Mood Berubah-Ubah: Adakah ia Normal?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Setiap orang pasti pernah mengalami perubahan mood. Adakalanya, gembira dan bersemangat sehingga banyak perkara dapat diselesaikan dalam hanya satu hari. Ada pula hari di mana anda berasa tertekan dan malas sampai satu kerja pun tidak selesai.

Adakah perubahan yang berlaku ini normal? Jawapannya adalah ya dan tidak. Selagi mana ia tidak menjejaskan kehidupan anda atau orang sekeliling, ia adalah satu proses yang normal.

Terdapat banyak perkara yang boleh menjejaskan mood anda. Kadangkala, ia mungkin disebabkan oleh keadaan mental tertentu. Perubahan mood yang serius boleh menjejaskan kualiti hidup dan perlu dirawat oleh ahli profesional.

Mari kita lihat apakah yang mungkin menyebabkan mood anda berubah-ubah.

1. Stres dan gelisah

Tekanan hidup yang berlaku dari hari ke hari tentunya boleh menjejaskan mood anda lebih-lebih lagi jika anda adalah seorang yang sensitif. Anda mungkin bertindak balas dengan lebih dasyat daripada orang lain.

Ada juga yang berasa gelisah dan bimbang terhadap sesuatu peristiwa atau acara besar yang akan berlaku. Jika berlaku kegelisahan di luar kawalan selama lebih 6 bulan, anda mungkin didiagnosis sebagai gangguan kegelisahan atau anxiety disorder.

2. Gangguan bipolar

Penghidap bipolar mengalami naik dan turun mood yang lebih teruk dan ekstrem berbanding perubahan biasa.

Mereka boleh berasa gembira yang melampau (manic) sehingga berbelanja, bercakap dan tidak tidur secara berlebihan. Di waktu lain pula, perasaan sedih melampau (depresi) boleh membuatkan mereka menyendiri dan merasakan dirinya tidak berharga sehingga ingin membunuh diri.

3. Kemurungan

Mereka yang mengalami kemurungan boleh menghadapi perubahan mood juga. Kadangkala, berasa sedih dan di waktu lain pula berasa senang. Tetapi perasaan senang itu tidak sampai ke tahap manic seperti gangguan bipolar. Mereka juga mungkin lebih sedih di waktu pagi berbanding petang.

4. Perubahan hormon

Hormon seks terkait dengan emosi anda. Sebarang perubahan yang berlaku turut akan menjejaskan mood.

Bagi wanita, sindrom pra-haid (PMS), kehamilan, menopaus dan perimenopaus (tempoh hampir kepada menopaus) boleh membawa kepada emosi serta mood yang tidak menentu.

Lelaki pula secara amnya mempunyai emosi yang stabil. Namun, menjelang usia 30 ketika hormon testosteron mula menurun secara beransur, ketidakstabilan mood juga boleh berlaku.

Apa yang boleh saya lakukan?

Selagi mana ia tidak menganggu kualiti hidup anda dan orang sekeliling, menguruskan punca dan melakukan sedikit perubahan pada hidup anda sudah memadai. Cuba banyakkan senaman, pemakanan sihat, tidur yang cukup serta berehat seketika daripada rutin hidup yang menekan.

Namun jika ia mengganggu hidup anda dan orang sekeliling, anda mungkin perlu mengatur temu janji bersama ahli profesional sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut