backup og meta

Realiti Masalah Obesiti Di Malaysia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/01/2020

    Realiti Masalah Obesiti Di Malaysia

    Masalah obesiti merupakan keadaan kesihatan yang merunsingkan berikutan ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan yang mempengaruhi kualiti hidup individu. Malaysia merupakan negara pada kedudukan tertinggi di Asia dalam konteks individu yang mempunyai masalah obesiti dan berat badan berlebihan. Perkara ini bukan sahaja akan mempengaruhi hidup individu yang didiagnosis, malahan negara secara menyeluruh kerana terpaksa membelanjakan sejumlah wang ke arah rawatan penyakit kronik ini. Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Peningkatan kes obesiti yang membimbangkan

    Sejajar dengan perkembangan teknologi dunia, jumlah populasi individu yang mempunyai masalah berat badan berlebihan dan obesiti juga meningkat. Ini disebabkan oleh gaya hidup sedentar, pemakanan tidak seimbang dan tidur yang tidak mencukupi dalam kalangan populasi orang dewasa. 

    Menurut Kaji Selidik Morbiditi dan Kesihatan Negara (NHMS) Malaysia, data terbaru yang telah direkodkan oleh NHMS pada tahun 2015 menunjukkan peningkatan berbanding dengan data NHMS pada tahun 2011. Populasi obes di Malaysia berada pada kadar 44.7% daripada jumlah populasi umum. 

    Walaupun jumlah kes obesiti dalam kalangan kanak-kanak tidak teruk berbanding dengan orang dewasa, Malaysia masih menduduki carta 3 teratas bagi negara dengan jumlah tertinggi kanak-kanak terobes di Asia. Menurut Kaji Selidik Nutrisi Kanak-kanak Malaysia yang dijalankan pada tahun 2013, kanak-kanak yang berusia di antara 6 bulan hingga 12 tahun mempunyai kadar obesiti setinggi 11.8%.

    Ini merupakan satu statistik yang membimbangkan berikutan permasalahan obesiti pada usia muda boleh meningkatkan risiko komplikasi seperti hipertensi dan penyakit jantung seterusnya kematian pramatang. Jika masalah ini tidak dibendung, menjelang tahun 2030, jumlah kanak-kanak yang mempunyai masalah obesiti akan mencecah 250 juta kes dengan negara China mempelopori di tangga teratas.

    Mungkin punca kepada masalah obesiti buat sesetengah individu kelihatan jelas namun obesiti boleh dipengaruhi oleh faktor genetik dan persekitaran. Menurut Alex Teo, Pengarah Perhubungan Saintifik dan Perkembangan Kajian Asia Pasifik di Herbalife Nutrition, secara amnya, masalah obesiti kebiasaannya disebabkan oleh tabiat pengambilan makanan yang banyak dan kurang bergerak. Faktor seperti pemakanan, aktiviti fizikal, keadaan kesihatan dan kesan sampingan ubat merupakan antara punca utama mengapa seseorang itu mendapat obesiti.

    Gaya pemakanan tidak seimbang

    Ketidakseimbangan nutrisi makro merupakan salah satu punca mengapa masalah berat badan berlebihan menjadi semakin serius. Pengambilan makanan melebihi saranan jumlah kalori harian di samping jumlah karbohidrat dan makanan berlemak yang tinggi menyebabkan peningkatan pada kebarangkalian untuk mendapat masalah obesiti, hipertensi dan kencing manis. 

    Antara gaya pemakanan yang boleh menyebabkan masalah obesiti adalah:

    • Makanan segera. Kebanyakan (jika bukan semua) makanan berproses mempunyai kandungan gula, garam dan lemak yang tinggi. Kesan makanan segera adalah lebih jelas pada golongan kanak-kanak dan remaja berbanding dewasa memandangkan kebanyakan makanan segera disasarkan kepada golongan tersebut. Kajian menunjukkan bahawa makanan segera mempunyai kandungan kalori 55% lebih daripada makanan yang dimasak di rumah
    • Pengambilan alkohol. Walaupun kajian menunjukkan pengambilan minuman beralkohol secara sederhana tidak menjejaskan kesihatan namun jika diambil secara berlebihan, ia boleh menyebabkan masalah obesiti dan penyakit kronik yang lain berikutan kandungan kalorinya yang tinggi. Jika dilihat pada statistik kajian, mereka yang sering mengambil alkohol pada jumlah yang banyak kebiasaannya mempunyai masalah berat badan berlebihan
    • Pengambilan minuman bergula. Tabiat ini juga boleh menyebabkan peningkatan jumlah lemak badan. Ia merupakan salah satu punca utama berkaitan dengan peningkatan jumlah obesiti dalam kalangan remaja. Menurut kajian yang telah dijalankan oleh Universiti Malaya pada tahun 2016, purata jumlah pengambilan air bergula dalam kalangan remaja di Malaysia adalah lebih rendah berbanding dengan negara Australia dan Eropah. Namun, melihat kepada peningkatan jumlah obesiti dalam kalangan remaja di Malaysia, berkemungkinan jumlah pengambilan air manis tersebut lebih rendah berbanding dengan nilai sebenar
    • Makan di restoran luar. Tabiat keluar makan di kedai-kedai luar juga boleh meningkatkan risiko obesiti berbanding dengan memasak sendiri di rumah. Kebanyakan makanan yang dijual di kedai-kedai mempunyai kandungan gula dan lemak yang tinggi. Anda juga pasti tertarik dengan senarai hidangan pencuci mulut yang disediakan di dalam menu kedai menyebabkan pengambilan kalori berlebihan, tanpa disedari

    Gaya hidup tidak aktif

    Menurut Alex, mereka yang memilih untuk hidup secara tidak aktif berisiko untuk mendapat masalah obesiti. Keseimbangan kalori merupakan salah satu faktor penting yang boleh mempengaruhi kebarangkalian seseorang itu untuk mendapat masalah obesiti. Jika jumlah pengambilan kalori melebihi jumlah penggunaannya, lebihan kalori akan disimpan di dalam badan dalam bentuk lemak. Ini boleh menyebabkan peningkatan kepada insiden penyakit kronik terutamanya obesiti.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan individu untuk melakukan aktiviti fizikal berintensiti sederhana atau lasak sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Bagi kanak-kanak, jumlah masa tersebut tidak mencukupi dan mereka seharusnya bergerak aktif selama 1 jam dalam tempoh masa sehari. Walaupun saranan tersebut kelihatan jelas, pelbagai aspek individu perlu dipertimbangkan dalam penetapan jumlah masa ideal untuk aktiviti fizikal bagi mengekalkan kesihatan pada tahap optimum. Kajian terbaru menunjukkan bahawa 150 minit seminggu tidak mencukupi untuk mencapai objektif tersebut.

    Walau bagaimanapun, mereka yang melakukan aktiviti senaman secara kerap terhindar daripada risiko obesiti dan penyakit kronik.

    Keadaan kesihatan boleh sebabkan obesiti?

    Mereka yang mengalami masalah kesihatan tertentu seperti hipotiroidisme, sindrom Cushing dan polycystic ovarian syndrome berisiko untuk mendapat masalah berat badan berlebihan. Namun jika masalah tersebut telah didiagnosis dan dirawat, ia tidak akan menjadi faktor penghalang kepada keinginan anda untuk menurunkan berat badan.

    Terdapat juga ubat yang boleh menyebabkan masalah kenaikan berat badan. Penggunaan steroid, ubat antipsikotik dan ubat diabetes, boleh meningkatkan selera makan seterusnya menyebabkan masalah berat badan berlebihan. Bagi individu yang sedang berusaha untuk berhenti merokok, mereka juga boleh mengalami kenaikan berat badan kesan daripada stres. Namun, isu tersebut lama-kelamaan akan hilang apabila badan sudah beradaptasi dengan tabiat yang baru.

    Faktor genetik

    Ramai yang suka salahkan genetik apabila ditanya berkenaan dengan sebab anda gemuk, kan? Percaya atau tidak, terdapat lebih daripada 400 gen yang telah dikenal pasti boleh menyebabkan masalah berat badan berlebihan dan obesiti. Namun begitu, cuma beberapa gen sahaja yang memberikan kesan yang signifikan terhadap penyakit kronik tersebut. Gen mempengaruhi komposisi lemak badan melalui:

    • Selera makan
    • Kekenyangan
    • Metabolisme badan
    • Keinginan untuk makan (craving)
    • Taburan lemak di dalam badan
    • Kecenderungan untuk makan ketika stres

    Konklusi

    Masalah obesiti perlu dibendung memandangkan ia boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah kronik. Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan permasalahan ini dan kebiasaannya ia berhubung kait di antara satu sama lain membuatkan proses patologi masalah ini tampak kompleks. Namun begitu, dengan gaya pemakanan seimbang dan peningkatan pada kadar aktiviti fizikal, berat badan boleh dikawal dengan baik. Jika anda mengalami masalah dalam mengawal berat badan, dapatkan khidmat nasihat doktor serta pemeriksaan kesihatan.

    Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/01/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan