Menjaga Pesakit Strok

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Menjaga pesakit strok memerlukan pengetahuan, kesabaran dan pengetahuan yang cukup. Tanpa semua ini, kedua-duanya, pesakit dan penjaga, akan terzalimi dan tertekan. Sebagai pembunuh nombor tiga di Malaysia, strok kerap membuatkan penghidapnya mengalami kecacatan dan ketidakupayaan selepas daripada serangan.

Kecacatan ini tentunya mengganggu banyak urusan asas harian seperti makan, pergi ke tandas dan mandi serta menukar pakaian. Tanpa sokongan dan penjagaan yang betul, kualiti hidup pesakit akan menurun dengan mendadak.

Jika anda adalah salah seorang daripada penjaga pesakit strok, sama ada ibu bapa atau pasangan, artikel ini mungkin akan membantu anda mendapatkan panduan dan tip menjaga pesakit strok.

1. Memantau jadual ubat-ubatan serta kesan-kesan sampingannya

Kebanyakan pesakit strok akan perlu mengambil banyak jenis ubat-ubatan. Ini termasuk pencair darah, ubat kolesterol (statin), insulin untuk diabetes dan ubat-ubat tekanan darah tinggi. Seeloknya, sediakan buku khas untuk merekod ubat-ubatan beserta jadual pengambilan. Ini sangat membantu dalam memastikan ia diambil pada kadar dan waktu yang betul.

Jangan lupa juga kepada kesan-kesan sampingannya. Bincangkan dengan doktor, apakah kesan-kesan sampingan yang mungkin berlaku daripada pengambilan ubat-ubatan tersebut.

2. Jaga pemakanan

Pemakanan adalah aspek yang sangat penting dalam penjagaan pesakit strok. Beberapa perkara yang anda perlu ambil berat:

  • Pastikan pesakit mendapat nutrien yang seimbang dan mencukupi setiap hari. Ini akan membantu proses pemulihan.
  • Kurangkan makanan yang berlemak dan berminyak.
  • Utamakan penyediaan makanan dengan cara yang sihat seperti merebus, mengukus dan memanggang berbanding menggoreng.
  • Kadangkala, pesakit mengalami masalah untuk menelan makanan. Jika berlaku, berikan makanan yang lembut, dicincang atau dikisar. Dalam kes yang lebih parah, tiub nasogastrik mungkin diperlukan.
  • Berhubung dengan Pegawai Dietetik berhampiran untuk mendapatkan jumlah kalori dan jenis makanan paling sesuai dengan pesakit.

3. Susun atur rumah yang sesuai untuk memudahkan pergerakan

Pergerakan yang terbatas pastinya memerlukan sedikit pengubahsuaian pada susun atur di dalam rumah. Antara perkara yang anda boleh lakukan ialah:

  • Alihkan objek-objek kecil seperti pengelap kaki di depan pintu, meja kecil dan permainan kanak-kanak.
  • Berikan ruang lapang yang luas untuk memudahkan pergerakan.
  • Letakkan pemegang di beberapa tempat terutamanya di dalam tandas, dapur dan bilik tidur bagi mengelakkan jatuh.
  • Sediakan kerusi atau bangku di beberapa tempat untuk membolehkan pesakit mengambil masa untuk berehat.
  • Pindahkan barang-barang keperluan pesakit ke tingkat bawah bagi rumah dua tingkat.

4. Sokongan emosi

Mengalami keadaan hilang upaya secara mengejut adalah satu kondisi yang amat mencabar emosi seseorang. Justeru, ia memerlukan sokongan daripada orang sekeliling, bukan sahaja dari sudut fizikal tetapi juga emosi dan perasaan.

Berikan mereka motivasi agar terus positif untuk menjalani proses pemulihan.

Di samping sokongan ke atas pesakit, penjaga juga memerlukan sokongan serta motivasi. Menjaga pesakit strok bukanlah satu kerja yang mudah, lebih-lebih lagi ia bukan dilakukan kerana duit. Jika menjaga ibu bapa, anak-anak yang lain juga harus terlibat sama dan tidak membiarkan sebahagian anak sahaja yang menjaga.

Anda boleh dapatkan kumpulan sokongan bagi pesakit strok melalui National Stroke Association of Malaysia (NASAM).

Jangan sampai penjaga lebih tertekan berbanding pesakit!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Lihat juga:

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut