backup og meta

Lakukan Senaman Mata untuk Jaga Kesihatan Mata

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 19/12/2022

    Lakukan Senaman Mata untuk Jaga Kesihatan Mata

    Bukan badan sahaja yang perlu bersenam, tapi mata juga memerlukan senaman supaya lebih sihat dan kuat. Apatah lagi di zaman teknologi ini, di mana hampir setiap golongan menggunakan skrin tidak kiralah untuk tujuan kerja, pembelajaran, bersosial, bermain ataupun melayari internet. Penggunaan skrin ini tentunya sedikit sebanyak memberi kesan kepada fungsi penglihatan dan kesihatan mata seperti kabur penglihatan, mata kering dan tidak selesa serta rabun. Justeru, senaman mata itu perlu bagi memastikan fungsi mata dipelihara dan kekal pada tahap optimum.

    Bagi memelihara kesihatan mata, Ahli Optometri dan Pengurus Latihan Focus Point Vision Care Group Sdn Bhd,  Vivien Lee berkongsi tentang beberapa kaedah untuk senaman mata bagi membantu melegakan sesetengah simptom yang berkaitan mata.

    Pertama, mengubah tumpuan mata pada jarak dekat dan jauh. Caranya adalah dengan membengkokkan tangan kanan atau kiri dan menumpukan mata kepada ibu jari. Dekatkan jarak ibu jari ke mata dan pandang ibu jari selama 10-15 saat. Kemudian, luruskan tangan dan biarkan ibu jari menjauh sekitar 1 meter, fokus pada ibu jari selama 10-15 saat. Selepas itu, lihat lagi objek yang lebih jauh sekitar 2 meter dan pandang selama 10-15 saat. Cara ini dapat membantu menguatkan ketahanan otot mata.

    Kedua, kaedah menekup mata iaitu dengan menggosok kedua-dua telapak tangan anda bagi menghasilkan kehangatan. Kemudian, tutupkan mata anda dan buat kedua-dua telapak tangan anda membentuk tekupan, serta tekup pada kedua-dua belah mata supaya mata boleh rasa kehangatan semasa anda menggosok tadi. Biarkan dalam keadaan begini selama 5 minit dan relaks. Kemudian, dalam keadaan mata tertutup, lakukan urutan lembut pada kelopak mata, tepi kening, bawah mata dan pipi. Urutan di sekeliling mata dapat membantu mengurangkan tekanan di sekeliling mata di samping merehatkan mata.

    Ketiga, latih tubi mata menggunakan pensel. Bengkokkan tangan anda dan pegang pensel pada jarak sejajar dengan siku anda, dengan keadaan pensel di tengah-tengah mata. Gerakkan pensel perlahan-lahan mendekati batang hidung anda sehingga pandangan anda berbayang. Berhenti sekejap dan jauhkan kembali pensel pada jarak awal tadi. Ulang senaman ini 20 kali. Tujuannya adalah untuk meningkatkan fleksibiliti mata.

    Keempat, memusingkan anak mata. Gerakkan anak mata ke kiri atau ke kanan atau ke atas dan ke bawah, ataupun gerakan membulat pada anak mata. Kelima, senaman mengerdipkan mata pada setiap 20 minit, dengan cara mengecil dan membesarkan mata. Cara ini dapat membantu anda mengekalkan kesegaran mata.

    Vivien yang ditemui semasa pelancaran Hari Penglihatan Sedunia 2018 anjuran Focus Point, baru-baru ini, turut menyarankan supaya masyarakat tidak menunggu sehingga mata menjadi terlalu letih untuk memulakan senaman. Senaman mata yang betul dapat membantu setiap orang memelihara kesihatan mata mereka.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 19/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan