Gelombang Otak – Rentak-Rentak Minda

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Otak kita adalah satu rangkaian saraf yang padat dan berselirat, menghantar isyarat dari satu sel neuron ke satu sel neuron yang lain yang akhirnya membawa kepada proses mental dan pergerakan fizikal. Kadangkala, sekelompok sel ini menghantar isyarat ke bahagian otak yang lain mengikut satu corak yang unik, serentak, berulang dan beritma. Inilah yang dikatakan sebagai gelombang otak.

Gelombang otak ini boleh dikesan melalui elektrod-elektrod yang diletakkan pada permukaan kulit kepala melalui teknik Electroencephalogram (EEG). Melalui kaedah ini, kita boleh mengesan jenis-jenis gelombang otak yang wujud dan memahami bagaimana ianya mempengaruhi otak kita. Walaupun terdapat banyak kajian dan dapatan telah dibuat dalam bidang ini, terdapat banyak lagi perkara yang masih belum boleh dijelaskan dan dalam menetapkan rumusan umum terhadap setiap satu gelombang.

Jenis-jenis gelombang otak

Seperti gelombang lain, gelombang otak dibezakan antara satu sama lain melalui kekerapan atau frekuensi (Hz) dan juga amplitudnya. Frekuensi (Hz) merujuk kepada kitaran gelombang yang dihasilkan dalam masa satu saat manakala amplitud merujuk kepada ketinggian gelombang. Secara umumnya, semakin meningkat frekuensi gelombang otak, semakin rendah amplitudnya dan seseorang itu dikatakan dalam keadaan yang lebih sedar. Penting untuk diingati, walaupun sesetengah aktiviti dikaitkan dengan gelombang tertentu, ini tidak bermakna gelombang lain tidak wujud ketika gelombang tertentu sedang rancak, ianya cuma gelombang tersebut lebih dominan ketika aktiviti itu berlangsung berbanding gelombang lain.

Berikut merupakan susunan gelombang otak mengikut susunan kelajuan kekerapan yang meningkat dan juga kesan umum mereka terhadap otak.

Gelombang Delta (0.5 hingga 3 HZ)

Gelombang delta mempunyai frekuensi terendah dan amplitud tertinggi dan lazimnya dikaitkan dengan tidur yang nyenyak tanpa mimpi adan juga tahap meditasi yang paling dalam. Ianya dikatakan memainkan peranan dalam merangsang penyembuhan dan pertumbuhan semula sel-sel badan, menjelaskan peranan penyembuhan dalm tidur yang nyenyak.

Gelombang Theta (3 hingga 8 HZ)

Sedikit laju berbanding Delta, Theta dikaitkan dengan mengelamun, berimaginasi, berangan dan juga meditasi. Gelombang ini boleh mendominasi ketika fikiran seseorang itu mengelamun akibat aktiviti rutin yang mudah dan tidak memerlukan proses memikir seperti ketika mandi atau memandu di lebuh raya yang lengang dan jauh.

Gelombang Alpha (8 hingga 12 HZ)

Lebih laju berbanding Theta adalah Alpha dan ianya dikaitkan dengan keadaan yang terjaga tetapi tenang seperti berehat sebentar selepas melakukan tugas, sambil memejam mata dan melakukan refleksi diri. Gelombang otak ini juga paling kuat di bahagian belakang otak, di lobus occipital.

Gelombang Beta (12 hingga 38 HZ)

Gelombang otak Beta terdiri daripada gelombang berfrekuensi tinggi dan beramplitud rendah yang mendominasi waktu berjaga kita. Ianya mendominasi otak kita apabila kita sedang khusyuk melakukan tugas tertentu khusunya perkara yang memerlukan keupayaan kognitif yang tinggi seperti berdiskusi, berdebat, membuat ucapan, menjadi pengacara majlis atau mengajar.

Gelombang Gamma (38 hingga 42 HZ)

Gelombang ini merupakan yang paling laju frekuensinya dan paling kecil amplitudnya. Gelombang ini menghantar informasi dengan laju dan lancar dari satu bahagian otak ke kelompok sel-sel neuron yang lain. Apabila gelombang-gelombang otak terlalu rancak dan berkecamuk, gelombang gamma mungkin tidak akan dilihat menyebabkan ianya lambat dikenalpasti oleh pengkaji. Ianya dikenalpasti berkait rapat dengan perbuatan yang bersifat altruistik, kasih sayang dan cinta ataupun perasaan yang spiritual. Gelombang ini juga turut aktif ketika pemprosesan memori jangka pendek, penyesuaian objek, masa dan sensasi sentuhan.

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis mahupun rawatan.

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut