Demam Denggi: Jangan Pandang Ringan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Selepas bertahun-tahun, demam denggi masih lagi menjadi cabaran utama dalam kesihatan awam di Malaysia. Penyakit berjangkit ini sentiasa mencatatkan bilangan kes yang tinggi setiap tahun. Meskipun ada sedikit penurunan yang ditunjukkan dalam tahun-tahun belakangan ini, angkanya masih di tahap yang membimbangkan.

Walaupun ia kerap berlaku, tidak sama sekali bermakna demam denggi tidak berbahaya. Bahkan, banyak komplikasi yang boleh berlaku. Jangan ambil mudah. Silap haribulan, kita dan ahli keluarga boleh menjadi mangsa.

Antara komplikasi demam denggi adalah:

1. Pendarahan

Salah satu jenis demam denggi yang paling bahaya adalah demam denggi berdarah. Dalam kes ini, pesakit boleh mengalami pendarahan di seluruh badan. Ini termasuk hidung, gusi, mata dan di bawah kulit. Kadangkala, pendarahan boleh berlaku di dalam faraj, darah haid akan menjadi lebih banyak.

Air kencing turut bercampur darah jika berlaku pendarahan di dalam pundi kencing. Tidak terkecuali juga usus berdarah di mana najis akan berubah warna. Paling parah adalah pendarahan di dalam otak.

2. Kejutan (shock)

Shock atau kejutan adalah komplikasi lain yang mungkin berlaku. Apa yang berlaku adalah tekanan darah menurun secara tiba-tiba secara mendadak. Ia berlaku kerana jangkitan denggi menyebabkan sebahagian daripada cecair di dalam darah keluar daripada peredaran darah. Kesannya, isi padu darah berkurang seterusnya mengurangkan tekanan darah.

Apabila tekanan menjadi rendah, darah gagal untuk dibekalkan kepada organ-organ di seluruh badan, terutamanya organ-organ utama seperti otak, jantung, hati dan buah pinggang.

3. Kegagalan organ

Bertitik tolak daripada kejutan, komplikasi ini boleh berlaku. Organ utama yang menjadi kebimbangan adalah otak, jantung, hati dan buah pinggang. Kegagalan organ-organ ini pastinya akan mengganggu fungsi badan yang normal.

Jika tidak diuruskan segera, atau kegagalan yang berlaku terlalu teruk sehingga tidak dapat diselamatkan, pesakit mungkin berkahir dengan kematian.

4. Paru-paru berair

Paru-paru berair atau pleural effusion berlaku kerana jangkitan denggi menyebabkan cecair di dalam salur darah keluar daripada peredaran darah. Antara tempat cecair tersebut akan terkumpul adalah di sekeliling paru-paru. Pengumpulan cecair ini menyukarkan paru-paru untuk mengembang dan menjalankan fungsinya dengan baik.

Selain paru-paru, organ lain juga boleh terkesan seperti jantung (pericardial effusion) dan abdomen (ascites).

Ini adalah antara komplikasi utama demam denggi. Berhati-hati dengan penyakit ini. Nyamuk aedes meskipun bersaiz kecil, mampu membawa maut kepada manusia.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut