backup og meta

Serangan Jantung: Apa yang Perlu Dilakukan Selepasnya?

Disemak secara perubatan oleh Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin · Kardiologi · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 16/11/2021

    Serangan Jantung: Apa yang Perlu Dilakukan Selepasnya?

    Apabila berlaku serangan jantung, ia memberikan isyarat bahawa pembuluh darah di dalam badan anda berada dalam keadaan yang kritikal dan tidak sihat. Ia menjadi sempit sehingga peredaran darah terhenti dan sel-sel yang terbabit akan terjejas dan berkemungkinan boleh mati.

    Bukan sahaja pembuluh darah koronari pada jantung, pembuluh darah lain juga mungkin terjejas, khususnya di dalam otak, kaki, buah pinggang dan usus kerana keadaan yang disebut sebagai aterosklerosis ini berlaku di seluruh badan. Oleh itu, pemeriksaan lanjut perlu dijalankan selepas berlaku serangan jantung.

    Saat berlaku serangan jantung

    Semasa serangan, anda perlu bergegas ke hospital bagi mendapatkan rawatan sepatutnya. Anda mungkin akan ditahan di dalam wad untuk beberapa hari. Jika berlaku komplikasi atau memerlukan pembedahan, tempoh di dalam wad akan lebih lama.

    Doktor mungkin akan membuat perubahan pada ubat-ubatan jika anda sedang mengambil ubat. Jika tidak, anda akan diberikan beberapa jenis ubat. Serangan jantung yang berlaku menunjukkan bahawa ubat-ubatan yang ada mungkin kurang berkesan dari sudut jenis atau dos.

    Oleh sebab itu, sila ingat semua nama ubat-ubatan yang anda ambil beserta kekerapan pengambilannya untuk memudahkan doktor melakukan penyelarasan.

    Perubahan yang anda perlu lakukan

    Risiko mendapat serangan jantung adalah lebih tinggi bagi mereka yang pernah mengalaminya. Bagi mengurangkan risiko, beberapa perubahan hendaklah diambil.

    Antaranya ialah:

    • Berhenti merokok. Ini adalah langkah paling penting bagi mereka yang merokok. Bukan sahaja untuk jantung, tetapi juga kesihatan tubuh secara am. Namun, tidak dinafikan bahawa ia bukanlah satu perkara yang mudah. Terdapat banyak cara yang boleh membantu. Jadi, sila dapatkan bantuan daripada keluarga, kenalan dan ahli profesional kesihatan.
    • Kawal tekanan darah dan kolesterol. Kedua-dua keadaan ini merosakkan pembuluh darah. Semakin lama, ia akan meningkatkan risiko serangan jantung dan strok. Senaman, pemakanan dan mungkin ubat-ubatan diperlukan untuk mengawalnya.
    • Kawal berat badan dan diabetes. Sama seperti tekanan darah dan kolesterol, risiko penyakit jantung turut meningkat jika mengalami berat badan berlebihan dan diabetes. Anda mungkin perlu dirujuk kepada pakar pemakanan dan diberikan ubat-ubatan untuk mengawal kadar gula darah.

    Serangan jantung bukan satu pengakhiran. Dengan sedikit perubahan pada gaya hidup, anda masih boleh menjalani kehidupan yang menyeronokkan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin

    Kardiologi · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 16/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan