backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Rasa Takut dan Berdebar Secara Tiba-Tiba? Anda Mungkin Mengalami Serangan Panik

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 05/12/2022

    Rasa Takut dan Berdebar Secara Tiba-Tiba? Anda Mungkin Mengalami Serangan Panik

    Serangan panik boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa. Kadangkala, selepas bangun dari tidur pun boleh berlaku.

    Anda berasa takut, gementar dan berdebar secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab atau peristiwa? Jika keadaan ini berlaku sekurang-kurangnya dua kali, dan anda risau akan mengalaminya lagi, anda mungkin mengalami gangguan panik  yang merupakan sejenis  keresahan (anxiety disorder).

    Meskipun tiada data yang jelas bagi keadaan ini di Malaysia, namun 1 daripada 10 rakyat Amerika Syarikat mengalami serangan panik setiap tahun. Tetapi tidak semuanya mempunyai gangguan panik, hanya 3% sahaja. Daripada angka ini, perempuan lebih ramai.

    Simptom-simptom Serangan Panik

    serangan panik

    Anda mungkin mengalami 4 atau lebih daripada simptom berikut semasa serangan panik:

    • Degupan jantung kuat dan laju
    • Berpeluh
    • Menggeletar atau menggigil
    • Sesak nafas atau rasa lemas
    • Rasa dicekik
    • Sakit dada
    • Mual atau sakit perut
    • Pening kepala atau pengsan
    • Menggigil atau rasa panas
    • Kebas atau rasa semut-semut
    • Rasa hilang kawalan atau menjadi gila
    • Rasa seperti ingin mati

    Kebiasaannya, serangan ini berlaku selama 5-10 minit. Namun, ia boleh berpanjangan sehingga 1 jam. Kadangkala, anda boleh terasa seperti mengalami serangan jantung atau strok. Sesetengah pesakit juga perlu pergi ke bilik kecemasan hospital untuk menjalani pemeriksaan.

    Punca dan diagnosis

    Doktor masih tidak mampu mengenal pasti punca sebenar. Ia dipercayai berkaitan dengan genetik dan persekitaran tempat membesar. Kadangkala, terdapat juga penyakit mental lain seperti kemurungan.

    Untuk mengesahkan anda menghidap gangguan panik, tiada ujian makmal atau radiologi yang khusus. Ia dibuat dengan menyingkirkan sebab-sebab lain kepada simptom terbabit.

    Contohnya, pesakit yang mengadu sakit dada dan sesak nafas mungkin disebabkan oleh serangan jantung.

    Jika bacaan elektrokardiogram (ECG) dan ujian enzim jantung tidak menyokong masalah jantung, ia mungkin disebabkan oleh serangan panik.

    Apakah rawatan keadaan kesihatan ini?

    serangan panik

    Sebelum memulakan rawatan, doktor harus mengenal pasti penyakit lain seperti hipertiroid atau ubat-ubatan lain yang mungkin menyebabkan keadaan seperti ini.

    Doktor mungkin merujuk anda kepada ahli terapi psikologi (psychotherapist) seperti psikoterapi dan terapi kongnitif tingkah laku (CBT). Ia bertujuan mengenal pasti punca sebenar dan membantu pesakit mengenali persekitarannya serta cara menghadapi keadaannya dengan cara yang terbaik.

    Kadangkala, ubat-ubatan tertentu juga diberikan. Contohnya ubat antidepresi dan antikeresahan (anxiolytics), jika diperlukan untuk membantu mengurangkan simptom.

    Perubahan gaya hidup juga adalah penting termasuk mengurangkan minuman berkafein, senaman dan teknik pernafasan dalaman. Bebaskan diri daripada tekanan atau stres juga boleh membantu.

    Dapatkan kumpulan sokongan di sekeliling anda dalam kalangan ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan. Antara kumpulan yang boleh dihubungi adalah:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 05/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan