backup og meta

Adakah Terdapat Vaksin Untuk Denggi?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 18/01/2023

    Adakah Terdapat Vaksin Untuk Denggi?

    Ya, vaksin denggi memang sudah wujud.

    Memandangkan beban yang ada disebabkan demam denggi adalah tinggi, maka banyak usaha dilakukan demi membanteras penyakit ini. Oleh itu, banyak syarikat farmaseutikal cuba menghasilkan vaksin agar penyakit ini dapat dicegah seperti mana penyakit-penyakit yang divaksin termasuk tuberkolusis, demam campak dan hepatitis B.

    Adakah vaksin tersebut sudah dilaksanakan?

    Kemunculan vaksin denggi tentunya merupakan satu berita yang sangat mengujakan, khususnya bagi negara-negara tropikal yang mencatatkan angka demam denggi yang tinggi seperti Asia Tenggara dan Amerika Latin.

    Pada Disember 2015, vaksin denggi pertama, iaitu Dengvaxia, telah diberikan lesen di Mexico untuk digunakan bagi individu berumur antara 9 hingga 45 tahun. Kini, produk keluaran syarikat Perancis itu telah dilaksanakan di 20 buah negara termasuk Singapura dan Filipina.

    Adakah ia berkesan?

    Keberkesanannya berbeza mengikut beberapa faktor; umur, serotype virus, pernah dijangkiti denggi atau tidak.

    Secara amnya, keberkesanan yang dilaporkan adalah sebanyak 59.2%.

    Jika mengikut serotype virus, peratusan lebih tinggi ditunjukkan bagi serotype 3 dan 4 (71.6% dan 76.9%) berbanding serotype 1 dan 2 (54.7% dan 43.0%).

    Berdasarkan faktor pernah dijangkiti atau tidak pula, peratusan lebih tinggi dalam kalangan mereka yang pernah dijangkiti (seropositive) iaitu 78.2% berbanding hanya 38.1% dalam kalangan mereka yang tidak pernah dijangkiti (seronegative).

    Adakah vaksin ini mendapat kelulusan WHO?

    Sehingga kini, WHO masih belum memberikan kelulusan sepenuhnya kepada Dengvaxia. Kelulusan memerlukan laporan daripada badan yang menyelia pengeluaran ubat di negara terbabit, dalam kes ini adalah European Medicines Agency (EMA).

    Sehingga laporan tersebut diterima, WHO tidak boleh memberikan kata akhir.

    Bagaimana pula di Malaysia?

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum tentang inisiatif vaksin ini. Namun, sehingga kini, tiada sebarang jualan atau pemberian vaksin denggi di Malaysia, baik di sektor kerajaan mahupun swasta.

    Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, Dengvaxia mungkin mempunyai kesan sampingan jangka masa panjang bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti denggi.

    Syarikat pengeluar vaksin terbabit menjelaskan bahawa penerima vaksin yang tidak pernah dijangkiti berisiko mendapat demam denggi yang lebih teruk jika dijangkiti. Oleh sebab itu, pihak KKM masih tidak membawanya masuk ke dalam negara untuk dijual.

    Apakah langkah pencegahan yang ada?

    Pengawalan nyamuk masih menjadi kunci paling utama dalam pencegahan denggi. Menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, pengurusan sisa buangan dan langkah-langkah pencegahan peribadi seperti semburan nyamuk dan pakaian tertutup. Ini adalah antara perkara yang dilakukan.

    Selain itu, sistem kesihatan termasuk laporan serta kajian terhadap pengaruh cuaca dan persekitaran harus dipertingkatkan lagi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 18/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan