Kenapa Orang Mengalami Obesiti?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Obesiti bermakna mempunyai indeks jisim badan (BMI) 30 dan ke atas. BMI ideal adalah antara 18.5 hingga 24.9, manakala seseorang dikira terlebih berat badan jika mempunyai BMI antara 25 dan 29.9.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015 purata rakyat Malaysia yang mengalami obesiti (BMI 30 dan ke atas) adalah 30.6%. Ini bermakna, 3 daripada 10 rakyat Malaysia adalah obes. Peratusan sedikit berbeza mengikut negeri. WP Putrajaya menungguli tangga teratas, manakala Sabah dan WP Labuan mempunyai peratusan paling rendah.

Soalan yang selalu bermain di dalam fikiran. Mengapa saya obes?

Jumlah kalori masuk dan keluar

Keseimbangan antara input dan output bergantung kepada genetik, kadar aktiviti fizikal dan metabolisme badan anda. Sifirnya adalah jika anda membakar kalori sama banyak dengan apa yang anda ambil, maka berat badan akan kekal.

Kalori lebihan yang tidak dibakar akan disimpan di dalam bentuk lemak di seluruh badan. Ia disimpan di dalam sel lemak khusus (tisu adipos) yang akan menambah saiz atau bilangan sel. Jika kalori lebihan dibakar, sel lemak akan berkurang, seterusnya mengurangkan saiz badan.

Genetik

Tidak dinafikan bahawa genetik memainkan peranan dalam obesiti. Tapi, sejauh manakah ia menyumbang?

Ia berbeza daripada seorang ke seorang. Ada yang terkesan dengan banyak dan ada juga sebaliknya. Berat badan anda mungkin berkait dengan genetik jika:

  • Anda mempunyai berat badan yang tinggi dalam kebanyakan waktu dalam hidup.
  • Ibu bapa dan adik-beradik anda terlebih berat badan atau obes.
  • Anda masih tidak boleh menurunkan berat selepas bersenam dan mengamalkan diet rendah kalori.

Faktor makanan

Menu dan makanan yang diambil pada hari ini tidak sama dengan 20 tahun yang lalu. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan media sosial, bermacam-macam produk makanan baru dan hipster berada di pasaran. Mungkin baik dari sudut ekonomi, tetapi bahaya dari sudut kesihatan memandangkan kebanyakan produk ini adalah tidak sihat dengan gula dan garam yang tinggi.

Selain itu, pengaruh menu barat seperti burger, pizza dan steak juga turut menyumbang kepada pola makan yang kurang sihat dalam kalangan masyarakat.

Televisyen

Menonton drama kegemaran anda tanpa makanan atau snek? Mana boleh!

Bukan sahaja televisyen, alatan elektronik lain seperti telefon pintar dan komputer juga tidak terkecuali. Bahkan, generasi muda hari ini mungkin menghabiskan lebih banyak masa di hadapan telefon pintar berbanding televisyen.

Apa yang ingin difokuskan di sini ialah aktiviti ini membuatkan kehidupan masyarakat menjadi kurang aktif, ditambah pula dengan snek dan makanan yang dimakan.

Stres

Tekanan atau stres mungkin tidak menjejaskan berat badan secara langsung. Namun, ia membentuk beberapa tabiat kurang sihat.

Makanan adalah antara jalan keluar kepada stres. Semakin tertekan, semakin tinggi kecenderungan untuk makan. Stres juga mengganggu jadual tidur. Kajian menunjukkan bahawa tidur yang tidak cukup boleh menyebabkan peningkatan berat badan kerana ia mengganggu metabolisme badan.

Jadi, sudah tahu sebab apa berat badan anda tinggi?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Julai 26, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Disember 5, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut