lain dijangkiti.

    Bagaimana ingin mengenali nyamuk aedes daripada nyamuk biasa?

    nyamuk biasa

    Pertama, lihat pada badan dan kakinya. Ia sangat mudah untuk dikenali kerana mempunyai belang hitam dan putih di badan dan kaki. Anda juga boleh memeriksa air bertakung di kawasan rumah anda. Jika terdapat jejentik, berkemungkinan besar ia adalah milik nyamuk aedes dan bukannya nyamuk biasa.

    Selain itu, aedes mempunyai tabiat istimewa, iaitu ia cenderung untuk menggigit di waktu siang berbanding waktu malam yang kebiasaannya kurang aktif. Jadi, sila berhati-hati jika anda digigit nyamuk di waktu siang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 12/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan